Connect with us

Tatacara Pemandian Jenazah Yang Betul

Umum

Tatacara Pemandian Jenazah Yang Betul

Soalan:
Saya ingin memohon penerangan bagaimana cara pemandian jenazah yang betul dan sahih, kerana saya melihat hal ini berbeza mengikut beberapa tempat.

Jawapan:
Kematian adalah suatu perkara yang pasti berlaku. Oleh itu, syariat Islam telah pun mengajarkan tatacara pengurusan jenazah. Menjawab persoalan ini, kami akan menerangkan tatacara memandikan jenazah seperti mana yang diajarkan Baginda Nabi SAW kepada kita.

Memandikan jenazah adalah suatu kewajipan yang diletakkan di dalam fardhu kifayah. Hal ini bermakna, kewajipan itu wajib ke atas masyarakat di sesuatu tempat, dan kewajipan itu hanya akan terangkat atau dikira selesai apabila sebahagian daripada masyarakat menunaikan tanggungjawab tersebut.

Kewajipan memandikan jenazah ini berasal daripada arahan Nabi SAW ketika berlakunya tragedi seorang lelaki yang mati akibat terjatuh daripada unta, maka diseru untuk dimandikan jenazahnya, sepertimana hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas R.Anhuma:

اغْسِلُوهُ بِمَاءٍ وَسِدْرٍ, وَكَفِّنُوهُ فِي ثَوْبَيْنِ
“Mandikanlah dia dengan air yang dicampur daun bidara dan kafanilah dengan dua helai kain.” [Riwayat al-Bukhari (1265)]

Selain itu, dalil yang menunjukkan kewajipan memandikan jenazah dapat dilihat ketika mana kewafatan puteri Nabi SAW, Saidatina Zainab. Ketika itu, Baginda SAW mengajarkan kaifiat-kaifiat atau tatacara pemandian jenazah. Ini seperti mana hadith yang diriwayatkan oleh Ummu Attiyyah al-Ansorriyah, beliau menceritakan bahawa:

دَخَلَ عَلَيْنَا رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم وَنَحْنُ نَغْسِلُ ابْنَتَهُ فَقَالَ ‏”‏ اغْسِلْنَهَا ثَلاَثًا أَوْ خَمْسًا أَوْ أَكْثَرَ مِنْ ذَلِكَ بِمَاءٍ وَسِدْرٍ، وَاجْعَلْنَ فِي الآخِرَةِ كَافُورًا، فَإِذَا فَرَغْتُنَّ فَآذِنَّنِي‏”‏‏.‏ فَلَمَّا فَرَغْنَا آذَنَّاهُ، فَأَلْقَى إِلَيْنَا حِقْوَهُ فَقَالَ ‏”‏ أَشْعِرْنَهَا إِيَّاهُ‏‏
Rasulullah SAW telah masuk kepada kami ketika mana kami memandikan jenazah puteri baginda, lalu Baginda bersabda: “Mandikan dia dengan tiga kali, atau lima atau lebih dari tu, dengan air dan bidara kemudian letakkan bersama kapur barus pada mandian yang akhir. Apabila kamu selesai, maklumkan kepadaku.” Setelah kami selesai kami memaklumkan kepada Baginda SAW dan memberikan kain kepada kami, dan bersabda: “Kafankan dia dengan dengan sarung ini.” [Riwayat Muslim (939)]

Tatacara Pemandian

Para ulama’ membahagikan mandian ini kepada dua bahagian iaitu, (al-ghasl al-adna) iaitu mandian yang paling asas dan wajib dan (al-ghasl al-akmal) iaitu mandian yang lebih sempurna, yang menggabungkan perkara wajib, sunat serta harus.

Tatacara Mandian Yang Asas Dan Wajib

Yang pertama, disebutkan al-ghusl al-adna atau mandian asas yang wajib bagi mayat. Apabila selesai peringkat ini, maka sempurnalah kewajipan.

  • Langkah yang pertama ialah dengan membersihkan najis-najis yang berada di badan atau yang melekat pada mayat. Kemudian hendaklah dimandikan kepada mayat itu dengan air sebagaimana wajib ke atas orang yang berjunub ketika hidup. Tidak menjadi syarat sah mandian jenazah untuk di niatkan terlebih dahulu. Maka dengan itu, selesailah perkara yang wajib dalam pemandian jenazah.

Tatacara Pemandian Jenazah Yang Lebih Sempurna

Yang kedua, al-ghusl al-akmal iaitu mandian yang lebih sempurna. Dalam kategori ini, dilakukan semua yang wajib, sunat, harus serta ditambah bersama dengan adab-adab ketika menguruskan pemandian jenazah.

Berikut dinyatakan tatacara mengikut kaedah mandian yang sempurna:

  • Hendaklah dimandikan di tempat yang tidak ada orang atau bilik khas. Sebaik-baiknya, hanya yang bertugas untuk memandikan jenazah sahaja dibenarkan untuk melihat. Wajib untuk menutup tempat itu, dengan kain atau pengalang sepertimana manusia mandi ketika hidupnya, pasti ada benda yang menjadi aib atau tidak mahu dilihat orang lain.
  • Hendaklah diletakkan mayat di tempat yang tinggi seperti di atas papan, atau katil khas yang dibuat untuk mandian jenazah. Kemudian dibaringkan mayat di atas pembaringan. Diharuskan untuk dipakaikan baju ketika mandi sebagai menutup aib mayat tersebut, namun perlu dipastikan tidak menghalang air sampai ke badan. Orang yang memandikan jenazah tersebut hendaklah memasukkan tangan ke dalam baju tersebut, dan membersihkan dari dalam kain tersebut. Sekiranya tidak ada baju untuk menutup mayat, maka cukuplah sekadar kain untuk menutup antara bahagian pusat hingga lutut. Disunatkan juga untuk menutup wajah mayat daripada mula diletakkan di atas tempat pemandian.
  • Meletakkan mayat di atas tempat pembaringan dengan penuh lemah lembut, kemudian membuatkan mayat seperti keadaan orang yang duduk melunjur kakinya, kemudian tangan orang yang memandikan jenzah itu menahan leher si mayat agar tidak terjatuh, dan menyandarkan badan jenazah dengan kaki orang yang menguruskan jenazah. Kemudian tangan kiri menekan perut si mati dengan sedikit kuat, untuk mengeluarkan najis-najis yang berbaki agar tidak lagi keluar ketika kafan nanti. Sewaktu meruang ini, diharuskan untuk membakar bukhur atau setanggi, agar orang sekeliling tidak terbau najis-najis tersebut sekaligus dapat menjaga aib si mati.
  • Kemudian dibaringkan mayat, dan orang yang memandikan mayat hendaklah memakai sarung tangan atau membalut tangannya dengan perca kain. Kemudian membasuh qubul dan dubur, dan membuang perca kain atau sarung tangan.
  • Kemudian mengambil sarung tangan yang lain, atau perca kain yang lain, dan mula membasuh bahagian mulut dan hidung dan membersihkan seperti mana orang yang berwuduk berkumur dan membersihkan hidung.
  • Kemudian mewudukkan mayat, setiap basuhan wuduk dibuat tiga kali berserta dengan membersihkan mulut dan hidung.
  • Kemudian dibasuh bahagian kepalanya, kemudian janggut menggunakan sabun atau apa sahaja yang boleh membersihkan kemudian menyelati rambut dan janggutnya dengan lemah- lembut. Hendaklah menggunakan sikat yang jarang agar tidak luruh rambut atau janggut. Sekiranya luruh, hendaklah diletakkan bersama di dalam kafan.
  • Dimulakan mandian daripada bahagian sebelah kanan. Bermula daripada leher hinggalah ke bahagian kaki, kemudian dimandikan bahagian sebelah kiri daripada leher hinggalah ke bahagian kaki.
  • Selepas itu, diangkat sedikit badan mayat dan meletakkan dalam keadaan mengiring ke arah kiri lalu dilalukan air bahagian kanan belakang mayat dari bahu hingga ke kaki. Kemudian, diiringkan badan ke arah kanan, lalu dibasuh pula bahagian belakang sebelah kiri. Semua ini dikira sebagai satu mandian. 
  • Diharuskan untuk mengulang basuhan ini, untuk kali kedua dan ketiga, dan diletakkan sedikit kapur barus.
  • Sekiranya terkeluar najis selepas selesai mandian di atas, maka cukup sekadar membuang najis tersebut tidak perlu mengulangi basuhan di atas. Tidak perlu di mandikan atau berwuduk semula.
  • Selepas itu, dilembutkan tulang sendi untuk memudahkan proses kafan, kemudian dikeringkan mayat supaya kain kafan tidak basah hingga untuk memastikan kain kafan tahan lebih lama.

Sepanjang menguruskan jenazah hendaklah dijaga adab-adab dengan sedaya-upaya menghormati mayat sepertimana menghormati ketika hidup, dengan memastikan hal berikut:

  • Tidak boleh untuk orang yang memandikan jenazah atau sesiapa pun untuk menyentuh kemaluan mayat tanpa memakai sarung tangan. Begitu juga dilarang untuk melihat aurat mayat. Hanya dibenarkan menyucikan bahagian aurat setelah membalut tangan dengan kain atau memakai sarung tangan.
  • Diharuskan kepada orang yang memandikan jenazah atau sesiapa pun, untuk tidak melihat mana-mana bahagian melainkan ketika perlu untuk memandikannya.
  • Begitu juga diharuskan untuk tidak menyentuh mana-mana bahagian tanpa memakai sarung tangan, sekiranya tidak ada syahwat tidak diharamkan sentuhan tersebut.
  • Dimakruhkan untuk memotong kuku, menggunting misai, atau mencukur bulu ari-ari. Malah diharuskan untuk dibiarkan begitu sahaja. Ini kerana, setiap bahagian daripada badan mayat adalah dianggap sesuatu yang mulia.
  • Dimandikan wanita seperti mana dimandikan orang lelaki, sekiranya mempunyai rambut, diikat dengan tiga ikatan, seperti mana yang diriwayatkan oleh Ummu ‘Atiah R.Anha: ضَفَرْنَا شَعَرَ بِنْتِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم‏.‏ تَعْنِي ثَلاَثَةَ قُرُونٍ‏: Kami ikalkan rambut puteri Baginda SAW. Iaitu dengan tiga ikatan. [Riwayat al-Bukhari (1262)]

Kesimpulan

Berdasarkan apa yang kami terangkan di atas, begitulah tatacara yang diajarkan kepada kita untuk menguruskan jenazah berdasarkan mazhab al-Syafie yang sahih. [Lihat Mughni al-Muhtaj (1/334), Muhazzab (1/416), al-Majmu’ (5/112), Hasyiah Qalyubi (1/325), Al-Hawi (3/166)]

Semoga kita dapat memahami dan mempraktikkan syariat Islam yang sahih. Amin.

+ Mufti Wilayah Persekutuan

Penulis sepenuh masa di Oh! Media. Mencipta Oh! Media sejak dari dalam perut mak lagi. Hi Awak!

Comments

Lagi dalam kategori Umum

To Top