Trending
ADUN Dedah Punca ‘Flat’ Rohingya Di Hulu Langat Berlarutan, Rupa-Rupanya Pemilik Tanah Yang Benarkan
Pemilik tanah didakwa menjadi punca isu ‘flat’ Rohingya di Hulu Langat terus berlarutan.
Baru-baru ini, tular di media sosial rakaman video memaparkan penyampai radio Azad Jasmin mendedahkan binaan haram dipercayai dibuat warga Rohingya di Hulu Langat, Selangor.
BACA: Pak Azad Terjumpa ‘Flat’ Empat Tingkat Didakwa Dibina Rohingya Di Hulu Langat
Terbaru, Harian Metro melaporkan isu ‘flat’ empat tingkat itu rupa-rupanya bukan perkara baharu dan sudah lama berada dalam perhatian pihak berkuasa.
Isu sudah dibangkitkan sejak tahun lalu
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dusun Tua, Datuk Johan Abd Aziz, masalah penempatan yang dikaitkan dengan komuniti Rohingya itu dipercayai berpunca daripada tindakan pemilik tanah yang membenarkan warga asing membina dan tinggal di kawasan berkenaan.
Beliau sendiri pernah membangkitkan isu itu dalam Mesyuarat Tindakan Daerah Hulu Langat sejak tahun lalu untuk perhatian dan tindakan agensi berkaitan.
Malah, beberapa operasi, pemantauan dan tindakan penguatkuasaan juga sudah dijalankan bagi menangani isu tersebut.
Namun, punca utama ialah tindakan pihak pemilik tanah yang membenarkan penggunaan tanah bagi tujuan penempatan dan pembinaan struktur tanpa kelulusan, termasuk menyediakan kemudahan utiliti seperti bekalan air dan elektrik.
Tambahnya, apa yang dilakukan bukan setakat melanggar peraturan malah menyukarkan usaha agensi kerajaan untuk menangani isu itu secara berkesan.
Johan menjelaskan, sebahagian maklumat mengenai tindakan yang sudah diambil tidak boleh didedahkan kepada umum kerana operasi penguatkuasaan masih berjalan.
Namun, berdasarkan maklumat yang diterima, beliau melihat peranan pemilik tanah sebagai antara faktor utama yang menyebabkan isu berkenaan terus berlarutan.
Pada pandangan saya, tindakan tidak boleh hanya tertumpu kepada penghuni semata-mata, sebaliknya perlu memberi fokus kepada pihak yang membenarkan dan memudahkan aktiviti ini berlaku di atas tanah milik mereka.
Beliau turut menegaskan bahawa tindakan tidak sepatutnya hanya dikenakan terhadap penghuni, sebaliknya pihak yang membenarkan kawasan itu digunakan juga perlu dipertanggungjawabkan.


Johan berkata, isu tersebut akan dibangkitkan semula dalam Mesyuarat Tindakan Daerah akan datang supaya tindakan lebih menyeluruh dapat diambil.
Berdasarkan maklumat, kira-kira 400 individu etnik Rohingya dipercayai membuat dan membina perkampungan di lokasi sama.
Pssttt! Kalau benar ada pemilik tanah yang sengaja membenarkan pembinaan tanpa kelulusan, perkara ini memang tak boleh dipandang ringan. Bukan sahaja melibatkan soal undang-undang, malah keselamatan penghuni dan penduduk sekitar juga perlu diberi perhatian.
Kredit: Harian Metro
Reaksi netizen di Facebook, X, dan Instagram.
** Selain dari Whatsapp Channel, dapatkan kemaskini Oh! Media setiap hari terus ke emel melalui langganan percuma di bawah.
