Oh! Negara
TNB Catat Prestasi Berdaya Tahan Bagi Separuh Pertama 2026, Lindungi Rakyat Ketika Ketidaktentuan Di Asia Barat
Tenaga Nasional Berhad (TNB) terus mencatatkan prestasi berdaya tahan bagi tempoh separuh pertama tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026 (1H 2026), sekali gus memperteguhkan keupayaannya dalam menyediakan bekalan elektrik yang boleh dipercayai dan selamat, memperkukuh keterjaminan tenaga negara serta memacu agenda peralihan tenaga Malaysia dalam persekitaran tenaga global yang dinamik.
Dalam ketidaktentuan pasaran tenaga global, peningkatan permintaan elektrik dan keperluan peralihan tenaga yang terus berkembang, TNB kekal fokus dalam meneruskan kecemerlangan operasinya, disokong oleh pengurusan kewangan yang berdisiplin serta pelaksanaan strategik model perniagaan bersepadunya.
Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Ts. Shamsul Ahmad berkata, daya tahan ini membolehkan TNB terus melabur dalam ekosistem tenaga Malaysia dan dalam masa sama memberi nilai buat para pemegang taruhnya.
“Prestasi 1H 2026 ini membolehkan kami untuk terus melabur dalam infrastruktur kritikal yang bukan hanya membekalkan tenaga kepada isi rumah dan perniagaan, malah memperkukuhkan keterjaminan tenaga negara, mempercepatkan peralihan tenaga serta memastikan kami dapat terus menyediakan bekalan elektrik yang boleh dipercayai dan selamat di samping mencipta nilai buat pelanggan, pemegang saham dan negara,” katanya.
Bekalan Elektrik Yang Boleh Dipercayai Dan Selamat Untuk Rakyat

Harga bahan api global terus mempengaruhi kos penjanaan elektrik dalam tempoh 1H 2026, mengakibatkan pelarasan di bawah mekanisme Pelarasan Kos Bahan Api Secara Automatik (AFA) yang diperkenalkan Kerajaan.
AFA mencerminkan perubahan dalam kos sebenar bahan api dan dilaksanakan melalui mekanisme yang diluluskan Kerajaan bagi memastikan ketelusan dalam mengurus turun naik kos bahan api.
Pengguna elektrik telah menerima rebat RM3.1 bilion sejak AFA mula diperkenalkan pada Julai 2025 sehingga April tahun ini.
Susulan ketidaktentuan pasaran tenaga global berikutan konflik di Timur Tengah, Kerajaan turut menyalurkan tambahan RM435 juta daripada Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWIE) sejak Mei 2026 bagi mengurangkan impak kepada pengguna.
Walaupun harga bahan api dipengaruhi situasi pasaran global, TNB terus memberikan tumpuan terhadap aspek dalam kawalannya melalui peningkatan kecekapan operasi, mengoptimum prestasi penjanaan dan mengekalkan kebolehpercayaan bekalan.
RM5.6 Bilion Dilaburkan Bagi Memperkukuh Kebolehpercayaan Bekalan

TNB melabur RM5.6 bilion sepanjang 1H 2026 dalam projek berkaitan kebolehpercayaan bekalan bagi memenuhi pertumbuhan permintaan, memastikan keterjaminan bekalan dan mempercepatkan peralihan tenaga.
Menerusi pelaburan berterusan dalam teknologi grid pintar, automasi rangkaian dan penyelenggaraan ramalan, TNB turut memantapkan kemampuannya untuk memulihkan bekalan dengan lebih pantas serta mempertingkatkan pengurusan gangguan bekalan, terutamanya ketika tempoh permintaan elektrik tinggi dan cuaca ekstrem.
Pelaburan ini terbukti membawa hasil, dengan Indeks Tempoh Masa Purata Gangguan Sistem (SAIDI) bertambah baik kepada 23.45 minit.
Memacu Sistem Tenaga Masa Hadapan Malaysia

TNB terus mempercepatkan pelaburan strategik bagi memperkukuh ekosistem tenaga negara dan mempersiapkan Malaysia untuk pertumbuhan permintaan elektrik pada masa hadapan yang dipacu oleh elektrifikasi industri, industri berasaskan kecerdasan buatan (AI) dan pelaburan pusat data.
Antara pencapaian utama sepanjang tempoh ini termasuk:
- Pengoperasian Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) Santong berkapasiti 100 megawatt/400 megawatt-jam di Terengganu, yang diiktiraf sebagai BESS tersambung grid dengan teknologi grid-forming yang pertama di Malaysia.
- Kerjasama dengan Petronas Gas Berhad bagi membangunkan Terminal Regasifikasi Ketiga di Lumut, Perak, seterusnya meningkatkan daya tahan bekalan LNG jangka panjang dan menyokong penjanaan elektrik yang boleh dipercayai.
- Mempercepat peralihan tenaga menerusi penganjuran Persidangan Peralihan Tenaga 2026 yang menghimpunkan lebih 6,000 delegasi dari lebih 60 negara, serta menghasilkan 15 kerjasama strategik merangkumi tenaga boleh baharu, pembangunan grid dan kesalinghubungan serantau.
- Pelancaran Energy Transition and Sustainability Academy (ETSA) dengan tujuan membangunkan bakat masa hadapan dan memperkukuh kerjasama antara industri, ahli akademik dan penggubal dasar dalam merealisasikan penyelesaian peralihan tenaga yang praktikal.
Nilai Berterusan Untuk Komuniti Dan Alam Sekitar

Selain membekalkan tenaga kepada isi rumah dan perniagaan, TNB terus membina nilai berterusan buat komuniti dan alam sekitar.
My Brighter Green Initiative 2026 memperkukuh komitmen TNB terhadap pemeliharaan alam sekitar menerusi penanaman 40,000 anak pokok hutan dan bakau di seluruh negara sepanjang tahun ini.
Inisiatif ini menyumbang kepada pemuliharaan biodiversiti, daya tahan iklim dan penglibatan komuniti, di samping menyokong agenda kelestarian alam sekitar Malaysia.
RM109 Juta Diperuntukkan Bagi Pemerkasaan Komuniti

TNB turut memperluaskan usaha pemerkasaan komuniti menerusi pelbagai inisiatif tanggungjawab sosial korporat, dengan RM109 juta diperuntukkan sepanjang tempoh ini, termasuk:
- Sokongan Pendidikan (RM71.1 juta): Bantuan kepada pelajar menerusi Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) dan Yayasan Tenaga Nasional (YTN), memanfaatkan 7,550 pelajar serta memperkukuh pembangunan modal insan jangka panjang Malaysia.
- Pembangunan Sukan (RM5.4 juta): Pelbagai sokongan yang memanfaatkan 42,420 atlet dan peminat sukan, termasuk program hoki kebangsaan.
- Program Bersama Sekolah (RM7.1 juta): Merangkumi beberapa inisiatif termasuk Ceria Ke Sekolah dan Sekolah Angkat yang memberi manfaat kepada lebih 200,000 murid dan 50 sekolah.
- Program Komuniti dan Sokongan (RM16.3 juta): Pelbagai inisiatif sokongan komuniti termasuk bantuan bencana dan Projek Mesra Rakyat, yang memberi manfaat kepada lebih 200,000 individu.
- Pemerkasaan Komuniti Melalui Elektrifikasi (RM0.4 juta): Inisiatif elektrifikasi termasuk pemasangan sistem solar, pencahayaan LED dan pendawaian semula yang memberi manfaat kepada 3,600 orang.
Selain itu, sejumlah RM8.7 juta zakat wakalah disalurkan kepada lebih 50,000 penerima asnaf.
Prestasi Mampan 1H 2026
Prestasi operasi TNB yang berdaya tahan diterjemahkan kepada kedudukan kewangan yang sihat, membolehkan TNB meneruskan pelaburan dalam infrastruktur kritikal di samping memberikan pulangan kepada pemegang saham.
Bagi 1H 2026, TNB mencatatkan pendapatan RM2.0 bilion, disokong oleh peningkatan jualan elektrik yang sebahagian besarnya disumbangkan oleh sektor komersial serta peningkatan keuntungan operasi.
Prestasi yang stabil ini membolehkan Lembaga Pengarah mengisytiharkan dividen interim sebanyak 25 sen sesaham, selaras dengan dasar dividen syarikat.
Pembayaran dividen tersebut berjumlah RM1.5 bilion yang akan diagihkan kepada pemegang saham TNB, dengan 64.1% disalurkan ke syarikat-syarikat pelaburan berkaitan Kerajaan, termasuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Khazanah Nasional Berhad, Permodalan Nasional Berhad, Kumpulan Wang Persaraan dan Lembaga Tabung Haji.
“Justeru, manfaat ini dipulangkan secara terus kepada jutaan rakyat Malaysia, lantas mencerminkan komitmen TNB dalam memberi nilai di samping menyumbang kembali kepada negara,” kata Shamsul.
Daya tahan kewangan TNB terus menyediakan asas kukuh bagi pelaburan berterusan dalam pemodenan grid, integrasi tenaga boleh baharu, pendigitalan dan peluasan infrastruktur yang menyokong keterjaminan tenaga serta pembangunan ekonomi jangka panjang Malaysia.
Kekal Teguh Berkhidmat Untuk Rakyat
Melangkah ke hadapan, permintaan elektrik dijangka kekal pada trajektori pertumbuhan yang stabil, disokong oleh perkembangan sektor perindustrian, digitalisasi, bangunan pintar, mobiliti elektrik dan peningkatan pelaburan dalam industri berasaskan AI dan pusat data.
“TNB komited untuk memberikan nilai jangka panjang bukan sahaja kepada pemegang saham, tetapi lebih penting kepada rakyat, dengan memastikan peralihan tenaga memperkukuhkan ekonomi Malaysia, mewujudkan peluang baharu dan mempertingkat kualiti hidup generasi akan datang,” kata Shamsul.
Di sebalik permintaan yang terus berkembang, TNB berdiri teguh bersama tanggungjawab utamanya, menyediakan bekalan elektrik yang boleh dipercayai, terjamin dan mudah diakses kepada rakyat Malaysia.

