Connect with us

Oh! Media

Solat Sunat Selepas Asar

Umum

Solat Sunat Selepas Asar

ADVERTISEMENT
Soalan:
Apakah hukum sebenar solat sunat selepas Asar? Saya pernah terbaca hadith yang menyatakan Nabi SAW sentiasa melazimi solat sunat selepas Asar, sedangkan saya belajar selama ini solat sunat selepas Asar hukumnya haram?
Jawapan:
Terdapat beberapa riwayat yang menyatakan bahawa Rasulullah SAW solat sunat selepas Asar. Daripada Ummu Salamah R.’Anha:
شُغِلَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم عَنِ الرَّكْعَتَيْنِ قَبْلَ الْعَصْرِ فَصَلاَّهُمَا بَعْدَ الْعَصْرِ
“(Suatu hari) Rasulullah SAW tidak sempat solat dua rakaat sebelum Asar, maka Baginda menggantikannya selepas Asar.” [Sunan al-Nasa’ie (587)]
Daripada ‘Aisyah R.’Anha, katanya:
وَالَّذِي ذَهَبَ بِهِ مَا تَرَكَهُمَا حَتَّى لَقِيَ اللَّهَ، وَمَا لَقِيَ اللَّهَ تَعَالَى حَتَّى ثَقُلَ عَنِ الصَّلاَةِ، وَكَانَ يُصَلِّي كَثِيرًا مِنْ صَلاَتِهِ قَاعِدًا ـ تَعْنِي الرَّكْعَتَيْنِ بَعْدَ الْعَصْرِ ـ وَكَانَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم يُصَلِّيهِمَا، وَلاَ يُصَلِّيهِمَا فِي الْمَسْجِدِ مَخَافَةَ أَنْ يُثَقِّلَ عَلَى أُمَّتِهِ، وَكَانَ يُحِبُّ مَا يُخَفَّفُ عَنْهُمْ‏
“Demi Allah yang telah mencabut nyawa Nabi, Baginda tidak pernah meninggalkan dua rakaat selepas Asar sehingga Baginda bertemu dengan Allah SWT, dan Baginda tidak bertemu dengan Allah hingga berasa sukar baginya untuk solat dalam keadaan berdiri. Maka kebiasannya Baginda solat sunat selepas Asar dalam keadaan duduk. Baginda juga solat di rumah dan tidak pernah solat di masjid kerana bimbang akan memberatkan umatnya, dan adalah Baginda suka untuk meringankan umat Baginda.” [Sahih al-Bukhari (590)]
Kata Al-Aswad dan Masruq:
نَشْهَدُ عَلَى عَائِشَةَ – رضى الله عنها – أَنَّهَا قَالَتْ مَا مِنْ يَوْمٍ يَأْتِي عَلَى النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم إِلاَّ صَلَّى بَعْدَ الْعَصْرِ رَكْعَتَيْنِ
“Kami bersaksi bahawa Saidatina Aisyah R.Anha pernah berkata bahawa tiada satu hari pun yang dilalui Nabi Muhammad SAW melainkan Baginda akan solat dua rakaat selepas Asar.” [Sunan Abi Dawud (1279)]
Namun demikian, terdapat juga hadith yang melarang solat sunat selepas Subuh dan Asar, di mana Abu Sa’id al-Khudri R.A meriwayatkan:
لاَ صَلاَةَ بَعْدَ الصُّبْحِ حَتَّى تَرْتَفِعَ الشَّمْسُ ، وَلاَ صَلاَةَ بَعْدَ العَصْرِ حَتَّى تَغِيبَ الشَّمْسُ
“Tiada solat selepas Subuh sehinggalah matahari naik, dan tiada solat selepas Asar sehingga matahari terbenam.” [Sahih al-Bukhari (586)]
Penjelasan Hadith
Menurut Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani, riwayat-riwayat solat sunat selepas Asar di atas menjadi hujah golongan yang mengharuskan solat sunat selepas Asar secara mutlaq, selagi mana dia tidak berniat untuk solat sewaktu matahari terbenam. Manakala golongan yang memakruhkan secara mutlaq pula menyatakan bahawa Baginda SAW melakukan yang demikian untuk menjelaskan keharusan mengganti solat sunat rawatib yang tertinggal. 
Adapun mudawamah Nabi SAW dengan solat sunat dua rakaat selepas Asar merupakan khususiyyah Baginda, dan dalilnya ialah sebuah hadith riwayat Aisyah R.Anha:
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم كَانَ يُصَلِّي بَعْدَ الْعَصْرِ وَيَنْهَى عَنْهَا
“Sesungguhnya Rasullah SAW solat selepas Asar, dan melarang orang lain daripada melakukannya.” [Sunan Abu Daud (1280)]
Kata Imam al-Baihaqi, yang menjadi khususiyyah Nabi SAW ialah mudawamah iaitu melakukannya secara berterusan, adapun mengganti solat sunat rawatib yang tertinggal maka hukumnya terpakai kepada semua. (Rujuk Fath al-Bari 2/64)
Imam Ahmad berkata, beliau sendiri tidak mengamalkannya, tapi tidak melarang orang lain daripada melakukannya. (Rujuk Al-Tamhid lima fi al-Muwattha’ min al-Ma’ani wa al-Asanid 13/37)
Menurut Imam Zakariyya al-Ansari, solat sunat dua rakaat secara berterusan (mudawamah) merupakan salah satu khususiyyah Nabi Muhammad SAW. (Rujuk Asna al-Mathalib fi Syarh Raudh al-Thalib 1/124)
Para ulama al-Lajnah al-Da’imah pula menyatakan solat sunat selepas Asar adalah dilarang kerana ia merupakan waktu larangan solat. Adapun riwayat yang menyebut Nabi Muhammad SAW melazimi dua rakaat selepas Asar adalah sebenarnya qadha solat sunat Zohor yang tertinggal yang sering dilazimi oleh Baginda SAW, dan ini merupakan khususiyyah Baginda. Namun diharuskan solat sunat selepas Asar yang mempunyai sebab khusus seperti tahiyyatul masjid, solat sunat gerhana, solat jenazah dan solat sunat tawaf. (Rujuk Fatawa al-Lajnah al-Da’imah, 6/173-174)
Tarjih dan Kesimpulan
Secara tuntasnya, kami cenderung kepada pandangan yang menyatakan bahawa solat sunat dua rakaat selepas Asar secara berterusan merupakan salah satu khususiyyah Baginda Nabi SAW, dan ia sebenarnya qadha solat sunat Zohor yang tertinggal yang sering dilazimi oleh Baginda SAW.
Maka seseorang itu diharuskan untuk menggantikan solat sunat rawatib yang tertinggal selepas solat Asar (dan juga selepas solat Subuh), begitu juga diharuskan untuk solat sunat yang mempunyai sebab khusus seperti solat jenazah atau solat tahiyyah al-masjid.
Wallahu a’lam.

+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan

Comments

Lagi dalam kategori Umum

Ke Atas