Connect with us

Oh! Media

Status Solat: Tidak Pasti Keluar Mazi Ketika Solat, Namun Ada Kesan Pada Kain

Umum

Status Solat: Tidak Pasti Keluar Mazi Ketika Solat, Namun Ada Kesan Pada Kain

SOALAN:
Sewaktu melakukan solat saya tidak pasti air mazi saya keluar ataupun tidak. Kemudian selepas solat saya lihat terdapat beberapa kesan pada kain sembahyang saya. Adakah sah solat saya sebelum itu atau saya kena qadha solat tersebut?

ADVERTISEMENT

JAWAPAN:
Air mazi menurut istilah fiqh adalah air jernih yang melekit keluar ketika timbulnya syahwat (Lihat: al-Mausu’ah al-Fiqhyyah al-Kuwaitiyyah, 36/315)

Imam al-Nawawi di dalam kitabnya menyatakan perbezaan antara mani dan mazi adalah, air mani keluar ketika kemuncak syahwat serta mengakibatkan kepenatan. Adapun mazi keluar ketika bersyahwat tidak mengakibatkan kepenatan. (Lihat: al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 2/141)

Mazi termasuk di dalam kategori najis Mutawassithoh (sederhana), ia perlu dihilangkan ain (bau, rasa dan warna) serta menyucikannya menggunakan air mutlak. Keluar mazi merupakan perkara yang membatalkan wudhu’ dan tidak perlu kepada mandi. Ini seperti hadith yang diriwayatkan oleh Sayyidina Ali R.A katanya:

كُنْتُ رَجُلاً مَذَّاءً فَاسْتَحْيَيْتُ أَنْ أَسْأَلَ النَّبِىَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَأَمَرْتُ الْمِقْدَادَ بن الأسود فَسَأَلَهُ فَقَالَ: فِيهِ الْوُضُوءُ، وَلِمُسْلِمٍ: يَغْسِلُ ذَكَرَهُ وَيَتَوَضَّأُ
“Aku seorang yang selalu keluar mazi dan aku berasa malu untuk bertanya kepada Rasulullah SAW. Aku menyuruh Miqdad bin al-Aswad menanyakannya. Baginda menjawab: “Dia hendaklah berwudhu’.” Dalam riwayat Muslim: “Dia hendaklah membasuh zakarnya dan berwudhu’.” [Riwayat al-Bukhari (176) dan Muslim (303)]

Perkara yang membatalkan Solat

Perkara yang membatalkan solat adalah tidak suci daripada hadas seperti hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A, Sabda Nabi SAW:

لاَ يَقْبَلُ اللَّهُ صَلاَةَ أَحَدِكُمْ إِذَا أَحْدَثَ حَتَّى يَتَوَضَّأَ
“Tidak diterima Allah SWT akan solat seseorang itu apabila ia berhadas sehingga ia berwudhu’.” [Riwayat al-Bukhari (6954)]

Imam al-Nawawi menyatakan: “Sesuatu yang keluar daripada qubul dan dubur adalah perkara yang membatalkan wudhu’. Sama ada najis, kencing, angin, ulat, muntah darah batu-batu dan lain-lain dan ini tidak dibezakan antara jarang berlaku atau kebiasaannya.” (Lihat: al-Majmu’ syarh al-Muhazzab, 2/4)

Selain itu, perkara yang membatalkan solat adalah berhadas sebelum memberi salam yang pertama. Ini seperti yang diterangkan di dalam al-Fiqh al-Manhaji bahawa tidak ada perbezaan sekiranya ia berhadas secara sengaja atau terlupa, ini kerana hilangnya salah satu daripada syarat solat iaitu bersuci daripada hadas sebelum sempurna daripada melakukan setiap rukun solat. Adapun sekiranya berhadas selepas memberi salam yang pertama sebelum salam yang kedua maka sah solatnya. Ini merupakan ijma’ para fuqha’. (Lihat: al-Fiqh al-Manhaji, 1/169)

Syarat Sah Solat

Di dalam perkara ini, Dr. Muhammad Zuhaili menyatakan di dalam kitabnya di antaranya adalah: “Meninggalkan salah satu daripada syarat solat. Seperti bersuci daripada hadas, suci daripada najis pada pakaian, menghadap kiblat, menutup aurat dan masuknya waktu solat. Dan apabila hilang salah satu daripada syarat ini maka batallah solatnya.” (Lihat: al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e, 1/333)

Begitu juga disyaratkan supaya suci badan, tempat solat dan pakaian seseorang itu darupada segala najis. Firman Allah SWT:

وَثِيَابَكَ فَطَهِّرْ
“Dan pakaianmu, maka hendaklah engkau bersihkan.” (Surah Al-Muddatthir: 4)

Sheikh Abdurrahman Al-Sa’di di dalam tafsirnya bahawa yang dimaksudkan juga di dalam ayat tersebut ialah membersihkan pakaian daripada najis. Ini kerana ianya merupakan salah satu kesempurnaan amalan khususnya di dalam solat. Oleh sebab itu diperintahkan untuk membersihkan pakaian daripada segala jenis najis pada setiap waktu khususnya waktu solat. (Lihat: Taysir Al-Karim Al-Rahman Fi Tafsir Al-Kalam Al-Mannan, 2/132)

Kesimpulan

Berbalik kepada persoalan di atas dan berdasarkan perbahasan yang diberikan, dapat kami simpulkan sini kepada beberapa keadaan:

  • Sekiranya semasa melakukan solat terdapat tanda-tanda keluarnya mazi seperti dapat merasakan sesuatu yang keluar daripada kemaluannya serta terdapat kesan basah pada pakaiannya, maka perkara itu membatalkan solat dan wajib untuk mengulanginya.
  • Begitu juga, sekiranya telah sempurna solatnya kemudian terdapat kesan mazi pada pakaiannya, maka wajib mengulangi solat semula. Ini kerana terdapat najis pada pakaian dan bersuci daripada najis merupakan syarat sah solat. Oleh itu, ia harus menyucikan kesan najis tersebut sekiranya hendak menggunakan pakaian itu semula di dalam solat.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang sahih terhadap agama-Nya serta taufiq dan hidayah untuk mengamalkan syariat-Nya dengan sebaiknya.

Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media

Comments

Lagi dalam kategori Umum

Ke Atas