Connect with us

Oh! Media

Status Hadith Berkaitan Sifat Daesh

Umum

Status Hadith Berkaitan Sifat Daesh

SOALAN:
Apakah status hadith berkaitan sifat-sifat Daesh?

ADVERTISEMENT

JAWAPAN:
Nabi SAW menggambarkan kehidupan di akhir zaman penuh dengan cabaran dan fitnah-fitnah yang bakal muncul. Disebabkan itu, banyak hadith yang membicarakan berkaitan perihal akhir zaman agar manusia pada waktu itu berhati-hati dengannya.

Berdasarkan soalan di atas, di sini kami sertakan matan hadith yang dimaksudkan.

Matan Hadith

Berikut adalah matan hadith berkaitan ISIS (Islamic State of Iraq and Syria) / IS (Islamic State) / Daesh:

Daripada Ali bin Abi Thalib RA, dikatakan bahawa Nabi SAW bersabda:

إِذَا رَأَيْتُمُ الرَّايَاتِ السُّودَ فَالْزَمُوا الْأَرْضَ فَلَا تُحَرِّكُوا أَيْدِيَكُمْ ، وَلَا أَرْجُلَكُمْ ، ثُمَّ يَظْهَرُ قَوْمٌ ضُعَفَاءُ لَا يُؤْبَهُ لَهُمْ ، قُلُوبُهُمْ كَزُبَرِ الْحَدِيدِ ، هُمْ أَصْحَابُ الدَّوْلَةِ ، لَا يَفُونَ بِعَهْدٍ وَلَا مِيثَاقٍ ، يَدْعُونَ إِلَى الْحَقِّ وَلَيْسُوا مِنْ أَهْلِهِ ، أَسْمَاؤُهُمُ الْكُنَى ، وَنِسْبَتُهُمُ الْقُرَى ، وَشُعُورُهُمْ مُرْخَاةٌ كَشُعُورِ النِّسَاءِ ، حَتَّى يَخْتَلِفُوا فِيمَا بَيْنَهُمْ ، ثُمَّ يُؤْتِي اللَّهُ الْحَقَّ مَنْ يَشَاءُ
“Apabila kamu melihat bendera-bendera hitam, tetaplah di tempat kamu dan janganlah gerakkan tangan dan juga kaki kamu. Kemudian akan berkuasa sekelompok orang yang lemah akalnya, tidak teranggap, hati mereka seperti potongan besi. Mereka penduduk daulah (menguasai banyak daerah), tidak memenuhi janji. Mereka mengajak menuju kebenaran, padahal mereka bukan pemilik kebenaran. Nama mereka adalah kuniyah dan nisbah mereka kepada kampung. Rambut mereka terjuntai seperti rambut wanita sehingga terjadi perselisihan di antara mereka, kemudian Allah SWT mendatangkan kebenaran melalui sesiapa sahaja yang Dia kehendaki.” [Lihat: al-Fitan (573)]

Hukum Hadith

Pada hadith ini terdapat beberapa kecacatan sebagaimana yang dinyatakan oleh para ulama’:

  • Di dalam sanad terdapat seorang perawi bernama Abu Ruman. Dia seorang yang majhul dan tidak diketahui akan terjamah (biografinya) melainkan apa yang disebut oleh ibn Mandah di dalam al-Kuna iaitu dia (Abu Ruman meriwayatkan hadith daripada Ali pada bab fitan (fitnah). Diriwayatkan hadith daripadanya Abdullah bin Abi Lahi’ah, daripada Abi Qabil daripada Abi Ruman. [Lihat: al-Kuna, 328]
  • Ibn Lahi’ah, namanya adalah Abdullah bin Lahi’ah bin Uqbah. Riwayatnya bercampur di akhir usianya maka sekumpulan para ulama’ mendhaifkannya disebabkan itu melainkan perawi yang mengambil hadith daripadanya sebelum hadithnya bercampur. [Lihat: al-Tahzib dan Mizan al-‘Itidal]
  • Nu’aim bin Hammad, beliau adalah penulis kitab (al-Fitan). Beliau mempunyai manakir (riwayat-riwayat yang munkar) sehingga Imam al-Nasa’ie mengatakannya tidak thiqah. [Lihat: Tahzib al-Tahzib, 10/461]
  • Al-Walid bin Muslim adalah seorang yang mudallis yang melakukan seteruk-teruk tadlis iaitu tadlis taswiyah. Imam Ibn Hajar al-Asqalani mengatakan bahawa al-Walid seorang yang disifatkan dengan tadlis yang teruk. [Lihat: Thabaqat al-Mudallisin, 51]

Berdasarkan beberapa kecacatan yang terdapat dalam hadith atau athar tersebut dan juga setelah melihat pendapat para ulama’, maka kami cenderung untuk mengatakan bahawa hukum hadith ini adalah teramat lemah dan ia juga adalah hadith mauquf (terhenti pada sahabat iaitu Ali bin Thalib R.A bukannya pada Nabi SAW).

Akan tetapi, di sana terdapat hadith berkaitan bendera atau panji hitam yang tsabit daripada Nabi SAW. Antaranya:

1. Daripada al-Barra’ bin Azib R.A apabila beliau ditanya berkaitan sifat bendera atau panji Nabi SAW. Kata beliau:

كَانَتْ سَوْدَاءَ مُرَبَّعَةً مِنْ نَمِرَةٍ
“Ia adalah berwarna hitam bersegi empat dibuat daripada Namirah.” [Riwayat Abu Daud (2591) dan al-Tirmidzi (1680), Syeikh Syu’aib al-Arna’outh menilai hadith ini sebagai hasan li ghairih]

2. Daripada Thauban R.A berkata, bahawa Nabi SAW bersabda:

يَقْتَتِلُ عِنْدَ كَنْزِكُمْ ثَلَاثَةٌ، كُلُّهُمُ ابْنُ خَلِيفَةٍ، ثُمَّ لَا يَصِيرُ إِلَى وَاحِدٍ مِنْهُمْ، ثُمَّ تَطْلُعُ الرَّايَاتُ السُّودُ مِنْ قِبَلِ الْمَشْرِقِ، فَيَقْتُلُونَكُمْ قَتْلًا لَمْ يُقْتَلْهُ قَوْمٌ
“Tiga golongan saling berperang dalam merebut kekuasaan. Mereka adalah anak-anak Khalifah. Akan tetapi, kekuasaan tidak menghampiri seorang pun daripada ketiganya. Lalu muncul pasukan dengan bendera hitam dari arah timur. Mereka memerangi kamu dengan peperangan yang belum pernah dilakukan sebelumnya oleh sesuatu kaum.” [Riwayat Ibn Majah (4084), Imam al-Hakim menilai hadith ini sahih mengikut syarat al-Bukhari dan Muslim]

Penutup

Kesimpulannya, hadith atau riwayat di atas adalah teramat lemah dari sudut statusnya kerana terdapat banyak kecacatan yang terdapat pada perawi-perawi dan kami berpandangan bahawa hadith tersebut adalah mauquf iaitu terhenti sanadnya pada sahabat iaitu Sayyidina Ali bin Abi Thalib R.A dan ia tidak sampai kepada Nabi SAW. Walau bagaimanapun, kita dituntut untuk sentiasa bersedia dan berhati-hati dalam mendepani fitnah-fitnah yang muncul di akhir zaman ini. Akhirnya, semoga Allah SWT memelihara kita serta menyelamatkan akidah dan iman kita agar kita digolongkan dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang berjaya di dunia dan akhirat. Amin.

Wallahua’lam.

Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media


Oh! Youtube


Comments

Lagi dalam kategori Umum

Ke Atas