Branded
TalentCorp Perkenal MyBakat, Bawa Agenda Pembangunan Bakat Malaysia Ke Fasa Baharu
Artikel Tajaan · Apa maksudnya?
Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) hari ini menandakan fasa baharu dalam perjalanan 15 tahunnya memacu agenda bakat negara dengan memperkenalkan MyBakat, yang membawa inisiatif pembangunan bakat tempatan TalentCorp di bawah kerangka yang lebih jelas dan saling berhubung.
Tarik lebih 3,000 peserta
Inisiatif itu diperkenalkan sempena penganjuran sulung Minggu MyBakat oleh TalentCorp 2026, yang menarik 3,000 peserta dan menghimpunkan bakat, majikan, industri, Kerajaan, institusi pendidikan dan latihan serta rakan strategik.
Acara itu turut menyaksikan pengenalan Platform Indeks Kesiapsiagaan Bakat Nasional (MyTRI) dan Program Inkubasi MyBakat (MyBIG), dua intervensi yang memperkukuh pendekatan TalentCorp dalam mengenal pasti kesiapsiagaan dan jurang bakat serta membangunkan bakat berdasarkan keperluan industri.
Menteri Sumber Manusia, YB Dato’ Sri Ramanan Ramakrishnan, berkata pembangunan bakat perlu bergerak seiring dengan hala tuju ekonomi negara, khususnya ketika teknologi, AI, pendigitalan dan ekonomi hijau terus mengubah pekerjaan serta kemahiran yang diperlukan.
Bantu kerajaan fahami keperluan bakat negara

Kita boleh membawa masuk pelaburan, teknologi dan membangunkan industri baharu. Tetapi kalau kita tidak mempunyai rakyat Malaysia dengan kemahiran yang diperlukan, kita ada masalah. Kita perlu melihat lebih awal apakah pekerjaan yang akan berkembang, apakah kemahiran yang diperlukan dan bagaimana kita menyediakan rakyat Malaysia untuk merebut peluang tersebut
Beliau berkata TalentCorp, sebagai agensi pemikir strategik di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), membantu Kerajaan memahami keperluan bakat negara, menjangka perubahan dalam pasaran kerja dan memastikan pembangunan bakat sentiasa selari dengan keperluan ekonomi dan industri.
Melalui National Talent Incubation Ecosystem (NTIE) dan model Future Skills Talent Council (FSTC) oleh TalentCorp, industri dilibatkan sejak awal dalam merangka latihan yang relevan. Pendekatan ini membantu melahirkan bakat yang sedia industri dan kalis masa hadapan, dengan laluan yang lebih jelas kepada kemahiran dan pekerjaan berkualiti, di samping memperkukuh daya saing Malaysia
Sejak ditubuhkan pada 2011, TalentCorp terus berkembang seiring dengan perubahan ekonomi, industri dan pasaran kerja negara. Sepanjang 15 tahun, peranannya turut berkembang dalam menghubungkan keperluan industri dengan pembangunan bakat, mengenal pasti jurang kemahiran serta membangunkan intervensi bersama industri bagi menyediakan rakyat Malaysia untuk peluang pekerjaan semasa dan masa hadapan.
Hubung pelbagai pihak dalam ekosistem bakat negara

Pengerusi Lembaga Pengarah TalentCorp, Puan Elizabeth Wong, berkata kekuatan TalentCorp sepanjang perjalanan itu terletak pada keupayaannya untuk menghubungkan pelbagai pihak dalam ekosistem bakat negara.
Kekuatan TalentCorp terletak pada keupayaan kita untuk menghubungkan keperluan ekonomi dengan pembangunan bakat, industri dengan institusi pendidikan dan latihan, dan yang paling penting, rakyat dengan peluang.
Selepas 15 tahun, kita mempunyai asas yang kukuh untuk membina fasa seterusnya dan memastikan TalentCorp terus relevan kepada rakyat, dipercayai industri dan mampu membantu Kerajaan membuat keputusan bakat yang lebih baik.
Berteraskan tema “Bakat Negara, Nadi Malaysia”, penganjuran sulung Minggu MyBakat di Connexion Conference & Event Centre (NEXUS), Bangsar menarik 3,000 peserta daripada pelbagai kumpulan bakat, dengan 65 ruang pameran serta 15 aktiviti sepanjang hari merangkumi perkongsian industri, pembangunan kemahiran, bimbingan serta peluang untuk berhubung secara langsung dengan majikan dan rakan ekosistem.
Bawa lebih banyak peluang kepada rakyat

Majlis disempurnakan oleh YB Dato’ Sri Ramanan Ramakrishnan dan turut dihadiri YB Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan, Timbalan Menteri Sumber Manusia, bersama wakil Kerajaan, industri, majikan, institusi pendidikan dan latihan serta rakan strategik.
Minggu MyBakat akan diteruskan sebagai acara tahunan TalentCorp, membawa lebih banyak peluang kepada rakyat untuk membina kemahiran, berhubung dengan industri dan bersedia menghadapi perubahan dunia pekerjaan.
Untuk mengakses platform MyTRI oleh TalentCorp, sila layari: www.mytri.my
