Oh! Inspirasi
Jalankan Tanggungjawab Sebagai Syarikat Islam, McDonald’s Malaysia Catat Keseluruhan RM16 Juta Pembayaran Zakat
Baru-baru ini, McDonald’s Malaysia mengumumkan komitmen berterusan mereka dalam menunaikan kewajipan zakat, di mana sebanyak RM2 juta dicatatkan bagi tahun 2026, menjadikan jumlah keseluruhan yang telah ditunaikan sejak 2017 sebanyak RM16 juta.
Komitmen ini jelas menunjukkan tanggungjawab mereka sebagai sebuah syarikat yang 100% dimiliki oleh orang Islam yang seharusnya melaksanakan tuntutan agama dalam menyumbang kepada kesejahteraan golongan asnaf.
Kalau korang nak tahu lebih lanjut, jom kami kongsikan.
Wilayah Persekutuan Menjadi Lokasi Ke-10 Tahun Ini
Apa yang membuatkan ibadah ini lebih bermakna adalah sepanjang tahun 2026, McDonald’s Malaysia telah pun menjelajah ke beberapa buah negeri untuk menunaikan zakat tau.
Bagi pengiraan untuk pemberian setiap negeri, ia dikira mengikut jumlah restoran yang terdapat di negeri-negeri tersebut.
Untuk pengetahuan, tahun ini McDonald’s Malaysia memulakan penyerahan zakat pada bulan Julai di Kelantan, dan terbaru, mereka telah melakukan majlis penyerahan di Wilayah Persekutuan, iaitu di McDonald’s Pandu-Lalu Putrajaya Presint 2.

Majlis di Putrajaya turut dihadiri Mufti Wilayah Persekutuan, Sahibus Samahah Tuan Haji Ahmad Fauwaz bin Fadzil, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pungutan Zakat – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), Datuk Haji Abdul Hakim bin Amir Osman dan Datuk Haji Azmir Jaafar, Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia yang melakar sejarah penyerahan sebanyak RM300,000.
Jumlah zakat tersebut kemudian diserahkan kepada PPZ-MAIWP bagi Wilayah Persekutuan.

Melalui jelajah ini, McDonald’s Malaysia juga telah bekerjasama dengan institusi-institusi zakat bagi menunaikan penyerahan zakat serta menyantuni keluarga asnaf melalui sumbangan Kotak Rezeki yang berisi barang-barang keperluan harian.
“Sokongan pelanggan, usaha warga kerja dan kerjasama rakan niaga membolehkan kami terus melaksanakan amanah ini. Melalui kerjasama dengan institusi zakat, kami berharap zakat yang ditunaikan dapat membantu memenuhi keperluan asnaf dan menyokong usaha meningkatkan kesejahteraan mereka,” kata Dato’ Haji Azmir Jaafar, Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia.
Kotak Rezeki, Pengajian & Peluang Pekerjaan Antara Sumbangan Lain
Selain pembayaran zakat, McDonald’s Malaysia juga menyampaikan beberapa jenis sumbangan lain bagi membantu golongan asnaf di Malaysia.

Antaranya adalah Kotak Rezeki yang berisi barang-barang keperluan harian bagi meringankan perbelanjaan harian mereka.

Selain itu, untuk menyantuni komuniti terutamanya pelajar, McDonald’s Malaysia turut menyumbangkan komputer riba buat para pelajar asnaf bagi menyokong keperluan pembelajaran mereka, termasuk menyiapkan tugasan dan mengakses sumber pendidikan digital.

Bukan itu saja, McDonald’s Malaysia menyediakan bahan-bahan belajar serta guru untuk pengajian tambahan tuisyen yang diberikan secara percuma buat pelajar-pelajar B40 dan golongan asnaf.
Tak dilupakan juga, mereka turut menyediakan peluang-peluang pekerjaan buat golongan asnaf, melengkapi komitmen berterusan mereka.
Berhasrat Untuk Jadi Jiran Yang Prihatin
Korang tahu tak, setiap tahun McDonald’s Malaysia menjalankan lebih 10,000 aktiviti kemasyarakatan, melibatkan semua 385 restorannya di seluruh negara tau.
“Sebagai syarikat yang sentiasa dekat dengan komuniti, McDonald’s Malaysia telah menjalankan pelbagai aktiviti kemasyarakatan sejak 2017. Antaranya menyambut hari jadi anak-anak yatim, menyumbang moreh ke masjid dan surau pada bulan Ramadan, menyantuni warga emas di pusat jagaan pada musim perayaan dan lain-lain lagi. Kami sentiasa aktif menyantuni komuniti daripada semua lapisan masyarakat,” tambah Dato’ Haji Azmir.
Sekadar info, pada tahun 2019, McDonald’s Malaysia merupakan entiti perniagaan pertama yang menerima Sijil Pengiktirafan Pembayar Zakat Korporat daripada PPZ-MAIWP.
Sijil ini mengiktiraf sumbangan zakat korporat yang dibuat oleh perniagaan di Malaysia di Wilayah Persekutuan, melengkapi Pensijilan Halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang sedia dimiliki oleh McDonald’s Malaysia.
