Connect with us

Oh! Media

Wudhu’ Dan Solat Bagi Orang Yang Melecur Terbakar

Umum

Wudhu’ Dan Solat Bagi Orang Yang Melecur Terbakar

Soalan:
Pesakit yang terbakar teruk tidak boleh wuduk dan tayammum, bagaimana cara mereka untuk menunaikan solat. Proses penyembuhan mengambil masa yang lama iaitu 3 hingga 5 bulan. Wajibkah solat bagi pesakit ini? Adakah boleh solat tanpa wuduk & tayammum?

Jawapan:
Solat merupakan ibadah yang disyariatkan kepada umat Islam dan ia terbahagi kepada dua iaitu fardhu dan sunat. Solat fardhu merupakan ibadah wajib yang ditunaikan pada lima waktu sehari semalam. Solat sunat merupakan ibadah sunat yang dikerjakan lalu mendapat pahala jika ditinggalkan tidak mendatangkan dosa. Namun begitu, sungguhpun ia merupakan fardhu atau sunat, syarat sah melakukannya perlu seseorang itu suci dan bersih anggota badannya dari hadas besar dan kecil. Hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA:

لاَ يَقْبَلُ اللَّهُ صَلاَةَ أَحَدِكُمْ إِذَا أَحْدَثَ حَتَّى يَتَوَضَّأَ
“Allah SWT tidak menerima solat mereka yang berhadas sehingga dia berwudhu’.” (Riwayat al-Bukhari, No. 6954)

Maka hadis ini jelas menyatakan bahawa wudhu’ merupakan salah satu syarat untuk bersolat. Wuduk atau wudhu’ merupakan salah satu cara untuk menyucikan diri daripada hadas kecil. Begitu juga, jika ketiadaan air atau air yang ada tidak mencukupi, maka wudhu’ boleh diganti dengan cara bertayamum.

Imam Nawawi pernah menyatakan kedudukan seseorang yang solat tanpa berwudhu’ kerana terlupa. Hal ini telah menatijahkan solatnya terbatal dan perlu diulangi semula.

أَجْمَعَ الْمُسْلِمُونَ عَلَى تَحْرِيمِ الصَّلَاةِ عَلَى الْمُحْدِثِ وَأَجْمَعُوا عَلَى أَنَّهَا لَا تَصِحُّ مِنْهُ سَوَاءٌ إنْ كَانَ عَالِمًا بِحَدَثِهِ أَوْ جَاهِلًا أَوْ نَاسِيًا لَكِنَّهُ إنْ صَلَّى جَاهِلًا أَوْ نَاسِيًا فَلَا إثْمَ عَلَيْهِ وَإِنْ كَانَ عَالِمًا بِالْحَدَثِ وَتَحْرِيمِ الصَّلَاةِ مَعَ الْحَدَثِ فَقَدْ ارْتَكَبَ مَعْصِيَةً عَظِيمَةً وَلَا يَكْفُرُ عِنْدَنَا بِذَلِكَ إلَّا أَنْ يَسْتَحِلَّهُ ، وَقَالَ أَبُو حَنِيفَةَ : يَكْفُرُ لِاسْتِهْزَائِهِ
“Kaum muslimin bersepakat bahawa haramnya solat bagi orang yang berhadas. Mereka juga bersepakat sama ada dia mengetahui hadasnya atau jahil (tidak tahu) atau terlupa. Tetapi jika dia menunaikan solat kerana dia tidak tahu dia berada di dalam keadaan berhadas, maka tidak ada dosa untuknya. Sebaliknya, jika dia mengetahui bahawa dia berada di dalam keadaan hadas dan mengetahui larangan solat dalam keadaan berhadas, maka dia telah melakukan dosa besar tetapi tidak sampai tahap orang yang kafir menurut pandangan kami (mazhab syafie), kecuali jika dia menyatakan bahawa hal itu diperbolehkan. Abu Hanifah menyatakan bahawa dia telah kufur kerana mempermainkan agama.” (Majmu’ Syarah Muhazzab, m/s 79)

Berbalik kepada persoalan yang diajukan, bagaimana cara bagi pesakit yang terbakar teruk yang tidak boleh untuk berwudhu’ dan bertayamum untuk menunaikan solat? Maka dalam keadaan ini, ia dipanggil sebagai golongan yang dinamakan sebagai “Faqid al-Tohurain (orang yang kehilangan dua cara bersuci).” Terdapat 2 perbahasan berkenaan Faqid al-Tohurain, pertama orang yang tidak dapat menemukan air untuk berwudhu’ atau debu tanah untuk bertayammum, kedua orang yang ada air untuk berwudhu’ dan debu tanah untuk bertayammum, tetapi tidak mampu untuk digunakan kerana sakit atau sebagainya. Maka melihat daripada situasi soalan ini, ia tergolong di dalam perbahasan kedua.


Perbincangan berkenaan Faqid al-Tohurain ini telah banyak dibincangkan oleh para fuqaha’. Menerusi kitab Zaad al-Mustaqni’ telah menyatakan bahawa para fuqaha’ berbeza pandangan mengenai isu ini:

قال بعض العلماء : يصلي متيمماً ويعيد، وقال بعضهم : لا يصلي ولا يعيد. وقال بعضهم : يصلي ولا يعيد، وقال بعضهم: يقضي ولا يصلي. هذه المسألة تسمى مسألة فاقد الطهورين
Sebahagian ulama’ berkata: “Hendaklah dia solat dan mengulangi solatnya”, sebahagian yang lain berkata: “Dia tidak perlu solat dan tidak perlu ulangi solatnya”, sebahagian yang lain pula berkata: “Dia solat dan tidak perlu ulangi solatnya”, sebahagian yang lain berkata: “Dia qadha’kan solatnya dan tidak perlu solat (ketika itu).” Persoalan ini dinamakan sebagai “Masalah Faqid al-Tohurain”.

Pada zaman Baginda Nabi SAW, pernah berlaku peristiwa ketiadaan air untuk berwudhu’ ketika para sahabat mencari rantai Sayyidatina Aisyah R.Anha yang hilang.

عَنْ عَائِشَةَ، أَنَّهَا اسْتَعَارَتْ مِنْ أَسْمَاءَ قِلاَدَةً فَهَلَكَتْ، فَبَعَثَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم رَجُلاً، فَوَجَدَهَا فَأَدْرَكَتْهُمُ الصَّلاَةُ وَلَيْسَ مَعَهُمْ مَاءٌ فَصَلَّوْا، فَشَكَوْا ذَلِكَ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فَأَنْزَلَ اللَّهُ آيَةَ التَّيَمُّمِ‏.‏
Bahawasanya Aisyah R.Anha pernah meminjam seutas rantai dari Asma binti Abu Bakar R.Anha, lalu rantai tersebut hilang. Maka Rasulullah SAW menyuruh beberapa orang mencari dan akhirnya mereka menemuinya kembali. Pada ketika mereka hendak menunaikan solat, tidak ada air bagi mereka untuk berwudhu’. Maka mereka bersolat tanpa mengambil wudhu’ lalu menceritakan kepada Baginda Nabi SAW. Kemudian turun ayat mensyariatkan tayammum. (Riwayat al-Bukhari, No. 336)

Imam Ibnu Hajar al-Asqalani ketika mensyarahkan hadis ini, beliau menyatakan bahawa pada ketika itu, tidak ada lagi pensyariatan tayammum menggunakan debu tanah. Maka apabila para sahabat berijtihad melakukan solat tanpa berwudhu’ lalu dikhabarkan kepada Baginda Nabi SAW. Perbuatan ini tidak diingkari dan ditegah oleh Nabi SAW. Hal tersebut turut digunapakai oleh ulama’ Syafieyah dan Hanabilah juga sebahagian besar ulama’ Malikiyah. Maka jelas daripada hadis tersebut menunaikan solat walaupun ketiadaan air untuk berwudhu’ atau debu tanah untuk bertayammum adalah wajib. (Rujuk Fathul Bari, m/s 1/440)

Begitu juga di dalam kitab Majmuk Syarh Muhazzab, pendapat yang muktamad menyatakan bahawa orang yang tidak dapat menemukan air untuk berwudhu’ atau debu tanah untuk bertayammum, wajib ke atasnya untuk menunaikan solat tersebut dan mengulanginya. Hal ini adalah kerana, dia melakukan solat dalam keadaan berhadas dan tidak sempurna dan ini adalah عذر نادر غير متصل uzur yang jarang sekali terjadi dan tidak berlaku secara berterusan.

Sebagai kesimpulan, kami berpendapat bahawa, pesakit yang terbakar teruk atau sebagainya yang tidak boleh untuk berwudhu’ atau bertayamum untuk menunaikan solat, ia terbahagi kepada dua. Pertama, jika tempoh masanya panjang dan lama, wajib bagi dirinya untuk menunaikan solat tetapi tidak perlu untuk diqadha’kan. Ini adalah bersandarkan kepada pendapat yang dipilih oleh Imam Nawawi yang bersetuju kepada kata-kata daripada Imam al-Muzani yang menyatakan tidak perlu qadha’ bagi mereka yang sakit kerana terhalang daripada bersuci. (Rujuk: Taqrirat Sadidah)

Adapun begitu, jika tempoh masanya adalah singkat, maka wajib bagi dirinya untuk menunaikan solat dan mengqada’kannya semula, sebagaimana pendapat muktamad di dalam mazhab Syafie. Wallahua’lam.

+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media

Penulis sepenuh masa di Oh! Media. Mencipta Oh! Media sejak dari dalam perut mak lagi. Hi Awak!

Comments

Lagi dalam kategori Umum

Trending

To Top