Connect with us

Solat Dengan Pakaian Yang Ada Simbol Salib

Umum

Solat Dengan Pakaian Yang Ada Simbol Salib

Soalan:
Apa hukum solat dengan memakai baju yang jelas terdapat padanya simbol atau lambang salib?

Jawapan:
Salib ialah diertikan sebagai tanda yang berupa garis yang bersilang seperti tanda campur (lambang agama Kristian, Palang Merah, dan lain-lain).
[Lihat Kamus Dewan Edisi Keempat]

Menjawab isu di atas, solat memakai baju yang jelas padanya simbol salib adalah haram dan wajib dihilangkan lambang salib tersebut. Ini jika itulah maksud yang dikehendakinya.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari daripada Imran bin Hitthan, bahawa A’isyah R.Anha berkata:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَمْ يَكُنْ يَتْرُكُ فِي بَيْتِهِ شَيْئًا فِيهِ تَصَالِيبُ إِلَّا نَقَضَهُ
“Nabi SAW tidak meninggalkan satu pun barang yang masuk ke rumah baginda, yang ada gambar yang bersalib, kecuali baginda akan menghapusnya.” [Riwayat al-Bukhari (5952)]

Imam al-Baghawi Rahimahullah berkata: “Al-Tasalib (التَّصَالِيب) ialah apa yang adalah ia atas gambar yang bersalib.”
[Lihat Syarh al-Sunnah, 12/132]

Imam al-Syaukani pula berkata: “Al-Tasalib (التَّصَالِيب) iaitu gambar yang bersalib daripada sulaman atau jahitan baju atau selainnya. Salib tersebut ialah gambar yang disangkakan Nabi Isa AS yang disembah oleh Nasrani.

Perkataan Naqadhahu (نَقَضَهُ) membawa maksud memecahkannya, menghilangkannya dan mengubah gambar salib.
[Lihat Nail al-Authar, 3/143 dan Syarh Sunan Abi Daud oleh Ibn Ruslan, 16/453]

Al-Lajnah al-Daimah li al-Ifta’ pernah mengeluarkan fatwa berkaitan isu ini. Antara lain mereka menyebut:

Sekiranya baru diketahui ada gambar salib di baju setelah membelinya, maka haram menggunakannya untuk solat. Gambar salib itu wajib dihilangkan dengan apa cara sekalipun yang dapat menghilangkan gambar tersebut. Sama ada dengan cara dikikis atau dicelup warna (sehingga tidak kelihatan lambang salib tersebut), atau cara lainnya.

Ini berdasarkan hadis riwayat al-Bukhari daripada Imran bin Hitthan, bahawa A’isyah R.Anha berkata:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَمْ يَكُنْ يَتْرُكُ فِي بَيْتِهِ شَيْئًا فِيهِ تَصَالِيبُ إِلَّا نَقَضَهُ
“Nabi SAW tidak meninggalkan satu pun barang yang masuk ke rumah baginda, yang ada gambar salib, kecuali baginda akan menghapusnya.”
[Lihat Fatwa Lajnah, 19/24]

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-80 juga telah membincangkan isu ini. Antara lain menyebut:

“Orang Islam adalah dilarang menggunakan barangan yang mempunyai lambang agama lain seperti salib sekiranya lambang-lambang tersebut dinyatakan secara zahir dan jelas.”

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, solat dengan memakai baju yang jelas padanya simbol salib adalah haram dan wajib dihilangkan lambang salib tersebut sama ada dengan cara dikikis, dicampur dengan warna lain sehingga tidak kelihatan lambang salib tersebut.

Walaupun begitu, solatnya sah jika pakaian itu menutup aurat dalam mazhab kita. Ini dikenali sebagai ‘jihah munfakkah’ (جهة منفكة). Dalam bahasa yang lain, solat sah tetapi memakai baju itu haram hukumnya.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas kepada kita berkaitan hukum hakam Syariat-Nya. Amin.

Wallahua’lam.

+ Mufti Wilayah Persekutuan

Penulis sepenuh masa di Oh! Media. Mencipta Oh! Media sejak dari dalam perut mak lagi. Hi Awak!

Comments

Lagi dalam kategori Umum

To Top