Connect with us

Oh! Media

Syarat Perlaksanaan Nahi Mungkar

Umum

Syarat Perlaksanaan Nahi Mungkar

Soalan:
Apakah syarat perlaksanaan nahi mungkar?

ADVERTISEMENT

Jawapan:
Abu Laith al-Samarqandi dalam kitabnya Tanbih al-Ghafilin berkata: “Seorang yang menjalankan Amar Makruf dan Nahi Mungkar harus melengkapi lima syarat:

1. Berilmu, sebab orang yang bodoh tidak memahami amar makruf dan nahi mungkar.

2. Ikhlas kerana Allah dan menegakkan agama. Seperti yang dikatakan oleh Saidina Ali RA: “Bahawa orang yang ikhlas adalah orang yang memusatkan fikirannya supaya setiap amalannya diterima oleh Allah SWT.”

3. Kasih dan sayang kepada yang dinasihati, dengan baik dan ramah mesra dan jangan menggunakan kekerasan kerana Allah SWT telah befirman:

وَأْمُرْ بِالْمَعْرُوفِ وَانْهَ عَنْ الْمُنكَرِ وَاصْبِرْ عَلَى مَا أَصَابَكَ
Dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar, dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. (Surah Luqman: 17)

4. Sayyid Qutub dalam Fi Zilal al-Quran berkata: “Inilah jalan aqidah yang tersusun iaitu mentauhidkan Allah SWT, menyedari wujudnya pengawasan Allah, meletakkan harapan pada balasan yang disediakan di sisi Allah, percaya kepada keadilan Allah dan takut kepada balasan Allah, kemudian berpindah pula kepada kegiatan berdakwah, iaitu menyeru manusia memperbaiki keadaan diri mereka, menyuruh mereka berbuat kebaikan dan melarang mereka berbuat kemungkaran. Dan sebelum menghadapi perjuangan menentang kejahatan itu, seseorang harus berbekal dengan bekalan utama iaitu bekalan ibadat kepada Allah, bertawajjuhlah kepada Allah dengan solat dan sabar menanggung kesulitan yang dialami oleh setiap pendakwah kepada agama Allah SWT, iaitu kesulitan akibat dari kedegilan dan penyelewengan hati manusia, kesulitan akibat dari kelancangan lidah dan dari kejahatan tindak tanduk manusia, juga kesulitan akibat dari kesukaran kewangan dan pengorbanan jiwa ketika diperlukan.”

5. Harus mengerjakan apa-apa yang dianjurkan supaya tidak dikeji orang atas perbuatannya sehingga tidak dikeji orang atas perbuatannya sehingga tidak termasuk dalam firman Allah SWT:

أَتَأْمُرُونَ النَّاسَ بِالْبِرِّ وَتَنسَوْنَ أَنفُسَكُمْ
Patutkah kamu menyuruh manusia supaya berbuat kebaikan sedang kamu lupa akan diri kamu sendiri. (Surah al-Baqarah: 44)

Al-Sohanji dalam tafsirnya Abr al-Athir berkata: “Golongan yang menjalankan dakwah tersebut hendaklah mempunyai syarat-syarat yang lengkap supaya dapat seruan atau dakwah itu dijalankan dengan sebaik-baiknya sehingga menghasilkan contoh yang mudah untuk diteladani.” Antaranya:

  • Hendaklah mengetahui kandungan al-Quran dan al-Sunnah perjalanan Nabi SAW serta perjalanan al-Khulafa’ al-Rasyidin.
  • Hendaklah mengetahui keadaan orang yang diserunya, persediaan, tabiatnya dan pekertinya, iaitu yang berhubung dengan pergaulan hidup mereka.
  • Hendaklah mengetahui bahasa-bahasa yang digunakan oleh golongan atau umat yang diserunya kerana Nabi SAW pernah menyuruh setengah sahabatnya mempelajari bahasa Ibari (bahasa Yahudi) untuk bertutur kata dengan orang-orang Yahudi yang menjadi jiran mereka dan menyuruh mempelajari keadaan mereka.
  • Hendaklah mengetahui jenis agama-agama dan mazhab-mazhab sesuatu umat atau bangsa, supaya diketahuinya mana-mana yang batil atau yang salah sebab sesuatu yang batil atau salah itu sekiranya tidak dapat diperlihatkan dengan jelas, tidak mudah manusia mahu menoleh kepada yang haq yang dipunyai oleh orang yang lain – walaupun ia berkali-kali diseur agar mengikutnya – tidak mudah ia mahu mengikutinya dan tidak mudah ia mahu menerimanya.

Kesimpulan

Prinsip al-Nahy ‘an al-Mungkar dapat dilihat dalam aspek undang-undang jenayah dan penguatkuasaannya. Menjenayahkan sesuatu perbuatan seperti yang dijelaskan menjadi satu bentuk pencegahan.

Terutamanya dalam konteks menjenayahkan perkara-perkara yang boleh mendorong atau menjadi faktor kepada pelaku jenayah.

Falsafah ini penting kerana apa juga perkara yang akan membawa atau boleh mendorong kepada jenayah perlu disekat terlebih dahulu sebelum jenayah lebih serius atau ancaman jenayah lebih serius berlaku. Prinsip mencegah lebih baik daripada mengubat diterima pakai dalam falsafah undang-undang jenayah Islam dan juga dalam proses mengislahkan ummah.

Semoga kita diberi kefahaman dalam melaksanakan segala perintah Tuhan yang Maha Esa.

+ Mufti Wilayah Persekutuan

Comments

Lagi dalam kategori Umum

Ke Atas