Oh! Negara
Trump Batal Serangan Ke Atas Iran Demi Perjanjian Damai
Donald Trump mendakwa serangan ke atas Iran dibatalkan bagi membuka ruang kepada rundingan perjanjian damai.
Batal demi perjanjian damai atau perlu masa nak isi semula peluru? Rancangan serangan ketenteraan Amerika Syarikat terhadap Iran didakwa dibatalkan pada saat rundingan damai sedang berlangsung.
Presiden AS, Donald Trump berkata, keputusan itu dibuat bagi memberi ruang kepada Teheran dan beberapa negara Asia Barat memuktamadkan rangka kerja perjanjian.
Trump dakwa persetujuan awal sudah dicapai

Menerusi hantaran di Truth Social, Trump mendakwa semua pihak sudah mencapai persetujuan awal mengenai beberapa parameter utama.
Antaranya termasuk pembukaan semula Selat Hormuz secara serta-merta dan sepenuhnya, selain usaha menamatkan ancaman program nuklear Iran.
Saya bersetuju membatalkan serangan itu demi manfaat dunia dan kelangsungan sebuah Iran yang berjaya serta makmur, dengan syarat semua pihak dapat segera memeterai perjanjian.- Katanya.
Tentera AS kekal bersiap siaga

Walaupun serangan dibatalkan, Trump menegaskan tentera AS masih berada dalam keadaan bersiap siaga sekiranya rundingan menemui jalan buntu.
Amerika Syarikat berada pada tahap kesiapsiagaan penuh untuk bertindak terhadap Republik Islam Iran dengan kekuatan ketenteraan yang tidak pernah disaksikan sejak Perang Dunia Kedua.- Katanya.
Trump turut mendakwa Israel bersetuju menangguhkan sebarang tindakan ketenteraan sepanjang proses rundingan berlangsung.
Bagaimanapun, setakat ini Iran dan Israel masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi bagi mengesahkan dakwaan Trump mengenai persetujuan tersebut.

