Connect with us

Oh! Media

Wanita Solehah Yang Bijaksana

Umum

Wanita Solehah Yang Bijaksana

ADVERTISEMENT
Ummu Sulaim bintu Milhan ialah ibu kepada pembantu Rasulullah yakni Anas bin Malik. Dia adalah salah seorang penduduk syurga yang digelar Ghumaisha’ seperti yang telah disabdakan oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dalam sebuah hadis: “Ketika aku masuk ke dalam syurga, aku mendengar bunyi tapak kaki berjalan, maka aku pun terus bertanya: “Bunyi kaki siapa itu?” Para penghuni syurga menjawab: “Itu adalah Ghumaisha’ bintu Milhan (Ummu Sulaim), ibu Anas bin Malik.” (Sahih Muslim, no. 4494, Musnad Ahmad, no. 11808)
KEBIJAKSANAAN ISTERI SOLEHAH DALAM MENJAGA KEBAJIKAN SUAMI
Diriwayatkan oleh Anas bin Malik, dia berkata: “Pada suatu ketika seorang putera Abu Talhah dan isterinya yang bernama Ummu Sulaim, meninggal dunia. Kemudian Ummu Sulaim berkata kepada keluarganya: “Janganlah kalian memberitahu musibah ini kepada Abu Talhah sehingga saya sendiri yang akan memberitahukannya.” Tidak lama kemudian Abu Talhah tiba di rumah. Seperti biasa, Ummu Sulaim menghidangkan makan malam untuk suaminya. Lalu Abu Talhah makan dan minum dengan senangnya. Kemudian Ummu Sulaim mula berhias lebih cantik daripada hari biasanya hingga Abu Talhah menggaulinya.
Setelah mengetahui bahawasanya Abu Talhah telah merasa puas dan lega, maka Ummu Sulaim berkata: “Wahai Abu Talhah, bagaimana menurut pendapat engkau apabila ada sekumpulan orang memberikan pinjaman kepada suatu keluarga. Kemudian, ternyata pinjaman tersebut mereka minta kembali. Apakah boleh keluarga itu menolak permintaannya?” Dengan mantap Abu Talhah menjawab: “Tentu saja keluarga itu tidak boleh menolak permintaan kumpulan itu.” Lalu Ummu Sulaim berkata: “Maka demikian dengan anak kita, ketahuilah bahawasanya anak kita yang tercinta telah diminta oleh Zat yang telah Mencipta dan Memilikinya. Oleh kerana itu relakanlah kematian putera kita tersebut.” Betapa terkejut dan marahnya Abu Talhah mendengar informasi yang disampaikan isterinya itu. Lalu dia pun berkata kepada isterinya: “Mengapa kamu tidak memberitahu terlebih dahulu berita ini? Tetapi kamu memberitahukannya kepadaku setelah aku menggaulimu?”
Keesokan harinya Abu Talhah pergi menemui Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam untuk menceritakan kepada beliau tentang apa yang telah terjadi pada keluarganya. Mendengar cerita sedih tersebut, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Semoga Allah memberkati kalian berdua dalam menjalani malam kalian (persetubuhan).” Beberapa bulan kemudian, Ummu Sulaim mula memperlihatkan tanda-tanda kehamilan. Suatu ketika Rasulullah sedang bermusafir dan Ummu Sulaim turut serta dalam perjalanan tersebut. Biasanya, apabila Rasulullah pulang dari bermusafir -setibanya di Madinah- maka beliau tidak langsung masuk ke kampung. Tibanya dekat kota Madinah, Ummu Sulaim mula merasakan saat-saat hendak melahirkan hingga Abu Talhah berhenti untuk mendampinginya sementara Rasulullah telah pergi.
Abu Talhah berkata: “Ya Allah ya Tuhanku, sesungguhnya Engkau Maha Tahu bahawasanya saya merasa senang keluar untuk menyertai Rasul-Mu ketika beliau keluar. Begitu pula saya merasa senang masuk untuk menyertainya, ketika beliau akan masuk (kota Madinah), tapi sekarang saya terhenti seperti yang Engkau lihat.” Ummu Sulaim berkata: “Hai Abu Talhah, saya sudah tidak tahan lagi. Marilah terus percepat perjalanan!” Akhirnya mereka terus melanjutkan perjalanan. Ketika tiba di kota Madinah, maka Ummu Sulaim pun melahirkan seorang anak laki-laki dengan selamat. Ummu Sulaim berkata kepada Anas: “Hai Anas, janganlah ada seorang pun yang menyusui bayi ini hingga kamu membawanya ke hadapan Rasulullah.”
Anas berkata: “Esok harinya, saya membawa bayi tersebut kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Saya temui beliau yang pada ketika itu sedang memegang alat untuk memberi tanda pada haiwan. Ketika Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam melihat saya, beliau bersabda: “Hai Unais (nama panggilan Anas), apakah Ummu Sulaim telah melahirkan?” Maka saya dengan senang hati menjawab pertanyaan beliau: “Ya, dia telah melahirkan ya Rasulullah.” Kemudian beliau letakkan alat untuk memberi tanda pada haiwan itu. Lalu saya pun membawa bayi itu ke hadapan Rasulullah dan meletakkannya di atas pangkuan beliau. Kemudian Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam minta dibawakan kurma ajwah Madinah. Lalu beliau lumatkan kurma tersebut dengan mulut beliau dan disuapkannya ke dalam mulut bayi itu (tahnik). Maka bayi itu segera mengunyahnya. Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Lihatlah, memang kaum Ansar itu sangat menyukai kurma!” Kemudian Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam mengusap wajah bayi itu dengan penuh kasih sayang serta memberinya nama Abdullah.” (Sahih Muslim, no. 4496)
KEBERKATAN ATAS KESABARAN SUAMI ISTERI

Dalam riwayat yang lain, ketika Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam mengucapkan kepada Abu Talhah: “Semoga Allah memberkati kalian berdua pada malam kalian itu (persetubuhan)”, maka beberapa lama kemudian ada seorang dari kalangan Ansar berkata: “Aku melihat keduanya (Abu Talhah dan Ummu Sulaim) memiliki sembilan anak yang semuanya telah hafal Al-Quran.” (Sahih Bukhari, no. 1218)

Comments

Lagi dalam kategori Umum

Ke Atas