Connect with us

Oh! Media

Nil Tidak Mengalir Dengan Sendirinya

Umum

Nil Tidak Mengalir Dengan Sendirinya

Ketika Amru bin Al-Ash menjadi Gabenor Islam di Mesir yang dilantik oleh Sayyidina Umar Al-Khattab radhiallahu ‘anhu, beliau menghadapi satu cabaran iaitu musim kemarau yang menyebabkan keringnya Sungai Nil yang merupakan sumber utama bekalan air ke seluruh negara tersebut.

ADVERTISEMENT

Memang menjadi tradisi orang-orang Qibti yang merupakan masyarakat pribumi negara Mesir, untuk mengadakan upacara korban dalam sesuatu tempoh untuk ‘penunggu’ yang kononnya ditugaskan menjaga sungai Nil. Kononnya dengan cara itu mereka akan mendapat keberkatan rezeki.

Ditakdirkan pula, berlaku kemarau. Ini menyebabkan penduduk-penduduk memohon untuk mengadakan upacara tersebut bagi mengelak keadaan kemarau yang lebih teruk.

Amru bin al-Ash berusaha menghentikan perbuatan mungkar tersebut di atas prinsip Islam yang mengharamkan upacara memuja syaitan dan jin. Dia segera memaklumkan kejadian itu kepada Khalifah Umar Al-Khattab radhiallahu ‘anhu di Madinah.

Sayyidina Umar segera menghantar surat maklum balas, bersama sepucuk surat lain dan meminta Amru bin al-Ash supaya mencampakkan surat yang alamatnya ditulis “Buat sungai Nil” itu ke dalam sungai Nil.

Isi kandungan surat itu tertulis: “Dari hamba Allah, Amirul Mukminin kepada Nil, Mesir. Segala puji buat Allah, selawat dan salam ke atas Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Jika engkau mengalir kerana kehendakmu semata-mata, maka janganlah engkau mengalir lagi. Tetapi jika Allah Subhanahu Wa Ta’ala yang mengalirkanmu, maka kami memohon kepada Allah agar mengalirkan kamu semula!”

Dengan karamah Sayyidina Umar radhiallahu ‘anhu, pada hari yang sepatutnya penduduk Mesir kembali melakukan amalan syirik itu, sungai Nil menjadi lebih luas dan mengalir lebih banyak airnya.

Allah Subhanahu Wa Ta’ala telah mentakdirkan agar tradisi syirik itu berakhir di tangan Khalifah yang sangat dicintai oleh semua umat Islam, Sayyidina Umar Al-Khattab radhiallahu ‘anhu.

Rujukan: Tafsir Al-Qurtubi dan Hasyiat al-Sawiy ‘ala al-Jlalain, tafsir ayat 57-58 Surah Asy-Syu’ara.

Comments

Lagi dalam kategori Umum

Ke Atas