Connect with us

Oh! Media

Tuntutan Hutang Nafkah Tertunggak Daripada Harta Si Mati

Umum

Tuntutan Hutang Nafkah Tertunggak Daripada Harta Si Mati

SOALAN:
Seorang suami telah mengabaikan nafkah zahir berbelas tahun lamanya. Apabila suami ini meninggal dunia, adakah nafkah yang tertunggak dianggap hutang? Bolehkah isteri menuntut segala nafkah tertunggak sebelum bakinya difaraidkan?

ADVERTISEMENT

JAWAPAN:
Sebagai mukadimah, kami kemukakan dalil pada asalnya wajib suami menafkahi isteri dan anak-anaknya. Sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Jabir R.A, Rasulullah SAW bersabda:

ابْدَأْ بِنَفْسِكَ فَتَصَدَّقْ عَلَيْهَا ، فَإِنْ فَضَلَ شَيْءٌ فَلِأَهْلِكَ ، فَإِنْ فَضَلَ عَنْ أَهْلِكَ شَيْءٌ فَلِذِي قَرَابَتِكَ ، فَإِنْ فَضَلَ عَنْ ذِي قَرَابَتِكَ شَيْءٌ فَهَكَذَا وَهَكَذَا
“Mulakan nafkah dengan dirimu. Jika berbaki, berikanlah kepada ahli keluargamu. Jika masih berbaki, berikanlah kepada saudara-maramu yang terdekat dan jika masih berbaki lagi, berikanlah kepada mereka dan seterusnya.” [Riwayat al-Bukhari (6763) dan Riwayat Muslim (997)]

Imam al-Syaukani menyebut: “Nafkah kepada keluarga tetap wajib meskipun ketua keluarga jatuh miskin. Ijma’ ulama’ turut sepakat mewajibkan nafkah terhadap isteri dan anak-anak.” [Lihat: Nail al-Autar, (6/381)]

Fuqaha’ mazhab telah membahaskan nafkah yang berlalu tempoh masa (tunggakan). Jumhur fuqaha’ mazhab berpendapat gugur tunggakan nafkah anak dan tidak menjadi hutang sekiranya ayahnya telah memenuhi keperluan anak pada tempoh masa lalu. Berbeza pula dengan nafkah isteri yang tetap menjadi hutang walaupun sudah berlalu tempoh masa menurut majoriti fuqaha’ kecuali fuqaha Hanafi. [Lihat: al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, (7 /816, 829)]

Selain itu, Akta 303 Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984 bahagian VI Nafkah isteri, anak-anak dan lain-lain. Seksyen 69 memperuntukkan tuntutan tunggakan nafkah: “Tunggakan nafkah yang tanpa jaminan boleh dituntut sebagai suatu hutang daripada pihak yang mungkir itu, dan jika tunggakan itu terkumpul kena dibayar sebelum suatu perintah penerimaan dibuat terhadap pihak yang mungkir itu, tunggakan itu boleh dibuktikan dalam kebankrapannya, dan jika tunggakan itu terkumpul kena dibayar sebelum dia mati, tunggakan itu hendaklah menjadi suatu hutang yang kena dibayar daripada harta pusakanya.” [Lihat: Pin. Akta A902:s.21]

Berdasarkan akta tersebut, tunggakan nafkah yang telah diabaikan dalam tempoh perkahwinan menjadi hutang ke atas suaminya. Hutang perlu dilangsaikan walaupun selepas orang yang berhutang tersebut meninggal dunia. Oleh itu, hutang termasuk dalam perkara yang wajib dilangsaikan sebelum pembahagian harta pusaka secara faraid. Hal ini jelas sepertimana sabda Rasulullah SAW:

أَنَا أَوْلَى بِالْمُؤْمِنِينَ مِنْ أَنْفُسِهِمْ، فَمَنْ تُوُفِّيَ وَعَلَيْهِ دَيْنٌ فَعَلَيَّ قَضَاؤُهُ، وَمَنْ تَرَكَ مَالًا فَهُوَ لِوَرَثَتِهِ
“Aku adalah lebih penting bagi orang-orang Mukmin daripada diri mereka sendiri. Sesiapa yang meninggal dunia sedangkan masih berhutang dan tidak dapat diselesaikan, maka kami akan melunaskannya. Sesiapa yang meninggalkan harta maka serahkan kepada warisnya.” [Riwayat al-Bukhari (2298), Riwayat Muslim (1619)]

Berdasarkan hadith di atas, apabila meninggalnya seseorang, maka harta peninggalannya mestilah diagihkan kepada para waris mengikut faraid setelah diselesaikan terlebih dahulu kewajipan-kewajipan harta pusaka iaitu pengurusan jenazah, menyelesaikan hutang-hutangnya dan melunaskan wasiatnya.

Penutup

Tuntasnya, kami berpendapat bahawa tunggakan nafkah terhadap isteri yang tidak ditunaikan dianggap sebagai hutang berdasarkan pandangan majoriti fuqaha’. Maka hutang wajib dilangsaikan daripada harta si mati sebelum pembahagian harta pusaka secara faraid dilaksanakan. Justeru, kes nafkah tertunggak mahupun harta sepencarian boleh tuntut di Mahkamah Syariah.

Semoga penjelasan ini memberikan kefahaman dan pencerahan kepada masyarakat. Ameen.

Oleh: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media

Comments

Lagi dalam kategori Umum

Ke Atas