Connect with us

Oh! Media

#RENUNGAN Buat Swab Test Batal Puasa Atau Tidak? Ini Penjelasan Mufti..

Oh! Islam

#RENUNGAN Buat Swab Test Batal Puasa Atau Tidak? Ini Penjelasan Mufti..

Melakukan ujian saringan sekiranya bergejala dah jadi kebiasaan, tambah lagi apabila kita baru saja pulang dari sesuatu tempat yang berisiko untuk dijangkiti wabak.

ADVERTISEMENT

BACA : #RENUNGAN Tak Sengaja Berbuka Puasa Awal Ikut Azan Di Radio, Apa Hukumnya?

Di bulan Ramadan ini, pasti ramai antara korang yang tertanya-tanya adakah batal puasa sekiranya kita melakukan ujian saringan kan?

Menurut laporan Harian Metro, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan memperjelaskan bahawa perkara tersebut tidak membatalkan puasa. 

Ini kerana kaedah Nasopharyngeal swab (melalui hidung) dan Oropharyngeal swab (melalui hidung) yang dijalankan tidaklah sampai ke kawasan rongga dalam.

Ibn Al-Naqib Al-Misri menyatakan: “(Antara yang membatalkan puasa itu adalah) Sampai sesuatu benda ke dalam rongga melalui saluran yang terbuka walaupun sedikit.” ( Ibn Al-Naqib, Ahmad Bin Lu’lu, ‘Umdah Al-Salik wa ‘Uddah Al-Nasik (1982), cetakan Al-Syuun Al-Diniyah).

Sheikh Zakariya Al-Ansari menyebut: “Orang yang berpuasa terbatal puasanya dengan sampainya sesuatu benda walaupun sedikit seperti bijan dan walaupun yang masuk itu kebiasaannya benda yang tidak dimakan seperti batu kecil. Yang mana ia masuk melalui saluran yang terbuka dengan sengaja. Ini kerana ia sampai kepada apa yang dinamakan sebagai rongga yang terbuka.” (Asna Al-Matalib Syarh Raudh Al-Talib, Dar Al-Kitab Al-Islami).

Saluran yang terbuka itu termasuk telinga, hidung, mulut, dubur dan kemaluan. Perkara ini dijelaskan oleh Ibn Al-Muqri’: “Piawaian had zahir dihadkan dengan makhraj huruf Ha’, kemudian dalam mulut dan hidung sehingga penghujung anak tekak dan juga rongga hidung.” (Raudh Al-Talib wa Nihayah Al-Matlab Al-Raghib).

Oleh itu, menurut mazhab Syafie, apa sahaja yang masuk melalui saluran itu boleh menyebabkan puasa seseorang terbatal. Tambahan lagi, jika prosedur swab test yang dijalankan masuk jauh ke dalam rongga hidung. Ia dikira boleh membatalkan puasa seseorang.

Sheikh Zakariya Al-Ansari menyatakan hal ini: “Kemudian halkum dan di sebalik rongga hidung yang mana ia adalah pangkal hidung merupakan bahagian rongga. Apa-apa yang masuk ke dalam kedua-dua bahagian tersebut boleh menyebabkan puasa terbatal.”

Pandangan ini berbeza dengan mazhab Maliki yang berpendapat bahawa puasa hanya terbatal jika ada sesuatu yang masuk ke dalam rongga melalui mulut.

Apa-apa yang masuk melalui bahagian yang lain, maka ia tidak membatalkan puasa sepertimana yang dinyatakan oleh Sheikh Abu Abdullah Al-Maliki menyebut: “Puasa terbatal dengan sampai sesuatu ke dalam rongga atau tali perut melalui mulut.” (Manh Al-Jalil Syarh Mukhtasar Al-Khalil).

Sheikh Abu Al-Barakat Al-Dardir juga menyebut: “Adapun selain cecair maka ia tidak membatalkan puasa melainkan jika ia sampai ke perut melalui mulut.” (Aqrab Al-Masalik ila Mazhab Al-Imam Malik).

Berdasarkan keputusan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah MKI kali ke-3 tahun 2020, mesyuarat menetapkan :

Prosedur saringan bagi mengesan penyakit Covid-19 adalah dengan mengambil sampel lender (mukus) yang berada di dalam rongga hidup sehingga ke kawasan nasopharynx (rongga hidung paling atas) dan rongga mulut sehingga ke kawasan oropharynx (anak tekak) adalah TIDAK MEMBATALKAN PUASA. Ia selaras dengan keputusan Jawatankuasa Muzakarah Kebangsaan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) kali ke-87 pada 23 hingga 25 Jun 2009 yang memperakukan Panduan Berpuasa bagi Pesakit.

Jadi, jangan risau dan jadikan alasan melakukan ujian saringan untuk tidak berpuasa lepas ni okay? 

Kredit: Harian Metro

+ Baca respon pembaca di Facebook dan Telegram Oh! Media.

Lagi dalam kategori Oh! Islam

Ke Atas