Connect with us

Oh! Media

Saudariku, Wanita Penghuni Syurga Itu…

Umum

Saudariku, Wanita Penghuni Syurga Itu…

Dari Atha bin Abi Rabah, dia berkata, Ibnu Abbas berkata padaku: “Mahukah aku tunjukkan seorang wanita penghuni syurga?” Aku menjawab: “Ya.”


Dia berkata: “Wanita hitam itulah yang datang kepada Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam lalu berkata: ‘Aku menderita penyakit ayan (epilepsi/sawan) dan auratku tersingkap. Doakanlah untukku agar Allah Menyembuhkannya.’


Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: ‘Jika engkau mahu, engkau bersabar dan bagimu syurga, dan jika engkau mahu, aku akan mendoakanmu agar Allah Menyembuhkanmu.’


Wanita itu menjawab: ‘Aku pilih bersabar.’ Lalu dia melanjutkan perkataannya: ‘Tatkala penyakit ayan menimpaku, auratku terbuka, doakanlah agar auratku tidak tersingkap.’ Maka Nabi pun mendoakannya.” (HR. Bukhari dan Muslim)

ADVERTISEMENT

Betapa rindunya hati ini kepada syurga-Nya yang begitu indah. Yang lebih luas dari langit dan bumi. Betapa besarnya harapan ini untuk menjadi salah satu penghuni syurga-Nya. Dan subhanallah! Ada seorang wanita yang berhasil meraih kedudukan mulia tersebut. Bahkan dia dipersaksikan sebagai salah seorang penghuni syurga di kala nafasnya masih dihembuskan. Sedangkan jantungnya masih berdetik. Kakinya pun masih menapak di permukaan bumi.

Sebagaimana perkataan Ibnu Abbas kepada muridnya, Atha bin Abi Rabah: “Mahukah aku tunjukkan seorang wanita penghuni syurga?” Aku menjawab: “Ya.” Ibnu Abbas berkata: “Wanita hitam itulah…”

Wahai saudariku, tidakkah engkau iri dengan kedudukan mulia yang berhasil diraih wanita itu? Dan tidakkah engkau ingin tahu, apakah gerangan amal yang mengantarkannya menjadi seorang wanita penghuni syurga?

Apakah kerana dia adalah wanita yang cantik jelita dan berparas elok? Ataukah kerana dia wanita yang berkulit putih bak batu pualam? Tidak. Bahkan Ibnu Abbas menyebutnya sebagai wanita yang berkulit hitam.

Wanita hitam itu, yang mungkin tidak ada harganya dalam pandangan masyarakat. Akan tetapi ia memiliki kedudukan mulia menurut pandangan Allah dan Rasul-Nya. Inilah bukti bahawa kecantikan fizikal bukanlah tolak ukur kemuliaan seorang wanita. Kecuali kecantikan fizikal yang digunakan dalam hal yang syar’i. Iaitu yang hanya diperlihatkan kepada suaminya dan orang-orang yang halal baginya.

Kecantikan iman yang terpancar dari hatinyalah yang menghantarkan seorang wanita ke kedudukan yang mulia. Dengan ketaqwaannya, keimanannya, keindahan akhlaknya, amalan-amalan solehnya, seorang wanita yang buruk rupa di mata manusia pun akan menjelma menjadi secantik bidadari syurga.

Bagaimanakah dengan wanita zaman sekarang yang sibuk memakai kosmetik itu ini demi mendapatkan kulit yang putih tetapi enggan memutihkan hatinya? Mereka begitu khuatir akan segala hal yang boleh merosak kecantikkannya, tetapi tak khuatir bila iman dan hatinya yang bersih ternoda oleh noda-noda hitam kemaksiatan -semoga Allah Memberi mereka petunjuk-.

Kecantikan fizikal bukanlah segalanya. Betapa banyak kecantikan fizikal yang jesteru menghantarkan pemiliknya pada kemudahan dalam bermaksiat. Maka saudariku, seperti apapun rupamu, seperti apapun fizikalmu, janganlah engkau merasa rendah diri. Syukurilah sebagai nikmat Allah yang sangat berharga. Cantikkanlah imanmu. Cantikkanlah hati dan akhlakmu.

Wahai saudariku, wanita hitam itu menderita penyakit ayan (sawan) sehingga dia datang kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam dan meminta beliau agar berdoa kepada Allah untuk kesembuhannya. Seorang muslim boleh berusaha demi kesembuhan dari penyakit yang dideritanya. Asalkan cara yang dilakukannya tidak melanggar syariat. Salah satunya adalah dengan doa. Baik doa yang dipanjatkan sendiri, mahupun meminta didoakan orang soleh yang masih hidup. Dan dalam hal ini, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam memiliki keistimewaan berupa doa-doanya yang dikabulkan oleh Allah.

Wanita itu berkata: “Aku menderita penyakit ayan dan auratku tersingkap. Doakanlah untukku agar Allah Menyembuhkannya.”

Saudariku, penyakit ayan (sawan) bukanlah penyakit yang ringan. Terlebih penyakit itu dideritai oleh seorang wanita. Betapa besar rasa malu yang sering ditanggung para penderita penyakit ayan kerana banyak anggota masyarakat yang masih menganggap penyakit ini sebagai penyakit yang menjijikkan.

Tapi, lihatlah perkataannya. Apakah engkau lihat satu perkataan saja yang menunjukkan bahawa dia benci terhadap takdir yang menimpanya? Apakah dia mengeluh berkenaan penderitaannya? Betapa malunya dia kerana menderita penyakit ayan? Tidak, bukan itu yang dia keluhkan. Jesteru dia mengeluhkan auratnya yang tersingkap saat penyakitnya datang.

Subhanallah. Dia adalah seorang wanita yang sangat khuatir bila auratnya tersingkap. Dia tahu betul akan kewajiban seorang wanita menutup auratnya dan dia berusaha melaksanakannya meski dalam keadaan sakit. Inilah salah satu ciri wanita solehah, calon penghuni syurga. Iaitu mempunyai sifat malu dan sentiasa berusaha menjaga kehormatannya dengan menutup auratnya. Bagaimana dengan wanita zaman sekarang yang di saat sihat pun dengan rela hati membuka auratnya?

Saudariku, dalam hadith di atas terdapat pula dalil atas keutamaan sabar. Dan kesabaran merupakan salah satu sebab seseorang masuk ke dalam syurga. Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Jika engkau mahu, engkau bersabar dan bagimu syurga, dan jika engkau mahu, aku akan mendoakanmu agar Allah Menyembuhkanmu.” Wanita itu menjawab: “Aku pilih bersabar.”

Wanita itu lebih memilih bersabar walaupun harus menderita penyakit ayan agar dapat menjadi penghuni syurga. Salah satu ciri wanita solehah yang ditunjukkan oleh wanita itu lagi, bersabar menghadapi cubaan dengan kesabaran yang baik.

Saudariku, terkadang seorang hamba tidak mampu mencapai kedudukan kedudukan mulia di sisi Allah dengan seluruh amalan perbuatannya. Maka, Allah akan terus memberikan cubaan kepada hamba tersebut dengan suatu hal yang tidak disukainya. Kemudian Allah memberi kesabaran kepadanya untuk menghadapi cubaan tersebut. Sehingga, dengan kesabarannya dalam menghadapi cubaan, sang hamba mencapai kedudukan mulia yang sebelumnya ia tidak dapat mencapainya dengan amalannya.

Sebagaimana sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam: “Jika datang suatu kedudukan mulia dari Allah untuk seorang hamba yang mana dia belum mencapainya dengan amalannya, maka Allah akan memberinya musibah pada tubuhnya atau hartanya atau anaknya, lalu Allah akan menyabarkannya hingga mencapai kedudukan mulia yang datang kepadanya.” (HR. Imam Ahmad. Dan hadits ini terdapat dalam silsilah Al-Haadits Ash-shahihah 2599)

Maka, saat cubaan menimpa, berusahalah untuk bersabar. Kita berharap, dengan kesabaran kita dalam menghadapi cubaan Allah akan mengampuni dosa-dosa kita dan mengangkat kita ke kedudukan mulia di sisi-Nya.

Lalu wanita itu melanjutkan perkataannya: “Tatkala penyakit ayan menimpaku, auratku terbuka, doakanlah agar auratku tidak tersingkap.” Maka Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam pun berdoa kepada Allah agar auratnya tidak tersingkap. Wanita itu tetap menderita ayan akan tetapi auratnya tidak tersingkap.

Wahai saudariku, seorang wanita yang ingatannya sedang dalam keadaan tidak sedar, kemudian auratnya tak sengaja terbuka, maka tak ada dosa baginya. Kerana hal ini di luar kemampuannya. Akan tetapi, lihatlah wanita tersebut. Bahkan di saat sakitnya, dia ingin auratnya tetap tertutup. Di saat dia sedang tak sedar disebabkan penyakitnya, dia ingin kehormatannya sebagai muslimah tetap terjaga. Bagaimana dengan wanita zaman sekarang yang secara sedar jesteru membuka auratnya dan sama sekali tak merasa malu bila ada lelaki yang melihatnya? Maka, masihkah tersisa kehormatannya sebagai seorang muslimah?

Saudariku, semoga kita dapat belajar dan mengambil manfaat dari wanita penghuni syurga tersebut. Wallahu Ta’ala a’lam.

+ Ummu Rumman Siti Fatimah

Comments

Lagi dalam kategori Umum

Ke Atas