Connect with us

Oh! Media

Sunnah Sebelum Solat Jumaat Yang Patut Diamalkan

Umum

Sunnah Sebelum Solat Jumaat Yang Patut Diamalkan

Jumaat  penghulu bagi sekalian hari tiba lagi. Maka berbondong-bondong umat Islam seluruh dunia hadir ke masjid bagi menunaikan solat fardhu Jumaat. Sebelum ke masjid, mari kita telusuri beberapa ilmu sunnah yang dapat diamalkan pada hari Jumaat. Semoga bermanfaat.

ADVERTISEMENT

MANDI SUNAT & DATANG AWAL SEBELUM KHATIB BERI KHUTBAH

Dari Abu Hurairah bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Barangsiapa mandi pada hari Jumaat sebagaimana mandi janabah, lalu berangkat menuju masjid, maka dia seolah-olah berkorban seekor unta. Dan barangsiapa datang pada kesempatan (waktu) kedua maka dia seolah-olah berkorban seekor lembu. Dan barangsiapa datang pada kesempatan (waktu) ketiga maka dia seolah-olah berkorban seekor kambing yang bertanduk.

Dan barangiapa datang pada kesempatan (waktu) keempat maka dia seolah-olah berkorban seekor ayam. Dan barangiapa datang pada kesempatan (waktu) kelima maka dia seolah-olah berkorban sebutir telur. Dan apabila imam sudah keluar (untuk memberi khutbah), maka para Malaikat masuk mendengarkan khutbah tersebut (dan berhenti mencatat pahala).” (Sahih Bukhari, no. 832, Sahih Muslim, no. 1403)

SEMPURNAKAN WUDHU’ DAN DIAM

Dari Abu Hurairah bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Barangsiapa yang berwudhu’, lalu dia menyempurnakan wudhu’nya, kemudian mendatangi (solat) Jumaat, mendengarkan (khutbah) tanpa berkata-kata, maka akan diampuni (dosa-dosa yang dilakukannya) antara hari itu dengan hari Jumaat yang lain, ditambah tiga hari.” (Sahih Muslim, no. 1419, Sunan Abu Daud, no. 886)

JANGAN LANGKAH ORANG, SEBALIKNYA MINTA IZIN BERI LALUAN JIKA ADA KOSONG

Dari Jabir bin Abdullah, dia berkata: “Seorang laki-laki masuk masjid pada hari Jumaat sementara Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam sedang berkhutbah. Laki-laki itu melangkahi pundak (bahu) orang-orang hingga Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Duduklah! Sungguh engkau telah terlambat dan menyakiti (orang lain).” (Sunan Abu Daud, no. 943, Sunan An-Nasa’i, no. 1382, Sunan Ibnu Majah, no. 1105)

SOLAT SUNAT SEBELUM DENGAR KHUTBAH

Dari Jabir bin Abdullah dia berkata: “Sulaik Al-Ghatafani datang pada hari Jumaat ketika Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam sedang berkhutbah, lalu dia pun duduk. Maka beliau pun bertanya padanya: “Wahai Sulaik, bangun dan solatlah dua rakaat, kerjakanlah dengan ringkas.” Kemudian beliau bersabda: “Jika salah seorang dari kalian datang pada hari Jumaat, sedangkan imam sedang berkhutbah, maka hendaklah dia solat dua rakaat dengan ringkas.” (Sahih Muslim, no. 1449)

DIAM! ATAU SIA-SIA PAHALA JUMAATMU

Dari Abu Hurairah bahawa Nabi Shallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Barangsiapa yang berkata “diamlah” kepada temannya pada hari Jumaat padahal imam sedang berkhutbah, maka dia telah melakukan perbuatan sia-sia (tidak mendapat pahala).” (Sahih Bukhari, no. 882, Sahih Muslim, no. 1404)

Dalam riwayat lain disebut: “Dan barangsiapa yang memegang-megang (bermain) batu kerikil, maka dia telah berbuat (sesuatu) yang sia-sia.” (Sahih Muslim, no. 1419, Sunan Abu Daud, no. 886)

Selamat menunaikan solat Jumaat. Jangan lupa share pada kawan-kawan korang.

Comments

Lagi dalam kategori Umum

Ke Atas