Oh! Artis
Yasin Sulaiman Akhirnya Keluar Hospital Bahagia
Yasin Sulaiman dibenarkan keluar dari Hospital Bahagia selepas menjalani rawatan selama tiga tahun empat bulan.
Selepas bertahun-tahun menanti, penyanyi dan komposer Yasin Sulaiman akhirnya dapat kembali ke pangkuan keluarga apabila dibenarkan keluar dari Hospital Bahagia, Ulu Kinta, Perak, hari ini.
Namun, perkara pertama yang mencuri perhatian bukanlah apa yang mahu dilakukannya selepas keluar, sebaliknya jawapan bersahaja Yasin ketika ditanya mengenai makanan tengah hari.
Yasin Sulaiman akui ‘Kenyang’ dengan kebebasan

Menurut abangnya, Zain Sulaiman, Yasin memberikan jawapan yang cukup menghiburkan dan pada masa sama menyentuh hati keluarga ketika mereka dalam perjalanan pulang.
Saya dah ‘kenyang’ dengan kebebasan.- Katanya.
Kepulangan Yasin disambut ahli keluarga terdekat termasuk isteri Zain, adik mereka serta anak perempuan Yasin, Malaika, 18. Keluarga dimaklumkan pihak hospital sejak minggu lalu bahawa Yasin sudah mendapat kebenaran untuk pulang mengikut prosedur ditetapkan.

Hari ini dia baru dapat keluar dan kebenaran untuk pulang disahkan. Keputusan ini mengambil masa kerana ada banyak proses yang perlu dilalui.- Kata Zain.
Menurutnya, keluarga amat bersyukur selepas melalui tempoh penantian selama empat tahun, lima bulan dan sembilan hari termasuk tempoh perbicaraan.
Perlu masa sesuaikan diri semula

Apa yang lebih melegakan, Yasin kini dikatakan berada dalam keadaan fizikal yang sangat baik dan bertenaga. Malah, Zain sempat berseloroh mengenai perubahan fizikal adiknya yang rajin bersenam sepanjang berada di hospital.
Alhamdulillah, dia sangat sihat dan gembira. Dia sudah mempersiapkan diri untuk keluar sejak sekian lama. Malah kalau tak silap saya, dia ada six-pack sekarang sebab rajin work out sana.- Katanya.

Buat masa ini, keluarga mahu memberi ruang kepada Yasin untuk menyesuaikan diri semula dengan kehidupan seharian sebelum memikirkan soal kembali aktif dalam industri muzik selepas lebih empat tahun tidak bergiat aktif.
Yasin juga masih perlu menjalani pemantauan kesihatan secara berterusan dengan pemeriksaan susulan di hospital setiap bulan.
