Connect with us

Oh! Media

Onani Tanpa Mandi Wajib: Bagaimanakah Status Solat, Perkahwinan dan Puasa Yang Dilakukan?

Umum

Onani Tanpa Mandi Wajib: Bagaimanakah Status Solat, Perkahwinan dan Puasa Yang Dilakukan?

Soalan:
Saya seorang perempuan dan dahulu saya selalu beronani sehingga keluar air mani. Namun pada masa itu saya tidak tahu yang saya kena mandi wajib selepasnya dan terus melakukan solat macam biasa. Namun apabila saya datang haid, saya akan mandi wajib setelah bersih darinya. Soalan saya, bagaimanakah perkahwinan saya dan puasa saya pada ketika itu?

ADVERTISEMENT

Jawapan:
Dalam menjawab persoalan di atas ini, kami perincikan ia kepada beberapa pecahan berikut:

Pertama: Hukum Beronani Bagi Lelaki dan Perempuan

Kami jelaskan terlebih dahulu definisi bagi perkataan onani. Dari sudut bahasa, onani berasal dari kata terbitan استمنى yang bererti usaha mengeluarkan air mani. Manakala dari sudut istilah ia membawa maksud: “Mengeluarkan air mani tanpa melalui proses bersetubuh, sama ada secara haram seperti menggunakan tangan bagi memenuhi tuntutan syahwat, ataupun secara tidak haram, seperti mengeluarkan air mani melalui tangan isteri.”

Secara umumnya, Allah S.W.T berfirman:

وَالَّذِينَ هُمْ لِفُرُوجِهِمْ حَافِظُونَ إِلَّا عَلَىٰ أَزْوَاجِهِمْ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُمْ فَإِنَّهُمْ غَيْرُ مَلُومِينَ فَمَنِ ابْتَغَىٰ وَرَاءَ ذَٰلِكَ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الْعَادُونَ
“(Dan golongan yang beriman itu) adalah mereka yang memelihara kemaluan mereka. Melainkan ke atas para isteri mereka atau hamba-hamba sahaya mereka, sesungguhnya mereka itu tidak tercela. Maka sesiapa yang mencari-cari di sebalik itu mereka merupakan golongan yang melampaui batas.” [Surah Al-Mu’minun (5-7)]

Berdasarkan kepada ayat di atas, para ulama kebanyakannya menyatakan bahawa hukum beronani adalah haram. Imam Al-Syafie dalam ulasan beliau kepada ayat ini berkata:

فَلَا يَحِلُّ الْعَمَلُ بِالذَّكَرِ إلَّا فِي الزَّوْجَةِ أَوْ فِي مِلْكِ الْيَمِينِ وَلَا يَحِلُّ الِاسْتِمْنَاءُ وَاَللَّهُ تَعَالَى أَعْلَمُ
“Tidak halal menggunakan zakar melainkan kepada isteri atau kepada hamba perempuan yang dimiliki. Dan tidak halal perbuatan istimna’ (mengeluarkan air mani).” [Rujuk Al-Umm, Al-Syafi’e (5/102)]

Manakala para ulama yang mengharamkan ini adalah melibatkan orang lelaki dan juga orang perempuan. Kata Imam al-Ruhaibani dari kalangan fuqaha hanabilah: “Dan sesiapa yang beronani dari kalangan lelaki dan perempuan tanpa sebarang hajat, maka haram melakukannya dan dia dihukum takzir atas perbuatan tersebut kerana ia merupakan suatu maksiat.” [Rujuk Mathalib Ulil Nuha, Al-Ruhaibani (6/226)]

Dari sudut fekah, keluarnya air mani secara sengaja seperti melalui persetubuhan, beronani, melihat perkara-perkara yang menaikkan syahwat, atau secara tidak sengaja seperti melalui mimpi, maka kesemuanya ini menjadikan seseorang itu berada dalam keadaan berjunub. Dan antara sebab yang mewajibkan mandi bagi seseorang itu adalah ketika dia dalam keadaan berjunub.

Bagi orang perempuan yang melakukan onani sehingga keluar air mani, menjadi satu kewajipan ke atas dirinya untuk mandi junub. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Zainab binti Ummu Salamah bahawa Ummu Sulaim bertanya kepada Rasulullah S.A.W:

يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ لاَ يَسْتَحِي مِنَ الْحَقِّ هَلْ عَلَى الْمَرْأَةِ غُسْلٌ إِذَا احْتَلَمَتْ قَالَ نَعَمْ إِذَا رَأَتِ الْمَاءَ
“Wahai Rasulullah, sesungguhnya Allah itu tidak malu terhadap perkara kebenaran. Adakah menjadi kewajipan bagi seorang perempuan itu untuk mandi (junub) apabila dia bermimpi?” Maka kata baginda S.A.W: “Ya, dia perlu mandi apabila dia melihat terdapatnya air (mani).” [Riwayat al-Bukhari (6091)]

Kata Imam Ibn Hajar al-Asqalani: “Pada hadis ini terdapatnya petunjuk yang menyatakan kewajipan mandi (junub) ke atas orang perempuan disebabkan keluar air mani.” [Rujuk Fath al-Bari, Ibn Hajar Al-Asqalani (1/462)]

Secara kesimpulannya, perbuatan onani sehingga keluar air mani bagi lelaki dan perempuan adalah menyebabkan wajibnya mandi junub. Sekiranya ini tidak dilakukan, implikasinya adalah solat seseorang itu tidak sah kerana antara syarat sah solat adalah bersihnya tubuh badan dari hadas.

Justeru, solat-solat yang dilakukan dalam keadaan ini tidak melepaskan zimmah (tanggungjawab atau kewajipan) seseorang. Sebaliknya ia perlu diqadha’ semula dengan kadar yang termampu.

Kedua: Perkahwinan Yang Berlaku Dalam Keadaan Berjunub

Dalam isu ini, kita hendaklah melihat kepada syarat sah pernikahan itu sendiri. Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili menyatakan bahawa syarat sah nikah itu ada dua, iaitu:

  • Hendaklah isteri tersebut merupakan wanita yang bukan mahram.
  • Hendaklah akad perkahwinan tersebut dihadiri oleh dua orang saksi. Ini adalah syarat yang ditetapkan oleh para ulama hanafiyyah, manakala mazhab selainnya menyatakan bahawa ia (kehadiran dua orang saksi) adalah rukun bagi nikah. [Rujuk Al-Feqh al-Islami wa Adillatuh, Dr. Wahbah Al-Zuhaili (9/6532-6533)]

Justeru, apabila kita memahami hal ini maka kita menyatakan bahawa suci daripada hadas tidak termasuk dalam syarat sah nikah. Maka perkahwinan yang berlaku dalam keadaan pengantin perempuan berada dalam haid ataupun berjunub adalah sah selama mana menepati rukun-rukun dan syarat-syarat sah bagi pernikahan.

Meskipun begitu, sekiranya perkahwinan yang melibatkan wanita yang berjunub ini dijalankan di dalam masjid, maka ia memberi kesan kepada hukum-hakam tertentu. Iaitu, hukum wanita haid atau berjunub masuk ke dalam masjid.

Allah S.W.T berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَقْرَبُوا الصَّلَاةَ وَأَنتُمْ سُكَارَىٰ حَتَّىٰ تَعْلَمُوا مَا تَقُولُونَ وَلَا جُنُبًا إِلَّا عَابِرِي سَبِيلٍ حَتَّىٰ تَغْتَسِلُوا ۚ
“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menghampiri sembahyang (mengerjakannya) sedangkan kamu dalam keadaan mabuk, hingga kamu sedar dan mengetahui akan apa yang kamu katakan. Dan janganlah pula (hampiri masjid) sedang kamu dalam keadaan junub (berhadas besar) – kecuali kamu hendak melintas sahaja – hingga kamu mandi bersuci.” [Surah al-Nisaa’ (43)]

Dalam ayat ini terdapatnya larangan kepada orang yang berjunub sama ada lelaki atau perempuan untuk masuk ke masjid melainkan sekadar melintas sahaja.

Sebagai kesimpulan, kita menyatakan bahawa hukum perkahwinan yang dilakukan dalam keadaan berjunub adalah sah. Manakala jika ia dilakukan di dalam masjid, hendaklah pengantin perempuan yang berjunub tidak memasukinya kerana ia adalah suatu perbuatan yang tidak boleh dibuat oleh wanita yang dalam keadaan berjunub seperti yang ditegaskan oleh para ulama syafi’eyyah.

Ketiga: Puasa Dalam Keadaan Berjunub

Dalam isu ini, juga perlu dilihat kepada syarat-syarat sah puasa itu sendiri. Dalam kitab Al-Feqh Al-Manhaji, disebutkan bahawa syarat sah puasa itu ada tiga. Iaitu:

  • Maka tidak sah puasa yang dilakukan oleh orang kafir.
  • Maka tidak sah puasa yang dilakukan oleh orang gila dan juga kanak-kanak yang belum mumayyiz.
  • Kosong atau sunyi dari keuzuran-keuzuran yang menghalang dari puasa. Seperti datang haid dan juga nifas (bagi orang perempuan), pengsan atau gila sepanjang hari. [Rujuk Al-Feqh al-Manhaji (1/339)]

Ini menandakan, suci dari junub hasil dari persetubuhan di malam hari atau keluar air mani tidak termasuk di dalam syarat-syarat sah puasa. Justeru, jika seseorang itu keluar air mani di malam hari, dalam keadaan dia telah berniat puasa keesokan harinya, sekiranya dia bangun setelah terbitnya fajar sadiq maka dia boleh sahaja meneruskan puasanya pada hari tersebut. Namun, dia hendaklah mandi wajib bagi mendirikan solat dan bukanlah kewajipan mandi itu bagi mengharuskan puasa.

Namun, sekiranya persetubuhan atau beronani sehingga keluar air mani itu berlaku setelah seseorang itu berada dalam keadaan berpuasa, maka puasanya adalah batal serta merta. Ini kerana, kedua perbuatan tersebut termasuk dalam perkara yang membatalkan puasa.

Kesimpulan

Sebagai penutup, bagi menjawab persoalan yang dikemukakan kami menyatakan bahawa solat-solat yang dilakukan selepas beronani hingga keluar air mani tanpa mandi junub terlebih dahulu adalah tidak sah. Manakala solat-solat yang dilakukan setelah mandi junub disebabkan suci dari haid adalah sah.

Berkenaan perkahwinan dan puasa pula, keduanya adalah sah sekiranya berlaku dalam keadaan junub. Ini seperti yang telah kami kemukakan pandangan tentangnya di atas.

Akhir kalam, semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang tepat kepada kita dalam beragama. Ameen.

+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan

+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media

Comments

Lagi dalam kategori Umum

Ke Atas