Connect with us

Oh! Media

Panggilan Video Kepada Orang Sakit Dikira Menunaikan Hak Sesama Muslim?

Umum

Panggilan Video Kepada Orang Sakit Dikira Menunaikan Hak Sesama Muslim?

Soalan:
Saya nak bertanya sedikit tentang hukum hakam berkenaan menziarahi orang sakit. Adakah apabila kita melakukan video call dengan sahabat atau kenalan kita yang sedang sakit dianggap sebagai orang yang menziarahi orang yang sakit. Adakah mendapat pahala seperti mana orang yang pergi ziarah sendiri. Adakah dia dikira telah menunaikan hak sebagai seorang muslim?

ADVERTISEMENT

Jawapan:
Setiap Muslim adalah bersaudara dan sudah menjadi lumrah persaudaraan adanya hak-hak yang perlu ditunaikan. Perkara ini dapat dilihat menerusi hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah. Beliau berkata bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW:

حَقُّ الْمُسْلِمِ عَلَى الْمُسْلِمِ خَمْسٌ رَدُّ السَّلَامِ وَعِيَادَةُ الْمَرِيضِ وَاتِّبَاعُ الْجَنَائِزِ وَإِجَابَةُ الدَّعْوَةِ وَتَشْمِيتُ الْعَاطِسِ
“Hak seorang Muslim ke atas Muslim yang lain ada lima. Membalas salam, melawat orang sakit, mengiringi jenazah, hadir jemputan dan mendoakan orang yang bersin.” [Riwayat Al-Bukhari (1240) dan Muslim (5778)]

Di dalam riwayat yang lain, Nabi SAW bersabda:

لِلْمُؤْمِنِ عَلَى الْمُؤْمِنِ سِتُّ خِصَالٍ : يَعُودُهُ إِذَا مَرِضَ ، وَيَشْهَدُهُ إِذَا مَاتَ ، وَيُجِيبُهُ إِذَا دَعَاهُ ، وَيُسَلِّمُ عَلَيْهِ إِذَا لَقِيَهُ ، وَيُشَمِّتُهُ إِذَا عَطَسَ ، وَيَنْصَحُ لَهُ إِذَا غَابَ أَوْ شَهِدَ
“Kewajipan seorang Mukmin ke atas seorang Mukmin yang lain ada enam menziarahinya ketika sakit, bersama dengannya ketika dia meninggal dunia, menyahut jemputan jika dijemput (ke majlis anjurannya), memberi salam kepadanya ketika bertemu, mendoakan kebaikannya untuknya ketika dia bersin dan tulus kepadanya ketika ketiadannya ataupun ketika dia ada.” [Riwayat Al-Tirmidzi (2737) dan Al-Nasai’i (1938)]

أَمَرَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِسَبْعٍ وَنَهَانَا عَنْ سَبْعٍ أَمَرَنَا بِعِيَادَةِ الْمَرِيضِ وَاتِّبَاعِ الْجِنَازَةِ وَتَشْمِيتِ الْعَاطِسِ وَإِجَابَةِ الدَّاعِي وَإِفْشَاءِ السَّلَامِ وَنَصْرِ الْمَظْلُومِ وَإِبْرَارِ الْمُقْسِمِ وَنَهَانَا عَنْ خَوَاتِيمِ الذَّهَبِ وَعَنْ الشُّرْبِ فِي الْفِضَّةِ أَوْ قَالَ آنِيَةِ الْفِضَّةِ وَعَنْ الْمَيَاثِرِ وَالْقَسِّيِّ وَعَنْ لُبْسِ الْحَرِيرِ وَالدِّيبَاجِ وَالْإِسْتَبْرَقِ
“Rasulullah SAW memerintahkan kami untuk melakukan tujuh perkara dan melarang kami daripada tujuh perkara. Baginda memerintahkan untuk menziarahi orang sakit, mengiringi jenazah, mendoakan kebaikan untuk orang yang bersin, memenuhi jemputan, menyebarkan salam, membantu orang yang dizalimi dan membantu dan berbuat baik pada orang yang bersumpah (supaya tidak dianggap melanggar sumpah). Baginda juga melarang kami daripada memakai cincin emas, minum daripada bekas perak,menaiki tunggangan yang dihiasi sutera, melarang daripada memakai Al-Qassi (pakaian yang diperbuat daripada sutera daripada Syam dan Mesir) dan melarang daripada memakai kesemua jenis sutera.” [Riwayat Al-Bukhari (5635) dan Muslim (5510)]

Berdasarkan hadis-hadis di atas, di antara hak yang perlu ditunaikan kepada saudara muslim yang lain ialah meziarahinya ketika sakit. Ianya tidak boleh diabaikan oleh setiap muslim apatah lagi melecehkan dan memandang remeh perkara ini.

Al-Munawi menyebut bahawa hadis yang disebutkan adalah umum. Ini bermakna diwajibkan untuk menziarahi orang yang sakit walaupun dia seorang ajnabi. (Rujuk Faidh Al-Qadir Syarh Al-Jami’ Al-Saghir, 2/532)

Ini bermakna menziarahi orang sakit tidak hanya tertumpu atau khusus pada orang yang terdekat sahaja akan tetapi ianya termasuk juga orang asing yang tiada kaitan dengan hubungan kekeluargaan. Bahkan Nabi SAW pernah menyebut tentang kelebihan orang yang sentiasa mengambil berat tentang orang dengan menziarahinya ketika sakit. Perkara dapat diketahui melalui hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah. Nabi SAW bersabda:

مَنْ عَادَ مَرِيضًا نَادَى مُنَادٍ مِنْ السَّمَاءِ طِبْتَ وَطَابَ مَمْشَاكَ وَتَبَوَّأْتَ مِنْ الْجَنَّةِ مَنْزِلًا
“Sesiapa yang pergi melawat orang yang sakit maka akan ada suara langit yang menyerunya: Engkau akan menjadi orang yang untung (baik) dan setiap langkah engkau akan elok dan tersedia untuk engkau sebuah tempat tinggal di syurga.” [Riwayat Ibnu Majah (1433)]

Di dalam riwayat yang lain menyebut:

مَنْ عَادَ مَرِيضًا لَمْ يَزَلْ فِي خُرْفَةِ الْجَنَّةِ حَتَّى يَرْجِعَ
“Sesiapa yang menziarahi orang yang sakit, maka dia akan sentiasa berada di jalan syurga sehinggalah dia pulang (daripada menziarahi orang tersebut).” [Riwayat Muslim (4658)]

Lihatlah bagaimana Nabi SAW menggalakkan umatnya untuk menziarahi orang yang sakit. Inilah antara cara untuk mengeratkan hubungan sesame manusia khususnya sesama muslim.

Kembali kepada persoalan yang dikemukakan, jika seseorang melakukan video call dengan sahabat atau kenalan yang sedang sakit maka ianya dibolehkan dan dianggap sebagai orang yang telah menziarahinya. Dengan syarat mesti ada keuzuran atau sebab yang munasabah yang tidak memungkinkannya untuk pergi meziarahinya secara terus. Ini kerana menziarahi orang yang sakit adalah cara untuk mendatangkan kegembiraan kepadanya tatkala Allah mengujinya dengan musibah.

Melakukan video call dengan kenalan atau sahabat yang sedang sakit adalah antara cara untuk menggembirakan pesakit. Orang-orang yang menggembirakan orang lain punyai banyak kelebihan. Perkara ini dapat dilihat menerusi beberapa buah hadis. Antaranya hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah R.anha bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ أَدْخَلَ عَلَى أَهْلِ بَيْتٍ مِنَ الْمُسْلِمِينَ سُرُورًا لَمْ يَرْضَ لَهُ اللَّهُ ثَوَابًا دُونَ الْجَنَّةِ
“Sesiapa yang menggembirakan mana-mana orang Islam maka Allah tidak akan memberinya pahala tanpa diberikan juga syurga.” [Riwayat Al-Tabarani (910) di dalam Al-Mu’jam Al-Saghir, Imam Al-Tabarani menyebut bahawa hadis ini tidak diriwayatkan melainkan dengan jalur sanad daripada Ibrahim Bin Salim Bin Rusyaid Al-Basri. Di dalam sanad hadis ini juga terdapat perawi yang bernama Umar Bin Habib Al-Qadhi. Beliau adalah seorang yang lemah]

Di dalam riwayat yang lain menyebut bahawa Nabi SAW pernah ditanya tentang apakah amalan yang paling baik. Nabi SAW bersabda :

ادخالك السرور على مؤمن اشبعت جوعته او كسوت عريه او قضيت له حاجة
“(Amalan yang paling baik ialah) apabila engkau menggembirakan orang mukmin yang lain. Maka engkau dianggap telah menghilangkan kelaparannya, menutup auratnya dan engkau telah tunaikan hajatnya.” [Riwayat Al-Tabarani (5081) di dalam Al-Mu’jam Al-Awsat]

Dengan adanya kehadiran kita walaupun dengan video call ia sudah cukup untuk menggembirakan pesakit dan membuatnya lupa dengan musibah yang sedang dialaminya. Ini adalah kesan daripada ukhuwah yang meringankan sakit yang sedang dihadapi. Ibnu Hajar Al-Haitami menyebut:

“Disunatkan untuk orang yang menziarahi adalah daripada kaum kerabat ataupun sahabat handai yang mana dia berasa tenang bila ada kenalannya yang menziarahinya dan merasa susah hati ketika ketiadaan mereka.” (Rujuk Tuhfah Al-Minhaj Bi Syarh Al-Minhaj, 3/91).

Kesimpulannya, tidak mengapa untuk melakukan video call dengan sahabat atau kenalan yang sedang ditimpa kesakitan jika ada keuzuran atau sebab yang munasabah. Asalkan ia mendatangkan kegembiraan pada pesakit maka ianya tidak menjadi masalah. Wallahu’alam.

Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media

Oh! Makan


Comments

Lagi dalam kategori Umum

Ke Atas