Connect with us

Oh! Media

Suami Isteri Bermesra Di Tempat Awam & Media Sosial?

Umum

Suami Isteri Bermesra Di Tempat Awam & Media Sosial?

Soalan:
Apakah hukum sekiranya suami dan isteri bercumbu di khalayak ramai dan media sosial bagi menzahirkan kemesraan mereka?

ADVERTISEMENT

Jawapan:
Bermesraan antara suami dan isteri setelah berkahwin adalah sesuatu yang dihalalkan. Ia adalah anugerah Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya yang mempunyai naluri untuk memiliki dan dimiliki. Justeru, menzahirkan rasa cinta kepada pasangan masing-masing melalui sentuhan dan kata-kata adalah perkara biasa.

Walaubagaimanapun, Islam amat memberi perhatian terhadap isu kehormatan dan maruah suami dan isteri. Sabda Nabi SAW:

الْإِيمَانُ بِضْعٌ وَسَبْعُونَ شُعْبَةً، وَالْحَيَاءُ شُعْبَةٌ مِنَ الْإِيمَانِ
“Iman itu ada tujuh puluh lebih cabang. Dan rasa malu salah satu cabang dari iman.” (Riwayat Muslim, no. 35)

إِنَّ مِمَّا أَدْرَكَ النَّاسُ مِنْ كَلاَمِ النُّبُوَّةِ الأُولَى إِذا لَم تَستَحْيِ فاصْنَعْ مَا شِئْتَ
“Sesungguhnya termasuk perkara yang didapati oleh manusia dari perkataan Nubuwwah (kenabian) yang pertama adalah jika engkau tidak malu maka berbuatlah sesukamu.” (Riwayat al-Bukhari, no. 6120)

Rasa malu menurut Imam an-Nawawi rahimahullah adalah: “Akhlak terpuji yang mendorong seseorang untuk meninggalkan sesuatu yang buruk dan mencegahnya dari kelalaian dalam memenuhi hak para pemiliknya.”

Dalam hal lain, beliau juga menyebutkan antara perkara yang menjatuhkan maruah adalah mencium isteri di khalayak ramai. (Lihat Minhaj al-Talibin, m. 345)

Justeru, perbuatan suami isteri bercumbu hendaklah dielakkan di khalayak umum dan juga di media sosial kerana ia bukannya akhlak Muslim dan jauh sekali daripada adab ketimuran yang kita junjung selama ini. Semoga kita semua berusaha menzahirkan akhlak dan adab yang mulia dalam kehidupan kita.

Kami tutup dengan sebuah sabda Nabi SAW:

الحَيَاءُ لاَ يَأْتِي إِلَّا بِخَيْرٍ
“Sesungguhnya sifat malu tidaklah mendatangkan apa-apa kecuali hanya kebaikan.” (Riwayat al-Bukhari, no. 6117)

+ Mufti Wilayah Persekutuan

Comments

Lagi dalam kategori Umum

Ke Atas