Trending
“Malam Paling Murung Dalam Hidup Saya” – Anwar Ibrahim Imbas Detik Ibu Meninggal Dunia Ketika Dirinya Dalam Penjara
Anwar Ibrahim berkongsi detik paling murung apabila ibunya meninggal dunia ketika beliau masih dalam penjara dan tidak mampu berbuat apa-apa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan bahawa pemergian ibunya ketika beliau berada dalam penjara menjadi antara detik paling murung dan menyayat hati dalam hidupnya.
Menurut laporan Berita Harian, Perdana Menteri berkata berada di sebalik tirai besi ketika insan paling disayangi menghembuskan nafas terakhir merupakan satu ujian yang amat berat.
Malam itu memang malam paling murung buat saya, bayangkan ibu yang tercinta kembali ke rahmatullah dan kita sedang meringkuk dalam bilik kurungan penjara.
Saya tak mampu berbuat apa-apa selain dari solat, membaca al-Quran dan berdoa. Sehinggalah pada keesokan harinya saya diizinkan keluar untuk ke rumah dan solat jenazah.
Sempat bertemu ibu di hospital

Mengimbas kembali kejadian itu, Anwar berkata beliau menerima perkhabaran mengenai keadaan ibunya daripada isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Isteri saya maklumkan ibu sedang tenat. Jadi, pada ketika itu saya merayulah, supaya saya dapat jumpa sekejap pun tidak mengapa.
Selepas berusaha mendapatkan kebenaran, beliau akhirnya dibenarkan bertemu ibunya selama kira-kira setengah jam di hospital.
Ibu saya sedang tenat, tapi dia sedar dan sangat gembira. Saya kemudiannya pulang (ke penjara), sejurus selepas itu dia meninggal dunia.
“Lebih sukar kehilangan ibu daripada ayah” – Anwar Ibrahim

Anwar turut mengakui bahawa kehilangan ibu bapa merupakan pengalaman yang amat sukar, namun kehilangan seorang ibu memberikan kesan emosi yang berbeza buat dirinya.
Lebih jauh lebih sukar kehilangan ibu daripada ayah. Sukar kehilangan ayah, tapi tak sama dengan kehilangan ibu.
Selain kisah pemergian ibunya, Anwar turut berkongsi mengenai pelbagai pengalaman pahit sepanjang berada dalam tahanan.
Antaranya termasuk mendakwa dirinya dipukul hingga pengsan pada hari pertama dipenjarakan.
Namun begitu, beliau berkata tidak pernah menyerah kalah kerana memikirkan nasib generasi muda serta perjuangan membawa perubahan demi menyelamatkan negara daripada kerosakan rasuah dan penindasan.
Perjuangan ni tidak mudah dan harus dibayar dengan harga yang tinggi. Kalau saya mengalah, maka seluruh generasi tu akan terbelakang.
Nota Oh! Media:
Kehilangan insan tersayang sememangnya bukan sesuatu yang mudah untuk dilalui. Kisah ini mengingatkan kita supaya menghargai ibu bapa dan insan tersayang selagi mereka masih ada.
Sumber: Berita Harian
Ikuti Perbincangan: Whatsapp, Facebook, Threads dan Instagram.
