Connect with us

Oh! Media

Terjejas Kerana PKP, Amir Raja Lawak Berniaga Air Tepi Jalan

Oh! Tidak

Terjejas Kerana PKP, Amir Raja Lawak Berniaga Air Tepi Jalan

Pelakon dan pelawak, Amir Raja Lawak, 32, tidak mengeluh berusaha mencari pendapatan dengan menjual air minuman demi menampung perbelanjaan harian oleh kerana aktiviti seni tergendala disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

ADVERTISEMENT

Amir atau nama penuhnya, Mohammad Amirullah Azmi berkata, dia banyak menghabiskan waktunya membuat persiapan air dan berniaga di gerai tepi jalan miliknya di Prima Saujana, Kajang.

Menurut Amir, walaupun keuntungan yang dapat tidak begitu banyak tetapi dia tetap bersyukur kerana dapat membeli keperluan harian dengan hasil keuntungan berkenaan.

“Setiap hari saya turun berniaga sekitar jam 11.30 pagi hingga 6.30 petang. Kemudian saya pulang rumah, terus sambung buat air lagi pada waktu malam.

“Seawal jam 7 pagi pun, saya sudah bangun untuk buat lagi sebelum bersiap membuka gerai. Disebabkan saya kena menggaji pembantu gerai, adalah dapat keuntungan bersih dalam RM200.

“Tapi, tak kisahlah asalkan ada juga pendapatan untuk beli keperluan harian, itu sudah memadai. Rasa penat belakang kira, asalkan saya dapat menampung belanja sepanjang PKP 3.0 ini,” katanya.

Amir juga berasa terharu apabila mendapat sokongan yang luar biasa daripada orang ramai yang datang berkunjung ke gerainya.

“Kadang-kadang ada pembeli datang awal dan apabila tak nampak saya, mereka ingatkan gerai tak buka. Mereka akan terus hubungi saya untuk bertanya sama ada saya buka gerai.

“Begitu juga pelanggan yang sememangnya sudah menjadi pembeli setia sejak beberapa tahun. Perniagaan ini pun saya sudah usahakan sejak 2017 namun pada tempoh sekarang saja saya buat sepenuh masa,” katanya.

Amir berkata, dia juga turut terkesan dari segi pendapatan kerana kebanyakkan aktiviti seni tergendala sepanjang PKP.

“Sepatutnya bulan ini, saya terbabit dalam tiga drama. Namun semua sudah ditunda dan saya kena buat inisiatif berniaga ini untuk terus mencari punca pendapatan.

“Tapi, saya okay saja asalkan ada punca pendapatan yang cukup untuk tampung keperluan harian. Lagipun, bukan banyak barang pun saya beli kerana lebih selesa jalani gaya hidup sederhana.

“Biarlah orang nak anggap apa pun memandangkan saya artis, tapi bagi saya tiada keperluan pun nak bermewah-mewah,” katanya.

Kredit : HarianMetro

Comments

Lagi dalam kategori Oh! Tidak

Ke Atas