Sebelum ini, tular rakaman CCTV yang menunjukkan seorang lelaki mencuri telefon bimbit daripada pembantu kedai runcit orang kurang upaya (OKU) di Rhu Rendang, Terengganu telah mengundang kemarahan netizen seluruh Malaysia.
Namun, tanpa disangka selepas kejadian tersebut, datang seorang pemuda ke kedai itu dan menghadiahkan sebuah telefon bimbit baru atas dasar keprihatinannya kepada nasib lelaki OKU itu.
IKLAN
Terima kasih orang baik
Menerusi video yang dikongsi oleh seorang pemuda yang bernama Cik Din di aplikasi TikTok, beliau sebelum ini telah memuat naik video memohon bantuan orang ramai untuk mengesan lokasi pembantu kedai OKU berkenaan.
Selepas mendapat maklumat yang secukupnya, tidak lama kemudian, Cik Din berkunjung ke kedai runcit tersebut. Menurut penduduk setempat, pembantu kedai OKU itu mesra dipanggil ‘Gogeng’.
Setibanya di sana, Cik Din menyapa dengan ramah sambil menyerahkan telefon bimbit tersebut, diiringi kata-kata semangat agar Gogeng tabah dan tidak bersedih.
Kerja baik-baik jangan bersedih, ambil telefon baru ni, teruskan lagi kerja macam biasa.-Katanya
Keprihatinan Cik Din telah mencuri perhatian netizen, dengan ramai yang mendoakan agar beliau dimurahkan rezeki atas kebaikan dan ketulusan hatinya membantu lelaki OKU itu.
Polis pantas bertindak, pencuri telah ditahan!
Ketua Polis Daerah Marang, Superintendan Mohd Sofian Redzuan, memaklumkan bahawa suspek berusia 29 tahun berjaya ditahan hasil maklumat dan siasatan yang dijalankan.
Penahanan tersebut telah dilakukan oleh sepasukan anggota dari IPD Marang dan IPD Kuala Terengganu di sebuah rumah di Kuala Terengganu pada jam 6.15 petang, Ahad lalu.
Menerusi laporan daripada Berita Harian, Mohd Sofian berkata suspek ditahan reman selama empat hari hingga hari ini. Walau bagaimanapun, tempoh reman suspek telah dilanjutkan hingga Rabu depan bagi melengkapkan siasatan.
Kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan atas kesalahan mencuri dalam bangunan.