Connect with us

Oh! Media

Pengislaman Zaid Al-Khair

Umum

Pengislaman Zaid Al-Khair

Soalan:
Siapakah sahabat Nabi SAW yang Baginda tukar namanya daripada Zaid al-Khail kepada Zaid al-Khair? Boleh ceritakan kisah pengislamannya.

ADVERTISEMENT

Jawapan:
Beliau ialah Zaid bin Muhalhil bin Munhab bin Abd Radha. Nama Zaid al-Khair (Zaid yang baik) diberi oleh Rasulullah SAW sejurus selepas keislamannya. Sebelumnya, nama beliau ialah Zaid al-Khail (Zaid pemilik kuda). (Lihat al-Isabah fi Tamyiz al-Sahabah, 2/623-624 dan al-Aghani, 4/453)

Kisah keislamannya bermula apabila beliau mendengar berita mengenai Rasulullah SAW dan mendapat berita serba sedikit berkenaan ajaran yang dibawa oleh Nabi SAW. Beliau lalu menyiapkan tunggangannya dan mengajak para pembesar kaumnya berkunjung ke Yathrib untuk bertemu Nabi SAW.

Apabila sampai di Masjid Nabawi, kebetulan ketika itu Rasulullah SAW sedang menyampaikan ucapan kepada kaum Muslimin. Kata-kata Baginda amat mempesonakan mereka. Mereka kagum dengan minat dan kekhusyukan kaum Muslimin menumpukan perhatian kepada ucapan Rasulullah SAW.

Rasulullah melihat mereka dan meneruskan ucapannya. Baginda menyebut: “Sesungguhnya aku lebih baik daripada Uzza dan segala yang kamu sembah. Sesungguhnya aku lebih baik daripada unta hitam yang kamu sembah selain Allah.”

Kata-kata Nabi SAW tersebut memberi bekas bagi Zaid. Selesai sahaja Rasulullah SAW menyampaikan majlis ilmunya, Zaid terus berdiri di khalayak kaum Muslimin. Dengan suara yang lantang dia berkata: “Wahai Muhammad, aku bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan sesungguhnya kamu adalah pesuruh Allah.”

Nabi SAW menoleh ke arahnya sambil bertanya: “Siapakah kamu?” Jawab Zaid: “Aku Zaid al-Khail bin Muhalhil.” Lantas Nabi SAW berkata: “Kamu Zaid al-Khair, bukannya Zaid al-Khail. Segala puji bagi Allah yang telah mendatangkan kamu dari kampung halaman kamu dan melembutkan hati kamu untuk Islam.” Sejak peristiwa tersebut, dia dikenali dengan Zaid al-Khair. (Lihat Suwarun min Hayat al-Sahabah, hlm. 133-134. Lihat juga al-Isobah, 1/399 dan Hilyah al-Auliya’, 1/376)

Nabi SAW membawanya ke rumah. Baginda ditemani oleh Umar ibn al-Khattab dan sekumpulan Sahabat yang lain. Baginda SAW mempersilakan Zaid duduk di atas alas bantal yang disediakan. Namun Zaid merasakan ia suatu tindakan yang kurang sopan dilakukan di hadapan Nabi SAW. Dia mengembalikannya kepada Baginda, tetapi Nabi SAW memulangkan bantal tersebut kepada Zaid dan mempelawanya duduk.

Zaid tetap menolak alas bantal tersebut. Kejadian tolak menolak itu berlaku sebanyak tiga kali antara mereka berdua. Setelah semua yang hadir duduk, Rasulullah SAW mula berbicara kepada Zaid, “Wahai Zaid, tiada seorang lelaki yang diceritakan kepadaku sifatnya, kemudian aku melihatnya sendiri, ternyata dia kurang daripada apa yang disifatkan, kecuali kamu.”

Rasulullah SAW bertanya kepadanya:

كَيْفَ أَصْبَحْتَ؟ قَالَ: أَصْبَحْتُ أُحِبُّ الْخَيْرَ وَأَهْلَهُ، وَمَنْ يَعْمَلُ بِهِ، وَإِنْ عَمِلْتُ بِهِ أَيْقَنْتُ بِثَوَابِهِ، وَإِنْ فَاتَنِي مِنْهُ شَيْءٌ حَنَنْتُ إِلَيْهِ، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: هَذِهِ عَلَامَةُ اللهِ فِيمَنْ يُرِيدُ
“Bagaimana keadaanmu hari ini, wahai Zaid?” Zaid menjawab: “Aku sukakan kebaikan, orang yang baik dan yang melakukan kebaikan. Jika aku boleh melakukannya, aku yakin dengan ganjarannya. Jika aku tidak berpeluang melakukannya, aku sangat berharap dapat melakukannya.” Nabi SAW bersabda: “Ini adalah petanda kebaikan daripada Allah yang diberikan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya.” (Lihat Hilyah al-Auliya, 4/109 dan Ma’rifatu al-Sahabah oleh Abi Nu’aim, 3/1198)

Zaid lalu menyatakan rasa syukurnya atas ucapan Nabi tersebut: “Segala puji bagi Allah yang telah menjadikanku berada di atas landasan yang dikehendaki Allah dan Rasul-Nya.”

Keislaman Zaid turut disertai kaumnya yang datang bersama Zaid. Zaid al-Khair meninggal dunia dalam perjalanan pulang menuju ke perkampungan keluarganya di Najd. (Lihat Suwarun min Hayat al-Sahabah, hlm. 137)

Semoga Allah SWT menjadikan kita termasuk dalam kalangan mereka yang diredhai oleh-Nya serta menetapkan iman kita sehingga menemui-Nya. Amin.

+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media

Comments

Lagi dalam kategori Umum

Ke Atas