Connect with us

Oh! Media

‘Meletop’ Panggung! Ini 5 Filem Tempatan Yang Mendapat Kutipan Tertinggi Dalam Sejarah Malaysia

Oh! Lifestyle

‘Meletop’ Panggung! Ini 5 Filem Tempatan Yang Mendapat Kutipan Tertinggi Dalam Sejarah Malaysia

Menonton wayang! sudah semestinya salah satu aktiviti yang menjadi pilihan utama setiap masyarakat bagi mengisi masa lapang. Lebih-lebih lagi bagi meluangkan masa bersama tersayang.

ADVERTISEMENT

Sejak pembukaan semula pawagam pada 9 September lepas, ia seakan-akan memberi nyawa kepada industri kreatif bagi menayangkan hasil karya mereka selepas beberapa bulan tidak dibenarkan operasi.

Sebelum ini, pelbagai jenis filem telah ditayangkan termasuklah filem tempatan serta animasi yang berjaya memikat hati penonton sehingga berjaya mengaut keuntungan berlipat kali ganda.

Namun, adakah kita tahu filem hasil sentuhan tempatan manakah yang mendapat kutipan tertinggi setakat ini? Jadi mari kita lihat 5 filem tempatan dengan kutipan tertinggi dalam sejarah Malaysia.

5. PASKAL The Movie (RM 28.98 Juta)

Adrian Teh

Paskal The Movie merupakan sebuah filem aksi ketenteraan Malaysia 2018 yang diarahkan oleh Adrian Teh dan dibintangi pelakon berbakat seperti  Hairul Azreen, Ammar Alfian, Henley Hii, Taufiq Hanafi dan sebagainya.

Filem ini juga diadaptasi dari kisah benar yang mana mengisahkan tentang pengorbanan pasukan elit Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Pasukan Khas Laut (PASKAL) dalam misi merampas kembali kapal dagang MV Bunga Laurel daripada Lanun Somalia di Teluk Aden pada tahun 2011.

Menurut Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), filem yang menelan belanja sebanyak 10 juta itu telah meraih kutipan setinggi RM29.98 Juta selepas lebih sebulan ditayangkan.

Ia menjadi salah satu filem pecah panggung sejak mula ditayangkan pada 27 September 2018 dan kini, Paskal menduduki tempat kelima dalam senarai kutipan tertinggi dalam sejarah filem Malaysia.

4. Boboiboy Movie 2 (RM 29.57 Juta)

Nizam Razak

Boboiboy Movie 2 pula merupakan filem animasi bergenrakan komedi adiwira Malaysia yang diarahkan oleh seorang animator terkenal, Nizam Razak. Ia juga merupakan kesinambungan bagi Boboiboy The Movie yang ditayangkan pada tahun 2016.

Siapa sangka, filem animasi Boboiboy ini menjadi filem animasi pertama negara yang berjaya mencecah kutipan berjuta ringgit selepas menyajikan gambaran grafik terbaik serta jalan cerita yang bertaraf antarabangsa.

Menurut sumber, filem ini hanya menelan belanja sejumlah RM7 Juta sahaja, namun impaknya berjaya mengandakan keuntungan kepada RM29.57 Juta

Lebih membanggakan, filem animasi tempatan ini juga turut ditayangkan serentak di 500 pawagam di lima negara iaitu Malaysia, Indonesia, Singapura, Brunei, dan Vietnam pada 8 Ogos 2019.

3. Ejen Ali The Movie (RM30.05 Juta)

Usamah Zaid Yasin

Selepas kejayaan filem Boboiboy, satu lagi filem animasi tempatan, Ejen Ali The Movie turut tidak ketinggalan dari menduduki tangga teratas sebagai filem yang mendapat kutipan tertinggi dalam sejarah Malaysia.

Ejen Ali The Movie merupakan filem animasi perisik Malaysia yang ditayangkan pada 28 November 2019 dan Filem ini diterbitkan oleh WAU Animation serta hasil arahan animator Malaysia, Usamah Zaid Yasin.

Filem yang ditayangkan di 3 buah negara iaitu Malaysia, Singapura dan Brunei ini telah membelanjakan sebanyak 6.5 Juta dalam menghasilkan filem ini. Namun, berjaya mendapat kutipan setinggi RM 30.05 Juta selepas lebih sebulan ditayangkan.

Siapa sangka, filem animasi juga semakin mendapat perhatian daripada masyarakat Malaysia dan berjaya ‘mengalahkan’ karya-karya terhebat seperti Polis Evo, Munafik dari segi kutipan sehingga berjaya menarik minat masyarakat antarabangsa bagi menonton filem ini.

2. Hantu Kak Limah (RM36.23 Juta)

Allahyarham Mamat Khalid

Bagai hilang sebuah permata, itulah ungkapan yang sesuai diberikan selepas industri perfileman tanah air telah kehilangan seorang pengarah terkenal, Allahyarham Mamat Khalid akibat serangan jantung baru-baru ini.

Namun, Allahyarham juga turut meninggalkan beberapa naskah filem yang mampu mengubati rasa rindu terhadap karyanya termasuklah filem Hantu Kak Limah yang menduduki tempat kedua mendapat kutipan paling tertinggi.

Hantu Kak Limah merupakan siri filem komedi seram Malaysia yang terdiri dari tiga filem yang diarahkan dan ditulis oleh Allahyarham Mamat Khalid serta diterbitkan oleh Gayatri Su-Lin Pillai.

Filem yang ditayangkan pada 9 Ogos 2018 ini telah menelan kos sebanyak RM4.09 Juta, namun hasil kutipan selepas lebih sebulan ditayangkan berjumlah 36.23 Juta. Ia menjadi filem pecah panggung pada tahun 2018 sehingga ada yang meramalkan filem lain akan melalui jalan yang sukar untuk menandingi hasil kutipan filem ini.

Antara faktor kejayaan Hantu Kak limah ialah apabila terdapat ramai yang menontonnya berulang kali selain menganggap filem tersebut bersifat universal pada bahasanya sehingga diterima oleh orang ramai termasuklah di Singapura dan Brunei.

1. Munafik 2 (RM37.74 Juta)

Shamsul Yusof

Selepas kutipan yang penuh memberangsangkan walaupun hanya seminggu Hantu Kak Limah ditayangkan, namun filem Munafik 2 berjaya menduduki tempat pertama dalam kutipan tertinggi dalam sejarah perfileman negara.

Munafik 2 merupakan sebuah filem seram yang diarahkan dan ditulis oleh pengarah terkenal, Syamsul Yusof dan ia merupakan kesinambungan daripada filem munafik yang ditayangkan pada tahun 2016 hasil terbitan Skop Production.

Seperti yang kita ketahui, hampir segelintir karya hasil arahan Shamsul Yusof sering mendapat pujian ramai sehinggakan rata-rata filemnya telah memenangi anugerah dan diiktiraf oleh ramai pihak sebagai filem paling berkualiti.

Mana tidaknya, filem yang hanya menelan kos sebanyak RM 2.5 Juta ini telah meraih kutipan berlipat kali ganda iaitu sebanyak RM 37.74 Juta dan sehingga kini, masih mengungguli carta filem paling banyak kutipan dalam sejarah Malaysia.

Antara faktor kejayaan Munafik 2 adalah kerana jalan ceritanya yang sangat berbeza dengan filem tempatan yang lain. Ia juga sarat dengan elemen keagamaan serta menarik dari segi jalan cerita serta sinematografinya yang mencetuskan mood penonton bagi mendalami nilai-nilai yang ingin disampaikan.

Demikian sahajalah top 5 filem tempatan yang berjaya meraih kutipan tertinggi dalam sejarah perfileman negara. Kita perlu akui bahawa mutu filem tempatan semakin meningkat sehingga mampu bersaing dengan karya antarabangsa.

Oleh itu, kita berharap agar industri perfileman di Malaysia mampu menghasilkan lagi karya yang berkualiti serta diterima oleh masyarakat. Semoga lepas ni ada filem yang mampu menggugat kedudukan Munafik 2 bagi mewujudkan persaingan dalam penghasilan filem berkualiti.

Kredit: Finas I Harian Metro I Astro Awani I Berita Harian I Mstar

+ Baca respon pembaca di Facebook dan Telegram Oh! Media

Lagi dalam kategori Oh! Lifestyle

Ke Atas