Connect with us

Oh! Media

Pandangan Syarak Terhadap Sukan Ekstrim & Permainan Yang Merbahaya

Umum

Pandangan Syarak Terhadap Sukan Ekstrim & Permainan Yang Merbahaya

Soalan:
Apakah hukum bermain permainan yang merbahaya seperti roller-coaster? Ataupun menyertai sukan-sukan ekstrim seperti bungee-jumping dan paragliding?

Jawapan:
Islam merupakan satu agama yang amat mementingkan pemeliharaan nyawa dan keselamatan manusia. Firman Allah SWT:

وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ
“…Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan.” [Surah Al-Baqarah (195)]

Nabi SAW juga telah bersabda:

لاَ ضَرَرَ وَلاَ ضِرَارَ
Tidak boleh seseorang itu memberi kemudaratan atau membalas kemudaratan dengan kemudaratan. [Sunan Ibn Majah (2332) dan Al-Muwatta’ (1234)]

Definisi sukan ekstrim, seperti yang ditakrifkan oleh Cambridge Dictionary, merupakan sukan yang merbahaya dan pada masa yang sama menyeronokkan.

Para ulama telah membahaskan isu keterlibatan dalam sukan dan permainan yang merbahaya ini. Menurut Ibn ‘Abidin, salah seorang ulama besar mazhab Hanafi:

وكذا يحل كل لعب خطر لحاذق تغلب سلامته ، كرمي لرام ، وصيد لحية ، ويحل التفرج عليهم حينئذ
“Dan demikian juga dibenarkan setiap permainan yang merbahaya bagi pemain mahir yang terjamin keselamatannya seperti pemanah/penembak atau pemburu ular, dan diharuskan juga menyaksikan mereka ketika itu.” [Rujuk Al-Dur al-Mukhtar 6/404]

Namun para ulama juga telah meletakkan beberapa syarat yang perlu dipatuhi bagi mereka yang ingin terlibat dengan sukan-sukan yang merbahaya. Antaranya ialah:

  • Kemahiran dan kompetensi yang cukup. Hal ini tidak dapat dicapai melainkan dengan latihan secara intensif.
  • Pemain sukan itu berkemungkinan besar adalah selamat. [Rujuk Bughiyat al-Mushtaaq fi Hukm al-Lahw wa’l-La’b wa’l-Sibaaq, hal. 156-157]

Nabi SAW juga pernah bersabda:

مَنْ بَاتَ عَلَى إِنْجَارٍ فَوَقَعَ مِنْهُ فَمَاتَ، بَرِئَتْ مِنْهُ الذِّمَّةُ، وَمَنْ رَكِبَ الْبَحْرَ حِينَ يَرْتَجُّ، يَعْنِي‏:‏ يَغْتَلِمُ، فَهَلَكَ بَرِئَتْ مِنْهُ الذِّمَّةُ
Jika seseorang tidur di atas bumbung yang tiada batu penghadang, kemudian jatuh dan mati, maka tiada seorangpun yang bertanggungjawab ke atasnya. Jika seseorang berlayar di lautan dalam keadaan bergelora dan kapalnya musnah, tiada seorangpun yang bertanggungjawab ke atasnya. [Al-Adab al-Mufrad (1194) dan Sunan Abi Daud (5041)]

Imam Ibn Batthaal sewaktu mensyarahkan hadith ini menyatakan bahawa hadith ini membawa maksud orang tersebut tidak lagi berhak ke atas perlindungan Syarak, kerana dia sendiri yang menyebabkan kecelakaan tersebut ke atas dirinya sendiri. Dia tidak melindungi dirinya sendiri, maka dia tidak dilindungi oleh Syari’ah. [Rujuk Sharh al-Bukhari, 5/89]

Imam Al-Hafiz Ibn Hajar pula menyatakan bahawa dalam mengembara di lautan, jika keadaan keselamatan mengizinkan, maka hukum di laut mahupun di darat adalah sama. [Rujuk Fath al-Baari Syarh Sahih al-Bukhari 6/88]

Menurut Dr. Muzammil H. Siddiqi, Presiden bagi Fiqh Council of North America, beliau menyatakan bahawa apa jua sukan yang dianggap sebagai merbahayakan nyawa perlu dijauhi. Tapi jika sukan itu dianggap sebagai sukan lasak, dan ada langkah-langkah keselamatan yang diambil untuk melindungi nyawa pemainnya, maka ia dibolehkan. [Rujuk: https://archive.islamonline.net/?p=1242]

Namun terdapat juga ulama yang mengharamkannya, seperti Syeikh Ibn ‘Uthaimin berdasarkan beberapa dalil, antaranya ialah firman Allah SWT:

وَلَا تَقْتُلُوا أَنفُسَكُمْ ۚ
“…Dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri.” [Surah al-Nisaa’ (29)]

Maka apa sahaja yang membawa kepada kematian atau kemudaratan, maka ia adalah haram. Sepertimana kita dilarang memberi kemudaratan ke atas orang lain, kita juga dilarang memberi kemudaratan ke atas diri kita sendiri. [Rujuk Fatawa Nur ‘ala al-Darb, 13/252]

Kesimpulan

Tuntasnya, terdapat dua pandangan berbeza dalam isu ini, iaitu yang mengharuskan dan yang mengharamkan. Pandangan yang mengharamkan lebih bersifat berhati-hati dan menekankan dasar sadd al-zara’ie, iaitu menutup pintu-pintu kemudaratan, manakala pandangan yang mengharuskan pula lebih melihat kepada hukum asal keharusan hiburan, sukan dan permainan, selagimana aspek penjagaan keselamatan dititikberatkan.

Kami lebih cenderung kepada pandangan pertama, bahawa hukum terlibat dalam permainan dan sukan yang merbahaya adalah harus sekiranya segala langkah-langkah keselamatan telahpun diambil, dan mereka yang terlibat juga merupakan kalangan yang terlatih dan mempunyai kemahiran yang cukup, serta secara ghalib al-zhannya peserta yang terlibat akan terselamat.

Wallahu a’lam.

+ Mufti Wilayah Persekutuan

Penulis sepenuh masa di Oh! Media. Mencipta Oh! Media sejak dari dalam perut mak lagi. Hi Awak!

Comments

Lagi dalam kategori Umum

Trending

To Top