Connect with us

Oh! Media

Tersalah Solat Bersama Jemaah Yang Telah Selesai Solat Berjemaah

Umum

Tersalah Solat Bersama Jemaah Yang Telah Selesai Solat Berjemaah

SOALAN:
Apakah hukum jika saya tersalah solat berjemaah bersama dengan jemaah yang saya sangka masih berimam, tetapi setelah itu saya mendapati bahawa mereka sebenarnya telah selesai? Apakah saya perlu menyambung solat saya atau memulakannya semula?

ADVERTISEMENT

JAWAPAN:
Rasulullah SAW memerintahkan umatnya supaya mendirikan solat dan menggalakkan mereka untuk mendirikannya secara berjemaah. Firman Allah SWT:

وَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ وَآتُوا الزَّكَاةَ وَارْكَعُوا مَعَ الرَّاكِعِينَ
“Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat, dan rukuklah kamu semua (berjemaah) bersama-sama orang-orang yang rukuk.” (Surah al-Baqarah: 43)

Disamping itu, dalam satu hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW bersabda:

صَلاَةُ الْجَمَاعَةِ أَفْضَلُ مِنْ صَلاَةِ الْفَذِّ بِسَبْعٍ وَعِشْرِينَ دَرَجَةً
“Solat secara berjemaah lebih baik daripada solat bersendirian sebanyak 27 darjat.” [Riwayat Muslim (1509)]

Di dalam riwayat lain menyebutkan:

صَلاَةُ الْجَمَاعَةِ أَفْضَلُ مِنْ صَلاَةِ أَحَدِكُمْ وَحْدَهُ بِخَمْسَةٍ وَعِشْرِينَ جُزْءًا
“Solat secara berjemaah lebih baik daripada solat kalian yang secara bersendirian sebanyak 25 bahagian.” [Riwayat Muslim (1504)]

Imam al-Nawawi menyatakan bahawa sama ada 25 atau 27 bahagian adalah berdasarkan keadaan solat dan orang yang menunaikannya. Ada yang dapat 25 darjat dan ada yang dapat 27 berdasarkan kesempurnaan solatnya dan sejauh mana dia menjaga solat secara berjemaah. (Rujuk al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 4/183)

Berbalik kepada persoalan yang ditanya, hukum tersalah solat bersama dengan jemaah yang sudah selesai berjemaah dengan imam adalah tidak sah dan wajib untuk diulang semula solatnya. Ini kerana kaedah fiqh menyebutkan bahawa;

لَا عِبْرَةَ بِالظّنّ البَيّن خَطَؤُهُ
“Tidak diambil kira dengan andaian-andaian yang sudah jelas kesalahannya.”

Hal ini bermaksud jika seseorang itu menyedari bahawa dia tersalah mengikut jemaah yang imamnya sudah selesai menunaikan solat, maka tidak boleh dia mengandaikan lagi bahawa solatnya adalah sah mengikut imam dan meneruskan solat.

Sheikh Ba’lawiy dalam membincangkan berkaitan perkara ini di dalam kitabnya Bughyat al-Mustarsyidin menyebutkan bahawa:

مَسْأَلَة: رَأَى جَمَاعَةً يُصَلُّونَ فَظَنَّ أَنَّهُم مُقْتَدُونَ بِإِمَامٍ وَلَمْ يَدْرِ أَيَّهُم هُوَ فَصَلَّى مَعَهُم، ثُمَّ تَبَيَّنَ أَنَّهُم مُنْفَرِدُونَ وَجَبَتْ الِإعَادَة
“Seseorang melihat jemaah sedang mendirikan solat dan menyangka bahawa mereka sedang solat berjemaah dengan mengikuti imam, namun dia tidak tahu siapakah dalam kalangan mereka itu yang menjadi imam, lalu dia solat bersama mereka. Walau bagaimanapun, selepas itu dia mendapati bahawa mereka sebenarnya solat secara bersendirian. Oleh itu, maka wajiblah keatas dia untuk mengulangi kembali solatnya tersebut.” (Rujuk Bughyat al-Mustarsyidin: 92)

Disamping itu juga, Imam Ramli menyebutkan di dalam fatwanya bahawa:

سُئِلَ عَمَّنْ رَأَى جَمَاعَةً يُصَلُّونَ فَظَنَّ أَنَّهُم مُقْتَدُونَ بِإِمَامٍ وَلَمْ يَدْرِ أَيَّهُم هُوَ فَاقْتَدَى بِهِ وَصَلَّى مَعَهُم، ثُم تَبَيَّنَ كَوْنُهُم مُنْفَرِدِينَ فَهَلْ تَجِبُ إِعَادَةُ صَلَاتِهِ أَمْ لَا؟ فَأَجَابَ بِأَنَّهُ تَجِبُ إِعَادَةُ صَلَاتِهِ
“Ditanyakan tentang seseorang yang melihat jemaah sedang mendirikan solat dan menyangka bahawa mereka sedang mendirikan solat jemaah dengan mengikuti imam namun dia tidak mengetahui siapakah dalam kalangan mereka itu yang menjadi imam, lalu dia mengikuti mereka dan solat bersama mereka. Walau bagaimanapun, selepas itu dia mendapati bahawa mereka sebenarnya solat secara bersendirian. Soalannya, adakah wajib dia mengulangi solatnya tersebut ataupun tidak? Maka Sheikh menjawab bahawa dia wajib mengulangi semula solatnya tersebut.” (Rujuk Fatwa al-Ramli fi Furu’ al-Fiqh al-Syafie: 136)

Kesimpulan

Berdasarkan perbincangan dan perbahasan di atas, kami menyatakan bahawa hukum tersalah solat bersama jemaah yang disangka mengikuti imam tapi sebenarnya masbuq dan telah selesai jemaah mereka bersama imam adalah tidak sah. Justeru itu, hendaklah saudara yang bertanya tidak meneruskan solatnya dan hendaklah mengulangi kembali solat yang dilakukan tersebut.

Semoga Allah SWT sentiasa memberikan taufiq dan hidayah-Nya untuk kita melaksanakan ibadah kepada-Nya dengan ikhlas dan sebaik-baiknya. Amin. Wallahua’lam.

Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca Di Facebook Oh! Media


Oh! Youtube


Comments

Lagi dalam kategori Umum

Ke Atas