Connect with us

Oh! Media

Penjelasan Surah Yasin Ayat 82 “Kun Fayakun”

Umum

Penjelasan Surah Yasin Ayat 82 “Kun Fayakun”

Soalan:
Saya membaca akhbar dan saya terpaku mendengar kenyataan daripada Sultan Pahang, Sultan Abdullah yang menyatakan, hendaklah merujuk kepada Surah Yasin ayat 82. Justeru mohon dinyatakan tafsiran ayat tersebut untuk kami mengambil faedah dan petunjuk-Nya.

ADVERTISEMENT

Jawapan:
Allah SWT berfirman:

إِنَّمَا أَمْرُهُ إِذَا أَرَادَ شَيْئًا أَن يَقُولَ لَهُ كُن فَيَكُونُ
“Sesungguhnya keadaan kekuasaan-Nya apabila Dia menghendaki adanya sesuatu, hanyalah Dia berfirman kepada (hakikat) benda itu: ‘Jadilah engkau!’. Maka ia terus menjadi.” (Surah Yasin: 82)

Dalam menafsirkan ayat ini, alangkah baiknya kita merujuk kepada ulama’ salafus soleh dari kalangan ahli tafsir dan juga ulama’ mutaakhirin agar kita mendapat sebuah tafsiran yang jelas dan tuntas, Insya Allah. Kami mulakan dengan tafsiran ulama’ mutaqaddimin. Antaranya:

1. Imam Ibn Jarir al-Tabari
Imam al-Tabari menukilkan perkataan Qatadah. Kata beliau (Qatadah): “Tidak ada di dalam kalam arab yang lebih ringan dan mudah daripada kata-kata Allah. Maka Allah Maha Berkuasa dan amat mudah bagi Allah untuk buat perkara tersebut.” (Lihat Jami’ al-Bayan ʿan Taʾwil al-Qurʾan, 20/556)

2. Imam Fakhruddin al-Razi
Beliau menyatakan: “Ayat ini membawa makna bahawa penciptaan dan kejadian yang Allah kehendaki tidak hanya berlaku jika ada alat dan sebagainya. Juga tidak memerlukan air mani ayah dan Rahim ibu. Ini dibuktikan bahawa Allah menjadikan ayah kita yang awal iaitu Nabi Adam tanpa ada ayah. Ini membuktikan bahawa Allah menjadikan dan menciptakan sesuatu tanpa perlu ada perantaraan.” (Lihat Tafsir al-Kabir wa Mafatih al-Ghaib, 17/201)

3. Imam Ibn Kathir
Beliau berkata: Iaitu Dia memerintahkan kepada sesuatu hanya dengan satu perintah, tidak perlu pengulangan dan penguat. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 6/664)

4. Imam al-Qurtubi
Kata beliau: “Ayat ini membawa maksud bahawa jika Allah mengkehendaki sesuatu perkara maka ia akan terjadi tanpa perlu berpenat-penat.” (Lihat Jami’ li Ahkam al-Quran,15/56)

5. Imam al-Syaukani
Sewaktu mentafsirkan ayat ini, beliau menyatakan bahawa kekuasan Allah SWT itu begitu sempurna, dimana jika Dia berkehendak kepada sesuatu perkara, Dia hanya perlu menyebut “jadilah” dan ia akan terus terjadi tanpa perlu bergantung kepada suatu perkara yang lain. (Rujuk Fath al-Qadir, 4/546)

6. Syeikh Ahmad Mustafa al-Maraghi
Beliau menyebut: “Ketikamana Allah SWT menciptakan sesuatu yang dikehendakinya, Allah SWT hanya berfirman: “Jadilah” sudah tentu sesuatu yang dikehendakiNya itu akan berlaku. Ayat ini menunjukkan betapa agungnya kekuasaan Allah SWT sehingga jika Dia menghendaki sesuatu, ketika itu juga ia boleh terjadi.” (Lihat Tafsir al-Maraghi, 12/5724)

7. Syeikh Tahir Ibn ‘Asyur
Kata beliau: Kenyataan ini merupakan sehebat-hebat istidlal dan kata pemutus. Demikian itu kerana ia menjelaskan apa yang sebelumnya sebagaimana yang dijelaskan sejumlah natijah daripada dua jumlah qiyas. Maka natijahnya, apabila Allah menghendaki sesuatu, maka tertakluklah kudrat-Nya dengan menjadikannya dengan perintah takwini yang diibaratkan daripada bahasa yang paling pendek iaitu (كن) kun untuk menggambarkan kejadian.

Beliau memahami kata amr dalam maksud keadaan. Menurutnya makna ini lebih tepat dengan konteks keraguan kaum musyrikin atas kuasa Allah menghidupkan kembali tulang belulang yang telah hancur. Maknanya menurut beliau, “Tiada keadaan bagi Allah saat Dia hendak menciptakan suatu ciptaan, kecuali ketetapan-Nya untuk mencipta sesuatu itu. Potongan ayat di atas melukiskan ketetapan-Nya itu di mana sesuatu yang hendak Dia wujudkan langsung terjadi – melukiskannya – dengan kata (كن) kun. Ini untuk menjelaskan bahawa untuk mewujudkannya, Dia tidak menggunakan tangan, tidak juga alat atau mengolah atau mengadun suatu bahan seperti yang dilakukan oleh pekerja. Ini kerana kaum Musyrikin menyangka bahawa hari Kebangkitan tidak dapat terjadi kerana bahan untuk menjadikannya tidak ada lagi. (Lihat Tafsir al-Tahrir wa al-Tanwir, 11/79)

8. Sayyid Qutb
Beliau berkata: Sama ada sesuatu itu langit atau bumi, lalat atau semut, semuanya sama sahaja di hadapan kalimat “kun” (كن), dan semuanya akan terus muncul ke alam al-wujud. Di sana tiada yang mudah dan tiada yang payah, tiada yang dekat dan tiada yang jauh. Sebaik sahaja wujudnya iradat Allah untuk menciptakan sesuatu, sudah cukup untuk mewujudkannya biar pun apa sahaja sesuatu itu. Allah hanya mendekatkan gambaran urusan-urusan penciptaan itu kepada manusia supaya mereka dapat memahaminya dengan ukuran manusia yang terbatas. (Lihat Tafsir fi Zilal al-Quran, 13/395)

9. Syeikh Ali al-Sobuni
Ayat ini memberi maksud bahawa tiada sebarang kesukaran bagi-Nya oleh sesuatu pun kerana perintah-Nya dan urusan-Nya hanya antara kaf (ك) dan nun (ن). Apabila Dia menghendaki sesuatu, pasti wujud tanpa penat dan lelah, tanpa sukar dan payah. (Lihat Sofwah al-Tafasir, 3/22)

10. Guru kami, Prof. Dr. Wahbah al-Zuhaili
Beliau menyatakan: “Urusan Allah SWT dalam menciptakan dan menghendaki sesuatu adalah dengan bertitah kepada sesuatu itu, “كن” (jadilah), maka terjadilah seketika itu juga tanpa bergantung kepada sesuatu yang lain.” (Lihat al-Tafsir al-Munir, 23/58)

Ayat yang dibaca ini merupakan isti’arah tamsiliyyah dalam Balagah, iaitu “أَن يَقُولَ لَهُ كُن فَيَكُونُ” di mana dibandingkan kecepatan ta’thir qudratullah dan kejadiannya pada sesuatu makhluk dengan perintah yang ditaati tanpa tawaquf dan tegahan. Jika Dia kehendaki sesuatu sudah pasti akan ada yang terjadi tanpa lambat dan ta’khir. Ini termasuk dalam lata’if al-isti’arah. (Lihat Talkhis al-Bayan fi Majazat al-Quran oleh al-Syarif al-Radhib, 1/192)

Penutup

Melihat kepada Qudratullah dan Iradatullah, dengan memahami konsep “كن فيكون”, maka Sunnatullah telah menetapkannya yang dilaksanakan berdasarkan ilmu-Nya. Jawapan al-Quran ini telah menjadikan seorang Ahli Falsafah Islami, al-Kindi menzahirkan salah satu daripada bukti keistimewaan al-Quran. Beliau mencatatkan bahawa: “Manusia mana yang dengan falsafahnya, mampu menghimpun informasi dalam ucapan sebanyak huruf ayat di atas sebagaimana yang telah dihimpun oleh Allah SWT untuk Rasul-Nya SAW? Pasti tidak satu pun.”

Makanya, Allah SWT menutup surah Yasin dengan menggarisbawahi hubungan antara semua ciptaan Allah dari yang terbesar hingga yang terkecil, yang merupakan hubungan ketundukan dan kepemilikan. Makanya tepatlah Allah menyebut pada ayat akhirnya:

فَسُبْحَانَ الَّذِي بِيَدِهِ مَلَكُوتُ كُلِّ شَيْءٍ وَإِلَيْهِ تُرْجَعُونَ
Oleh itu akuilah kesucian Allah (dengan mengucap: Subhaanallah!) – Tuhan yang memiliki dan menguasai tiap-tiap sesuatu, dan kepadaNyalah kamu semua dikembalikan. (Surah Yasin: 83)

Semoga Allah memberi kefahaman kepada kita dengan sebaik-baiknya untuk menjadikan al-Quran sebagai pedoman dan petunjuk untuk menyuluh kehidupan kita di dunia ini sehingga membawa kebahagiaan dunia yang berlangsungan hingga ke akhirat. Amin.

+ Mufti Wilayah Persekutuan

Comments

Lagi dalam kategori Umum

Ke Atas