Connect with us

Oh! Media

Najib Ingin Saman Rafizi, Rafizi Bertegas Dan Cabar Untuk Berdebat Jika Berani

Oh! Negara

Najib Ingin Saman Rafizi, Rafizi Bertegas Dan Cabar Untuk Berdebat Jika Berani

Rafizi Ramli sememangnya seorang pemimpin yang tegas dengan kelantangannya bersuara dan sentiasa menulis serta berkata sesuatu mengikut fakta yang sukar nak ditepis bihak berkaitan. Tindak-tanduk ahli Parlimen Pandan ini sentiasa menjadi perhatian sebagai seorang pemimpin yang sentiasa mengkritik sesuatu perkara di pihak kerajaan untuk membawa kebaikan dan keuntungan kepada rakyat Malaysia.

ADVERTISEMENT

Melalui satu kenyataan di laman Facebooknya, Rafizi mendakwa dia mungkin akan disaman Perdana Menteri berikutan kenyataan Rafizi dalam satu video bertajuk “Kenapa Kita Pertahan Subsidi Minyak” baru-baru ini. Anda boleh tonton video tersebut di bawah:

Rafizi juga menyatakan rasa bangga kerana ingin disaman Perdana Menteri kerana memperjuangkan hak rakyat untuk mendapatkan subsidi minyak sekurang-kurangnya 30 sen seliter. Berikut kami kongsikan kenyataan penuh Rafizi yang diambil dari laman Facebook peribadinya;

Wartawan media perdana tanya sama ada saya akan minta maaf. Kena saman ni perkara biasa la. Setakat ini yang saman saya semua tarik balik bila sampai ke mahkamah kerana tidak sanggup disoal balas peguam, jadi usah bimbang. Saya tidak perlu minta maaf apabila mempertahankan subsidi minyak rakyat. Kenyataan media saya mengenai saman Najib Razak

BANGGA DISAMAN PERTAHAN SUBSIDI RAKYAT

Pada hari ini, saya menerima surat memohon penjelasan (demand letter) dari firma Hafarizam Wan & Aisha Mubarak bagi pihak Dato’ Seri Najib Tun Razak mengenai kenyataan saya di dalam video bertajuk “Kenapa Kita Pertahan Subsidi Minyak”. Surat seperti ini adalah surat awal sebelum tindakan saman diambil.

Video tersebut adalah rakaman sebahagian dari ucapan saya di Bandar Tun Razak pada 22 November 2014 yang lalu yang mempertahankan subsidi minyak sebagai hak rakyat. Rakaman tersebut boleh didapati di laman MediaRakyat.

Saya sudah menjangkakan bahawa Dato’ Seri Najib Tun Razak akan mengambil tindakan saman terhadap saya selepas rakan saya YB Tony Pua telah menerima surat yang sama minggu lepas. Saya percaya ia ada kena mengena dengan kritikan berterusan dari kami berdua mengenai 1MDB.

Saya berasa bangga mendapat saman dari seorang Perdana Menteri kerana mempertahankan hak rakyat untuk mendapatkan subsidi minyak sekurang-kurangnya 30 sen seliter dalam keadaan pimpinan negara berbelanja sewenang-wenangnya dana rakyat dalam projek-projek yang membebankan rakyat seperti 1MDB.

Saya telah menyatakan secara terbuka bahawa saya bersedia berdebat dengan mana-mana pimpinan Umno baik yang muda atau tua, menteri atau tidak dalam mempertahankan subsidi minyak ini. Sehingga sekarang tidak ada seorang pun pimpinan Umno – dari Ketua Pemudanya hingga Ketua Penerangan yang berani tampil berdebat mengenai subsidi minyak ini.

Maka, surat ke arah tindakan saman dari Dato’ Seri Najib Tun Razak ini kena tepat pada masanya. Dalam keadaan tiada pimpinan Umno yang berani berdebat secara terbuka mengenai subsidi minyak, sewajarnya Dato’ Seri Najib Tun Razak tampil menjawab hujah-hujah saya secara terbuka.

Saya sekali lagi mencadangkan beliau tampil berdebat dengan Dato’ Seri Anwar Ibrahim khusus mengenai isu subsidi minyak yang menjadi isu besar di kalangan rakyat.

Sementara itu, saya akan menjawab surat Dato’ Seri Najib Tun Razak dan bersedia memberi keterangan di mahkamah kelak. Saya juga percaya Dato’ Seri Najib Tun Razak akan menggunakan mahkamah dengan menjadi saksi dan memberi keterangan mengenai 1MDB, wang pencen dan kes-kes lain yang berkaitan dengan keputusan beliau memotong subsidi.

RAFIZI RAMLI
Naib Presiden/Setiausaha Agong KEADILAN
Ahli Parlimen Pandan

Kami sebagai rakyat Malaysia juga menyeru agar perkara-perkara sebegini tidak berakhir dengan saman yang tidak menguntungkan rakyat. Mungkin apa yang rakyat Malaysia inginkan adalah penjelasan dari setiap perkara agar rakyat tahu apa sebenarnya yang berlaku.

Surat Penjelasan (Demand Letter) yang diterima Rafizi dari pihak peguam Perdana Menteri

Comments

Lagi dalam kategori Oh! Negara

Ke Atas