Connect with us

Oh! Media

Qarin Dari Kalangan Jin

Umum

Qarin Dari Kalangan Jin

Soalan:
Apakah maksud hadith ini?

ADVERTISEMENT

Daripada Abdillah bin Mas’ud RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَا مِنْكُمْ مِنْ أَحَدٍ، إِلَّا وَقَدْ وُكِّلَ بِهِ قَرِينُهُ مِنَ الْجِنِّ قَالُوا: وَإِيَّاكَ؟ يَا رَسُولَ اللهِ قَالَ: وَإِيَّايَ، إِلَّا أَنَّ اللهَ أَعَانَنِي عَلَيْهِ فَأَسْلَمَ، فَلَا يَأْمُرُنِي إِلَّا بِخَيْرٍ
“Tidaklah setiap orang daripada kamu itu (yang lahir ke dunia) melainkan dia telah diutuskan bersamanya qarinnya (teman) daripada kalangan jin. Mereka (Sahabat) bertanya: Adakah kamu juga wahai Rasulullah SAW?  Baginda SAW menjawab: Dan aku juga melainkan Allah telah membantuku daripada gangguannya maka aku terselamat dan tidaklah ia (qarin) mendorongku kecuali pada perkara kebaikan.” [Riwayat Muslim (2814)]

Jawapan:
Setiap manusia yang lahir ke dunia ini akan ada bersamanya qarin daripada kalangan jin sebagaimana yang dinyatakan di dalam hadith yang sahih. Tugas qarin ini adalah mendorong manusia untuk melakukan sesuatu perkara samada perkara tersebut baik atau sebaliknya. Antara dalil yang membuktikan bahawa qarin ini wujud adalah:

Firman Allah SWT:
وَقَالَ قَرِينُهُ هَـٰذَا مَا لَدَيَّ عَتِيدٌ
“Dan berkatalah qarinnya yang sentiasa ada bersama-samanya: Inilah (Kitab catatan amal manusia) yang terletak di dalam jagaanku serta yang siap sedia (untuk dibicarakan).” (Qaaf:23)

Firman Allah SWT:
قَالَ قَرِينُهُ رَبَّنَا مَا أَطْغَيْتُهُ وَلَـٰكِن كَانَ فِي ضَلَالٍ بَعِيدٍ
“Telah berkata qarinnya: Wahai Tuhan kami, aku tidak menyesatkannya tetapi sememangnya dia sendiri berada di dalam kesesatan yang jauh terpesong.” (Qaaf:27)

Imam al-Qurthubi (671 H) ketika menafsirkan ayat ini menyatakan bahawa yang dimaksudkan dengan qarin di dalam ayat pertama iaitu ayat ke 23 adalah malaikat yang diutuskan untuknnya menurut pendapat al-Hasan, Qatadah dan Dhahhak. Manakala, qarin di dalam ayat ke 27 adalah syaitan yang didatangkan oleh Allah SWT kepada hamba yang berdosa ini, di mana syaitan ini berlepas diri daripada perbuatannya (iaitu menyesatkan hamba ini) serta mendustakannya.
[Lihat: Tafsir al-Qurthubi, 16-17/17]

Kedudukan Dan Makna Hadith

Hadith yang menceritakan berkaitan qarin ini merupakan hadith yang sahih dan ia diriwayatkan oleh Imam Muslim (261 H) di dalam sahihnya. Tambahan pula, hadith ini diletakkan di dalam kitab sifat Kiamat, Syurga dan Neraka.

Imam al-Nawawi (676H) berkata perkataan “فَأَسْلَمَ” dengan membaca huruf mim dengan baris depan atau dengan baris atas dan kedua riwayat ini adalah masyhur. Barangsiapa yang membacanya dengan baris depan, maknanya adalah Nabi SAW terselamat daripada keburukan dan fitnah qarin Baginda SAW. Adapun yang membaca dengan baris atas pula, maknanya adalah qarin tersebut telah masuk Islam dan beriman dengan tidak mendorong Nabi SAW melainkan pada perkara yang baik sahaja. Para ulama’ berselisih pendapat dalam menentukan mana yang lebih tepat antara kedua ini.

Menurut al-Khattabi (388H) yang sahih dan dipilih adalah dengan baris depan. Selain itu, al-Qadhi ‘Iyadh (544H) mengsahihkan baris atas dan itu adalah dipilih (pilihan al-Qadhi dan al-Nawawi) berdasarkan Sabda Nabi SAW “maka tidaklah ia (qarin) mendorongku kecuali pada perkara kebaikan.” Para ulama’ juga berselisih pendapat pada riwayat yang dibaca dengan baris atas, dikatakan “أَسْلَمَ” dengan makna berserah diri (اسْتَسْلَمَ) dan tunduk (kepada Islam). Telah datang riwayat seperti ini selain daripada Sahih Muslim dengan “فَاسْتَسْلَمَ”. Dikatakan juga maknanya adalah qarin tersebut menjadi muslim yang beriman dan ini adalah yang zahir.

Telah berkata al-Qadhi bahawa ketahuilah umat ini telah bersepakat akan kemaksuman (terpeliharanya) Nabi SAW daripada syaitan pada jasadnya, lintasannya dan lidahnya. Pada hadith ini juga terdapat isyarat agar berhati-hati dengan fitnah, waswas dan kesesatan (menyesatkan manusia) qarin ini. Untuk itu, kita perlulah menjauhi perkara ini semampu kita.
[Lihat: al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, 157-158/17]

Antara ulama’ yang mengatakan bahawa qarin Rasulullah SAW masuk kepada Islam adalah Imam al-Suyuthi (911H) di dalam kitabnya ketika meletakkan hadith ini di dalam bab Pengkhususan Nabi SAW dengan islamnya qarin Baginda SAW.
[Lihat: al-Khasais al-Kubra, 323/2]

Selain itu juga, Imam Ibn Hajar al-Haitami (974 H) juga menyatakan yang dimaksudkan dengan “فَأَسْلَمَ” adalah masuk kepada Islam dan ini merupakan pengkhususan bagi Nabi SAW.
[Lihat: al-Fatawa al-Hadithiyyah, 52/1]

Kami cenderung kepada pendapat yang dipegang oleh al-Qadhi dan juga al-Nawawi bahawa qarin Rasulullah SAW masuk kepada Islam. Ini merupakan khususiyyah (pengkhususan) Nabi SAW yang tidak ada pada orang lain. Di samping itu juga, qarin itu adalah jin sebagaimana dinyatakan di dalam hadith dan jin ini ada yang baik dan ada yang jahat. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَأَنَّا مِنَّا الصَّالِحُونَ وَمِنَّا دُونَ ذَٰلِكَ
“Dan bahawa sesungguhnya (memang maklum) ada di antara kita golongan yang baik keadaannya dan ada di antara kita yang lain daripada itu.” (al-Jin:11)

Penutup

Kesimpulannya, para ulama’ berbeza pandangan dalam dalam memahami lafaz “فَأَسْلَمَ” ini kepada dua pendapat sebagaimana yang kami nyatakan di atas. Walaupun begitu, kita sebagai seorang muslim yang mengaku beriman kepada Allah SWT agar sentiasa berhati-hati dengan dorongan qarin (syaitan) ini. Ini kerana, antara tugas qarin ini adalah menghasut manusia dan mendorong mereka melakukan kejahatan. Untuk itu, kita dituntut untuk sentiasa berlindung daripada hasutan dan bisikan syaitan dengan memperbanyakkan isti’azah atau mengucapkan “أعوذ بالله من الشيطان الرجيم” sebagaiman yang dianjurkan dan diajar oleh Rasulullah SAW. Hal ni juga, disebutkan melalui firman Allah SWT:


مِن شَرِّ الْوَسْوَاسِ الْخَنَّاسِ ﴿٤﴾ الَّذِي يُوَسْوِسُ فِي صُدُورِ النَّاسِ ﴿٥﴾ مِنَ الْجِنَّةِ وَالنَّاسِ ﴿٦﴾
“Daripada kejahatan pembisik (penghasut) yang timbul tenggelam, yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia, (iaitu pembisik dan penghasut) daripada kalangan jin dan manusia.” (al-Nas:4-6)

Akhirnya, semoga Allah SWT sentiasa memelihara dan memberi kekuatan kepada kita agar dapat mengawal diri yang lemah ini daripada segala hasutan dan bisikan syaitan yang direjam serta mengurniakan kepada kita semua pengakhiran hidup yang baik. Amin.

Wallahua’lam

+ Mufti Wilayah Persekutuan

Comments

Lagi dalam kategori Umum

Ke Atas