Connect with us

Oh! Media

“Saya Dikurung dan Dipaksa Bayar RM10,000” – Mangsa

Umum

“Saya Dikurung dan Dipaksa Bayar RM10,000” – Mangsa

 

ADVERTISEMENT

KUALA LUMPUR – Seorang pemuda dikurung dalam sebuah bilik selama empat jam oleh beberapa lelaki yang tidak dikenali kerana tidak mahu meneruskan pembelian empat telefon bimbit di sebuah kedai yang tiba-tiba mencecah RM10,000 berbanding harga asal yang dipersetujui, RM800, lapor Utusan Malaysia.

Mangsa, Dipres Nasution Mohd. Arifin, 28, berkata, dia pada awalnya berminat untuk membeli empat telefon bimbit kerana tertarik dengan tawaran penjual tersebut yang setiap satu telefon bimbit itu berharga RM200.

Malangnya selepas membuat pembayaran, penjual terbabit enggan menyerahkan telefon bimbit yang dibeli dan mengarahkan mangsa masuk ke sebuah bilik kecil di sebuah premis lain yang berhampiran.

“Setelah menunggu selama kira-kira sejam di dalam bilik itu, seorang lelaki lain datang membawa bil dan apabila melihat bil tersebut, saya terkejut kerana harga pembelian telefon bimbit mencecah RM10,000. Saya bertanya kepada lelaki itu, kenapa harganya lain daripada yang dipersetujui iaitu RM800 tetapi dia memberi pelbagai alasan.

“Saya terkejut dan mempersoalkan proses awal pembelian. Apabila saya ingin membatalkan semula pembelian itu dan menuntut kembali wang sebanyak RM800 itu, mereka enggan mengembalikannya malah mengugut yang nama saya akan di senaraihitamkan oleh jenama telefon tersebut.

“Lelaki itu memaksa saya keluarkan duit dari mesin pengeluaran wang automatik (ATM), saya katakan hanya mempunyai RM5,000 sahaja dan jumlah itu tidak cukup untuk menjelaskan harga semua telefon bimbit tersebut. Selagi tidak bayar, saya tidak akan dilepaskan.

“Setelah mendapati akaun saya benar-benar tidak mempunyai wang yang cukup, dia akhirnya bersetuju menerima RM5,000 untuk empat telefon bimbit malangnya jenis telefon bimbit yang diserahkan kepada saya tidak sama dengan pilihan asal,” katanya.

Mangsa terus membuat aduan pada beberapa agensi yang bertanggungjawab termasuk KPDNKK, namun tiada sebarang tindakan yang diambil menyebabkan mangsa melaporkan perkara itu pada Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).

Berikutan itu, Pengarah Unit Tindakan Khas PPIM, Muhammad Yusuf Azmi, membuat serbuan di Kompleks Kota Raya, semalam.

Menurut Yusuf, beliau percaya wujudnya rangkaian yang dijalankan oleh pihak-pihak terbabit di kompleks itu untuk melakukan penipuan terhadap pelanggan.

“Dalam serbuan itu, kita dapati banyak kedai yang menjual telefon bimbit tiruan pada harga yang mahal. Sebanyak RM11,900 berjaya dituntut semula dari beberapa pemilik premis perniagaan berkenaan dengan melibatkan tujuh mangsa,” katanya.

Comments

Lagi dalam kategori Umum

Ke Atas