Connect with us

Sifat Pakaian Ahli Syurga

Umum

Sifat Pakaian Ahli Syurga

Soalan:
Bolehkah ceritakan berkenaan dengan pakaian ahli syurga?

Jawapan:
Sebagai umat Islam kita memang dituntut untuk berusaha mendapatkan syurga Allah S.W.T di akhirat kelak. Bahkan terdapat beberapa nas dari al-Quran dan juga al-Sunnah yang menganjurkan kepada hal tersebut. Ini seperti yang disebutkan dalam firman Allah S.W.T:

وَسَارِعُوا إِلَىٰ مَغْفِرَةٍ مِّن رَّبِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا السَّمَاوَاتُ وَالْأَرْضُ أُعِدَّتْ لِلْمُتَّقِينَ
“Bersegeralah kamu ke arah (mendapatkan) pengampunan dari Tuhan kamu dan (bersegeralah) mendapatkan syurga yang luasnya melebihi langit-langit dan juga bumi yang disediakan buat golongan yang bertaqwa.” [Surah Ali-Imran (133)]

Demikian juga berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

فَإِنَّهُ أَوْسَطُ الْجَنَّةِ وَأَعْلَى الْجَنَّةِ فَإِذَا سَأَلْتُمُ اللَّهَ فَاسْأَلُوهُ الْفِرْدَوْسَ
“Apabila kamu meminta kepada Allah mintalah kepadanya syurga Al-Firdaus kerana ia merupakan syurga terbaik serta yang paling tinggi.” [Riwayat al-Bukhari (2790)]

Justeru, menjadi tabiat manusia ketika mana berada dalam proses dan usaha untuk mendapatkan syurga Allah S.W.T kadangkala menimbulkan beberapa persoalan berkenaan dengan ciri-ciri syurga, bagaimana cara mendapatkannya, sifat-sifat penghuni syurga dan juga beberapa perkara yang berkaitan dengannya. Tambahan pula Allah S.W.T mensifatkan syurga ini dengan firman-Nya di dalam sebuah hadis qudsi:

أَعْدَدْتُ لِعِبَادِيَ الصَّالِحِينَ مَا لاَ عَيْنٌ رَأَتْ وَلاَ أُذُنٌ سَمِعَتْ وَلاَ خَطَرَ عَلَى قَلْبِ بَشَرٍ
“Aku telah sediakan buat hamba-hamba-Ku yang soleh, syurga yang tidak ada mata pernah melihatnya, tidak ada telinga yang pernah mendengarnya dan tidak terlintas dalam jantung hati manusia.” [Riwayat Al-Bukhari (2824)]

Justeru, persoalan-persoalan sebegini hakikatnya bukanlah suatu perkara yang pelik, bahkan ia merupakan antara sikap yang ditunjukkan oleh para sahabat apabila mereka bertanya kepada Rasulullah S.A.W tentang syurga dan perkara-perkara yang berkaitannya. Antaranya adalah persoalan dari seorang arab badwi kepada Rasulullah S.A.W dengan katanya:

يا رسول الله إني أحبّ الإبلَ فهل في الجنة إبل فقال يا أعرابيّ إنْ يُدْخِلْكَ اللهُ الجَنَّةَ إنْ شاءَ اللهُ فَفِيها ما اشْتَهَتْ نَفْسُكَ وَلَذَّتْ عَيْنَاك
“Wahai Rasulullah sesungguhnya aku mencintai unta. Adakah di syurga nanti ada unta?” Lalu baginda berkata: “Wahai arab badwi, sekiranya Allah memasukkan kamu ke dalam syurga insyaAllah, maka di dalamnya terdapat apa sahaja yang kamu kehendaki dan melazatkan pemandangan matamu.” [Rujuk Tafsir al-Thabari, Ibn Jarir (2/641)]

Begitu juga berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Muaz bin Jabal R.A beliau bertanya kepada Rasulullah S.A.W:

يَا رَسُولَ اللَّهِ أَخْبِرْنِي بِعَمَلٍ يُدْخِلُنِي الْجَنَّةَ وَيُبَاعِدُنِي مِنَ النَّارِقَالَ لَقَدْ سَأَلْتَنِي عَنْ عَظِيمٍ وَإِنَّهُ لَيَسِيرٌ عَلَى مَنْ يَسَّرَهُ اللَّهُ عَلَيْهِ تَعْبُدُ اللَّهَ وَلاَ تُشْرِكُ بِهِ شَيْئًا وَتُقِيمُ الصَّلاَةَ وَتُؤْتِي الزَّكَاةَ وَتَصُومُ رَمَضَانَ وَتَحُجُّ الْبَيْتَ
“Wahai Rasulullah, beritahulah kepadaku tentang amalan yang boleh memasukkan aku ke dalam syurga dan menjauhkan aku dari neraka.” Maka kata Rasulullah S.A.W: “Sesungguhnya kamu telah bertanyakan kepadaku tentang suatu perkara yang besar dan sesungguhnya ia adalah mudah ke atas mereka yang Allah permudahkan. (Hendaklah) kamu beribadah kepada Allah dan jangan mensyirikkan-Nya, dirikanlah solat, tunaikanlah zakat, berpuasalah dalam bulan Ramadhan dan kerjakanlah ibadah haji.” [Riwayat al-Tirmidzi (2616)]

Oleh yang demikian, persoalan berkaitan dengan pakaian ahli syurga ini turut terdapat beberapa nas yang menyebutkan tentangnya. Antaranya adalah menerusi firman Allah S.W.T:

أُولَٰئِكَ لَهُمْ جَنَّاتُ عَدْنٍ تَجْرِي مِن تَحْتِهِمُ الْأَنْهَارُ يُحَلَّوْنَ فِيهَا مِنْ أَسَاوِرَ مِن ذَهَبٍ وَيَلْبَسُونَ ثِيَابًا خُضْرًا مِّن سُندُسٍ وَإِسْتَبْرَقٌ
“Mereka itulah (orang-orang yang) bagi mereka syurga ‘Adn, mengalir sungai-sungai di bawahnya; dalam syurga itu mereka dihiasi dengan gelang emas dan mereka memakai pakaian hijau dari sutera halus dan sutera tebal.” [Surah Al-Kahf (31)]

Begitu juga firman Allah S.W.T:

عَالِيَهُمْ ثِيَابُ سُنْدُسٍ خُضْرٌ وَإِسْتَبْرَقٌ
“Mereka memakai pakaian sutera halus yang hijau dan sutera tebal.” [Surah Al-Insan (21)]

Demikian juga firman Allah S.W.T:

وَلِبَاسُهُمْ فِيهَا حَرِيرٌ
“Dan pakaian mereka (para penghuni syurga) di dalamnya adalah sutera.” [Surah Fathir (33)]

Imam Ibn Katsir dalam tafsiran beliau ke atas ayat ini berkata: “Oleh yang demikian mereka dilarang (diharamkan) memakainya di dunia. Lalu Allah S.W.T membenarkannya (pemakaian sutera) di akhirat.” [Rujuk Tafsir Al-Quran Al-Azhim, Ibn Katsir (6/553)]

Dan telah sabit di dalam al-Sahih bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

مَنْ لَبِسَ الْحَرِيرَ فِي الدُّنْيَا لَمْ يَلْبَسْهُ فِي الآخِرَةِ
“Sesiapa yang memakai sutera di dunia dia tidak akan memakainya pada hari akhirat.‏” [Riwayat Muslim (2073)]

Begitu juga terdapat sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Huzaifah R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

لاَ تَشْرَبُوا فِي آنِيَةِ الذَّهَبِ وَالْفِضَّةِ، وَلاَ تَلْبَسُوا الْحَرِيرَ وَالدِّيبَاجَ، فَإِنَّهَا لَهُمْ فِي الدُّنْيَا وَلَكُمْ فِي الآخِرَة
“Janganlah kamu minum di dalam bekas emas dan juga perak, dan janganlah kamu memakai sutera dan juga dibaj. Sesungguhnya kesemuanya itu adalah untuk mereka (orang kafir) di dunia dan ia adalah untuk kamu di syurga.” [Riwayat Al-Bukhari (5633)]

Kesimpulan

Sebagai penutup kami menyatakan bahawa merujuk kepada nas-nas yang telah dikemukakan di atas menyebutkan bahawa sifat pakaian penghuni syurga ini adalah pakaian sutera yang berwarna hijau dan sutera tersebut bersifat halus dan juga tebal.

Kita berdoa semoga Allah S.W.T mengurniakan kepada kita syurga-Nya Al-Firdaus dan merezekikan kita nikmat-nikmat sebagai penghuni syurga. Ameen. Akhir kalam, semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang tepat kepada kita dalam beragama.

+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media

Oh! Makan


Penulis sepenuh masa di Oh! Media. Mencipta Oh! Media sejak dari dalam perut mak lagi. Hi Awak!

Comments

Lagi dalam kategori Umum

To Top