Connect with us

Oh! Media

Solat Malam Sama Seperti Sedekah Secara Sembunyi?

Umum

Solat Malam Sama Seperti Sedekah Secara Sembunyi?

SOALAN:
Benarkah terdapat hadith kelebihan solat malam seperti sedekah secara tersembunyi?

ADVERTISEMENT

JAWAPAN:
Solat malam merupakan solat afdhal untuk ditunaikan selepas daripada solat fardhu. Hal ini berdasarkan sebuah hadith daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

وَأَفْضَلُ الصَّلَاةِ، بَعْدَ الْفَرِيضَةِ، صَلَاةُ اللَّيْلِ
“Dan solat yang afdhal selepas solat fardhu adalah solat malam.” [Riwayat Muslim (1163)]

Berdasarkan soalan di atas, terdapat satu riwayat daripada Imam al-Thabarani di dalam Mu’jam al-Kabir berkaitan kelebihan solat malam sama seperti kelebihan bersedekah secara tersembunyi.

Daripada Abdullah bin Mas’ud R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

فَضْلُ صَلَاةِ اللَّيْلِ عَلَى صَلَاةِ النَّهَارِ كَفَضْلِ صَدَقَةِ السِّرِّ عَلَى الْعَلَانِيَةِ
“Kelebihan solat malam ke atas solat di siang hari sama seperti kelebihan sedekah secara tersembunyi ke atas sedekah secara terang-terangan.” [Riwayat al-Thabarani (10382)]

Imam Ibn Rejab mengatakan hadith ini mempunyai dua hukum (dari sudut sanad) iaitu marfu’ dan juga mawquf. Akan tetapi, mawquf adalah lebih tepat. Imam al-Suyuthi menilai hadith ini sebagai dhaif.

Melihat kepada beberapa pandangan di atas, kami katakan bahawa hadith di atas iaitu hadith yang menceritakan berkaitan kelebihan solat malam sama seperti kelebihan bersedekah secara tersembunyi adalah dhaif. Walaupun ia dhaif, di sana terdapat banyak kelebihan bagi orang yang melazimi solat malam berdasarkan kepada nas al-Quran dan hadith.

Di samping itu juga, Nabi SAW sentiasa melazimi solat malam sebagaimana Baginda SAW diperintahkan oleh Allah SWT di dalam surah al-Muzzammil:

Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الْمُزَّمِّلُ ﴿١﴾ قُمِ اللَّيْلَ إِلَّا قَلِيلًا ﴿٢﴾ نِّصْفَهُ أَوِ انقُصْ مِنْهُ قَلِيلًا ﴿٣﴾ أَوْ زِدْ عَلَيْهِ وَرَتِّلِ الْقُرْآنَ تَرْتِيلًا ﴿٤
“Wahai orang yang berselimut! Bangunlah sembahyang Tahajjud pada waktu malam, selain dari sedikit masa (yang tak dapat tidak untuk berehat), iaitu separuh dari waktu malam atau kurangkan sedikit dari separuh itu, ataupun lebihkan (sedikit) daripadanya dan bacalah al-Quran dengan tartil.” (al-Muzzammil: 1-4)

Syeikh Wahbah al-Zuhaili di dalam tafsirnya mengatakan ayat-ayat ini atau surah ini dimulakan dengan perintah daripada Allah SWT kepada Nabi SAW agar mendirikan solat malam walaupun sebahagian kecil darinya (dari malam) dan pembacaan al-Quran untuk menguatkan rohani Nabi SAW. [Lihat: Tafsir al-Munir, 29/188]

Penutup

Kesimpulannya, hadith di atas adalah dhaif tetap ia tidak menafikan di sana terdapat banyak kelebihan bagi orang yang mendirikan solat malam. Akhirnya, semoga Allah SWT menjadikan kita dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang sentiasa mendirikan solat malam. Amin.

Wallahua’lam.

Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca Di Facebook Oh! Media


Oh! Youtube


Comments

Lagi dalam kategori Umum

Ke Atas