Connect with us

Oh! Media

Musibah dan Dosa Manusia

Umum

Musibah dan Dosa Manusia

ADVERTISEMENT
Soal :
Adakah musibah yang kebelakangan ini sering terjadi pada negeri umat Islam adalah sebab dosa yang dikerjakan olih manusia atau hanya kebetulan?
Jawab :
Segala musibah yang berlaku ke atas manusia di dunia ini bukan kebetulan tetapi ada sebab musabbabnya. Antara sebab terjadi musibah ialah sebab kejahatan manusia itu sendiri yang melakukan dosa dan kemungkaran.
Firman Allah :
وَما أَصابَكُمْ مِنْ مُصِيبَةٍ فَبِما كَسَبَتْ أَيْدِيكُمْ
“Dan kejadian buruk yang menimpa kamu dari musibah itu maka ialah dengan sebab perbuatan kamu semua.” (As-Syuura : 30)
Maksud perbuatan manusia pada ayat ini ialah perbuatan dosa dan maksiat.
Soal :
Apakah hikmahnya Allah tidak menurunkan azab keatas semua negeri yang penduduknya melakukan dosa?
Jawab :
Musibah hanya akan berlaku jika Allah kehendaki membalas perbuatan dosa penduduknya. Jika Allah tidak kehendaki maka Allah tidak menyiksa mereka dengan menurunkan musibah kerana Allah memberi kemaafan kepada mereka.
Firman Allah :
 وَيَعْفُوا عَنْ كَثِيرٍ
“Dan Allah memaafkan pada kebanyakkan perbuatan manusia.” (As-Syuura : 30)
Berkata Imam Ibnu Kathir :
ويعفو عن كثير أي من السيئات ، فلا يجازيكم عليها بل يعفو عنها
“Dan Allah memaafkan dari kebanyakkan daripada segala dosa. Maka Allah tidak membalas atas kelakuan dosa-dosa itu bahkan memberi kemaafan daripadanya.” (Tafsir Ibnu Kathir)
Soal :
Adakah juga Allah memberikan keampunan kepada para hamba-Nya tetapi menurunkan juga musibah ke atas mereka?
Jawab :
Ya. Kadangkala Allah memberikan keampunan dengan cara menurunkan ke atas manusia musibah dan diangkat darjat mereka yang ditimpa musibah itu.
Berkata Ikrimah :
ما من نكبة أصابت عبدا فما فوقها إلا بذنب لم يكن الله ليغفر له إلا بها، أو درجة لم يكن الله ليبلغها إلا بها
“Tidak ada satu kesusahan yang menimpa seorang hamba atau yang lebih berat darinya melainkan dengan cara Allah mengampunkan dosanya dengan diturunkan musibah atau Allah mengangkat darjatnya dengan sebab musibah yang menimpa itu.” (Tafsir Al-Baghawi)
Soal :
Jikalau berlaku musibah dengan sebab dosa yang manusia lakukan kenapa Allah tidak turunkan musibah ke atas semua negeri yang penduduknya melakukan dosa?
Jawab :
Kerana keampunan Allah lebih luas dari kemurkaan-Nya dan lagi jika Allah membalas siksa dan menurunkan musibah setiap kali manusia melakukan dosa maka akan binasalah bumi ini. Olih itu Allah menangguhkan siksanya sekira-kira pada masa yang Dia kehendaki.
Firman Allah :
وَلَوْ يُؤَاخِذُ اللَّهُ النَّاسَ بِمَا كَسَبُوا مَا تَرَكَ عَلَىٰ ظَهْرِهَا مِن دَابَّةٍ وَلَٰكِن يُؤَخِّرُهُمْ إِلَىٰ أَجَلٍ مُّسَمًّى ۖ
“Dan jikalau Allah menyiksa setiap mausia yang melakukan dosa maka sudah pasti tiada hidup atas muka bumi ini satu pun kehidupan. Dan tetapi Allah memberi tangguh kepada manusia hingga masa yang ditetapkan.” (Al-Fathir : 45)
Soal :
Ada orang berkata bahawa terjadinya gempa bumi hingga ramai yang terkorban tertimbus ke dalam bumi dan rumah-rumah hancur luluh sudah ada disebut olih Rasulullah saw. Adakah benar Rasulullah pernah menyebut tentang perkara ini?
Jawab :
Memang benar sebagaimana yang dikatakan itu.
Aisyah r.a. meriwayatkan sebuah hadith dengan katanya :
قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: يكون في آخر هذه الأمة خسف ومسخ وقذف
“Rasulullah saw bersabda : Akan ada berlaku pada akhir umat ini bumi bergerak dan berubah rupa dan huru hara.” (Hadith Turmizi)
Dan Abu Malik Al-Asy’ary r.a. meriwayatkan sabda Nabi saw :
يخسف الله بهم الأرض
“Allah akan menenggelamkan mereka ke dalam bumi.” (Hadith Ibnu Majah & Ibnu Hibban)
Erti bumi bergerak dalam hadith di atas ialah gempa bumi sehingga manusia merasakan goncongan pada tanah yang mereka berada di atasnya.
Maksud Allah menenggelamkan manusia ke dalam bumi ialah apabila berlaku gempa bumi berlaku geseran lapisan bawah tanah hingga tanah bahagian atas terjatuh ke bahagian bawah membawa bersama manusia dan rumah kediaman.
Soal :
Selalu kita lihat bencana yang berlaku adalah dalam keadaan tiba-tiba dan tidak disedari langsung olih manusia. Dan banyak juga kita lihat berlaku bencana ketika penduduk tempat tersebut sedang berseronok dan berpesta. Adakah perkara ini sudah diberitahu di dalam Al-Quran.
Jawab :
Perkara ini sudah dinyatakan di dalam Al-Quran.
Firman Allah :
فَلَمَّا نَسُوا مَا ذُكِّرُوا بِهِ فَتَحْنَا عَلَيْهِمْ أَبْوَابَ كُلِّ شَيْءٍ حَتَّى إِذَا فَرِحُوا بِمَا أُوتُوا أَخَذْنَاهُمْ بَغْتَةً فَإِذَا هُمْ مُبْلِسُونَ
”Maka tatkala mereka sudah lupa dengan apa yang telah Kami ingatkan dengannya lalu Kami bukakan bagi mereka segala pintu kemewahan dan kesenangan sehingga apabila mereka sedang asyik berseronok 
dengan segala keemewahan yang mereka dapat lalu Kami timpakan ke atas mereka bencana dalam keadaan mengejut. Lalu mereka jadi terpinga-pinga tanpa mendapat pertolongan.” (Surah al-An’am: 44)
Soal : 
Apabila Allah menurunkan bencana dan musibah ke atas sebuah negeri maka kita dapat lihat bukan sahaja pelaku maksiat yang menjadi korban, orang-orang yang baik yang tidak melakukan maksiat juga turut menjadi mangsa. Kenapakah berlaku sedimikian?
Jawab :
Allah hanya akan menurunkan musibah seperti bencana alam dan malapetaka besar hanya apabila maksiat dan kemungkaran telah berlaku dengan terang-terangan dan orang-orang yang baik tidak mencegah maksiat dan kemungkaran tersebut.
Aisyah r.a. pernah bertanya kepada Rasulullah saw dengan katanya :
 يا رسول الله أنهلك وفينا الصالحون؟ قال: نعم إذا ظهر الخبث
“Wahai Rasulullah! Adakah Allah akan membinasakan kita semua sedangkan dikalangan kita terdapat orang-orang yang baik? Rasulullah saw menjawab : Ya apabila telah terang-terangan dikerjakan kemungkaran.”(Hadith Turmizi)
Dan Rasulullah saw bersabda :
مَا مِنْ قَوْمٍ يُعْمَلُ فِيهِمْ بِالْمَعَاصِي، ثُمَّ يَقْدِرُونَ عَلَى أَنْ يُغَيِّرُوا، ثُمَّ لَا يُغَيِّرُوا، إِلَّا يُوشِكُ أَنْ يَعُمَّهُمُ اللَّهُ مِنْهُ بِعِقَابٍ
“Tidak ada satu kaum yang berlaku maksiat dikalangan mereka dan mereka tidak mencegah kemungkaran tersebut pada hal mereka mampu mencegahnya maka Allah akan meratakan siksanya ke atas mereka semua.” (Hadith Abu Daud)
Wallahua’lam

+ Ustaz Azhar Idrus (Original)

Comments

Lagi dalam kategori Umum

Ke Atas