Connect with us

Oh! Media

Punya Segalanya Tetapi Tidak Bermanfaat Untuknya

Umum

Punya Segalanya Tetapi Tidak Bermanfaat Untuknya

Pakcik Nabi SAW yang hidup di masa kerasulan ada empat orang. Dua orang beriman kepada risalah Islam dan dua lainnya kufur. Dua orang yang beriman adalah Hamzah bin Abdul Mutalib dan al-Abbas bin Abdul Mutalib radhiallahu ‘anhuma. Seorang pakciknya menolong dan menjaganya, tidak menentang dakwahnya, namun dia tidak menerima agama Islam yang dibawa. Dia adalah Abu Talib bin Abdul Mutalib. Dan yang keempat adalah Abdul Uzza bin Abdul Mutalib. Dia menentang dan memusuhi anak saudaranya, bahkan menjadi tokoh orang-orang Musyrik yang memerangi Nabi SAW. Nama terakhir ini dikenali dengan Abu Lahab. Dan Al-Quran mengabadikannya dengan nama itu.

ADVERTISEMENT

Abu Lahab memiliki nasab yang mulia, seorang Quraisy. Pakcik kepada manusia terbaik dan Rasul yang paling utama, Sayyidina Muhammad SAW. Memiliki kedudukan di tengah kaumnya. Memiliki paras yang rupawan. Namun semuanya tidak ada ertinya tanpa keimanan. Allah SWT hinakan dia dengan mencatatnya sebagai seorang yang celaka dan dibaca oleh manusia hingga hari Kiamat dalam surat al-Masad.

Sementara Bilal bin Rabah, seorang hamba, hitam, tidak pula tampan, dan jauh dari kedudukan, namun Allah SWT muliakan dengan keimanan. Oleh kerana itu, janganlah tertipu dengan keadaan. Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ اللَّهَ لاَ يَنْظُرُ إِلَى صُوَرِكُمْ وَأَمْوَالِكُمْ وَلَكِنْ يَنْظُرُ إِلَى قُلُوبِكُمْ وَأَعْمَالِكُمْ
“Sesungguhnya Allah tidak melihat pada bentuk rupa dan harta kalian. Akan tetapi, Allah hanyalah melihat pada hati dan amalan kalian.” (HR. Muslim no. 2564)

Mengapa Disebut Abu Lahab?

Kuniyah bagi Abdul Uzza bin Abdul Mutalib adalah Abu Lahab. Lahab ertinya api. Kerana Abdul Uzza ketika marah, rona wajahnya berubah menjadi merah seperti api. Dengan kuniyah inilah Al-Quran menyebutnya, bukan dengan nama asalnya. Ini adalah kerana:

  1. Al-Quran tidak menyebutkan nama dengan unsur penghambaan kepada selain Allah. Namanya adalah Abdul Uzza yang bererti hambanya Uzza. Uzza adalah berhala Musyrikin Makkah.
  2. Orang-orang lebih mengenalnya dengan kuniyahnya dibanding namanya.
  3. Imam al-Qurthubi rahimahullah menyatakan dalam tafsirnya bahwa nama asalnya itu lebih mulia dari kuniyah. Oleh kerana itu, Allah menyebut para Nabi-Nya dengan nama-nama mereka sebagai pemuliaan. Dan menyebut Abu Lahab dengan kuniyahnya. Kerana kuniyah kedudukannya di bawah nama. Ini menurut al-Qurthubi rahimahullah.

Orang-orang di masanya juga mengenal Abu Lahab dengan Abu Utbah (ayahnya Utbah). Namun kerana kekafiran, Allah SWT kekalkan nama Abu Lahab untuknya. Sebenarnya dia adalah tokoh Makkah yang cerdas. Sayang kecerdasan dan kepandaiannya tidak bermanfaat sama sekali di sisi Allah, kerana tidak dia gunakan untuk merenungkan kebenaran syariat Islam yang lurus.

Anak-anaknya

Abu Lahab memiliki tiga orang anak lelaki. Mereka adalah Utbah, Mut’ib, dan Utaibah. Dua nama pertama memeluk Islam ketika peristiwa Fathu Mekah. Sedangkan Utaibah tetap dalam kekufuran.

Di antara kebiasaan bangsa Arab adalah menikahkan anak-anak dengan keluarga terdekat. Sebelum menjadi Rasul, Rasulullah SAW menikahkan anaknya Ummu Kulsum dengan Utaibah dan Ruqayyah dengan Utbah. Ketika surat Al-Masad turun, Abu Lahab mengancam kedua puteranya tidak akan bertemu dan berbicara kepada mereka sebelum menceraikan puteri Rasulullah SAW.

Ketika Utaibah hendak bersafar bersama ayahnya menuju Syam, dia berkata: “Akan aku temui Muhammad. Akan aku sakiti dia dan aku ganggu agamanya. Ketika di hadapannya aku katakan padanya: ‘Wahai Muhammad, aku kufur dengan bintang apabila ia terbenam dan apabila ia dekat dan bertambah dekat lagi’.” Lalu Utaibah meludahi wajah Nabi SAW kemudian menceraikan anak beliau, Ummu Kulsum.

Nabi SAW berdoa: “Ya Allah, binasakan dia dengan anjing dari anjing-anjingmu.” (Dihasankan oleh al-Hafizh Ibnu Hajar dalam Fathul Bari, 4/39)

Dan akhirnya Utaibah pun mati diterkam singa.

Turunnya Surah Al-Masad

Ibnu Abbas berkata: “Tatakala turun ayat: ‘Berilah peringatan kepada kaum kerabatmu yang terdekat iaitu kaum kerabatmu yang benar-benar ikhlas.’ (Asy-Syu’ara: 214), maka Rasulullah SAW keluar dan menaiki bukit Safa lalu berteriak seolah-olah memanggil:

“Wahai Bani Fulan! Bani Fulan! Bani Fulan! Wahai Bani Abdul Manaf! Wahai Bani Abdul Mutalib!” Maka mereka semua pun menghampiri beliau. Rasulullah SAW kemudan bersabda: “Apakah pendapat kalian seandainya aku khabarkan kepada kalian bahawa (ada) satu pasukan tentera berkuda di balik lembah ini akan menyerang kalian. Apakah kalian akan mempercayaiku?” Mereka menjawab: “Kami tidak pernah mendapati kamu berdusta.” Rasulullah SAW bersabda lagi: “Sesungguhnya aku membawa berita ancaman kepadamu tentang azab yang pedih.” Abu Lahab mencela: “Celaka kamu! Apakah kamu minta kami berkumpul hanya untuk mendengar perkara ini (iaitu memberitahu berita ancaman azab)?” Lantas Abu Lahab berlalu pergi.


Maka Allah ‘Azza Wa Jalla menurunkan surah:


تَبَّتْ يَدَا أَبِي لَهَبٍ وَتَبَّ ﴿١﴾ مَا أَغْنَى عَنْهُ مَالُهُ وَمَا كَسَبَ ﴿٢﴾ سَيَصْلَى نَارًا ذَاتَ لَهَبٍ ﴿٣﴾ وَامْرَأَتُهُ حَمَّالَةَ الْحَطَبِ ﴿٤﴾ فِي جِيدِهَا حَبْلٌ مِّن مَّسَدٍ ﴿٥﴾
“Binasalah kedua-dua tangan Abu lahab, dan binasalah ia bersama! Hartanya dan segala yang diusahakannya, tidak dapat menolongnya. Dia akan menderita bakaran api neraka yang marak menjulang. Dan juga isterinya, seorang perempuan pemunggah kayu api, dan di lehernya dikalungkan tali yang kukuh dari api neraka.” (Al-Masad: 1-5)


[Sahih Bukhari, no. 4397, no. 4589, Sahih Muslim, no. 307]

Abu Lahab mati 7 hari setelah Perang Badar. Dia menderita bisul-bisul di sekujur tubuh. Tiga hari mayatnya terlantar. Tak seorang pun yang mahu mendekati mayatnya. Kerana malu, keluarganya menggali lubang kemudian menolak tubuh Abu Lahab dengan kayu panjang hingga masuk ke lubang itu. Kemudian mereka lempari kuburnyanya dengan batu hingga jasadnya tertimbun. Tidak ada seorang pun yang mahu mendekati mayatnya kerana takut dijangkiti penyakit. Dia mati dengan seburuk-buruk kematian.

Pasangan Dalam Keburukan

Isteri Abu Lahab adalah Ummu Jamil Aura’. Nama yang tak seindah karekternya. Ia diabadikan dalam surah al-Masad sebagai wanita pembawa kayu bakar. Perlakuannya amat buruk terhadap Rasulullah SAW. Dia meletak kayu dan tumbuhan berduri di jalan yang biasa dilalui Rasulullah SAW di malam hari agar Nabi disakiti.

Ummu Jamil adalah wanita yang suka mengadu domba dan membakar api permusuhan di tengah masyarakat. Dia memiliki kalung mahal dari permata, katanya: “Demi al-Latta dan al-Uzza, akan aku infakkan kalung ini untuk memusuhi Muhammad.” Allah SWT gantikan kalung indah itu dengan tali dari api Jahannam untuk mengikat lehernya di neraka kelak.

Ketika Allah SWT menurunkan surat al-Masad yang mencelanya dan suaminya, dia terus mencari Rasulullah SAW sambil membawa potongan batu tajam. Dia masuk ke Masjid al-Haram ketika Rasulullah SAW bersama Abu Bakar berada di sana. Setelah dekat, Allah SWT membutakan pandangannya dari melihat Rasulullah SAW. Dia hanya melihat Abu Bakar.

“Wahai Abu Bakar, aku mendengar temanmu itu mengejekku dan suamiku! Demi Allah, kalau aku menjumpainya akan aku pukul wajahnya dengan batu ini!!”, cercanya dengan penuh emosi.

Abu Bakar bertanya hairan: “Wahai Rasulullah, tidakkah engkau mengira dia melihatmu?” “Dia tidak melihatku. Allah telah menutupi pandangannya dariku”, jawab Rasulullah SAW.

Rujukan:
Sirah Ibnu Hisyam, Beirut: Dar Ibn Hazm
Tafsir al-Qurthubi surah al-Masad ayat 1-5
Tafsir Ibnu Katsir surah al-Masad ayat 1-5

Oleh: Nurfitri Hadi | Kisah Muslim
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media


Oh! Youtube


Comments

Lagi dalam kategori Umum

Ke Atas