Connect with us

Menuntut Ilmu Agama Mendapat Pahala Haji

Umum

Menuntut Ilmu Agama Mendapat Pahala Haji

Soalan:
Apakah sahih ganjaran bagi seseorang yang pergi menuntut ilmu sama seperti menunaikan haji?

Jawapan:
Menuntut ilmu merupakan kewajipan dan tuntutan terhadap setiap insan. Ini kerana, ilmu merupakan kayu ukur dalam kehidupan kita dalam menentukan sama ada perkara yang kita lakukan itu benar ataupun tidak sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah SWT dan Rasulullah SAW. Selain itu, Allah SWT juga akan mengangkat orang-orang yang berilmu dengan beberapa darjat berdasarkan firman-Nya:

يَرْفَعِ اللَّـهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ
“Supaya Allah SWT meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan Agama (daripada kalangan kamu) dengan beberapa darjat.” (Al-Mujadalah: 11)

Melihat kepada firman Allah SWT ini, akan diangkat orang yang beriman daripada kalangan orang yang tidak beriman dan orang yang alim daripada kalangan orang yang bukan alim. Telah berkata Ibn Mas’ud RA bahawa Allah SWT telah memuji ulama di dalam ayat ini, iaitu Allah SWT mengangkat orang-orang beriman yang diberi ilmu di atas orang-orang beriman yang tidak diberikan ilmu dengan beberapa darjat. [Lihat: Tafsir al-Qurthubi, 17/299]

Berdasarkan kepada soalan di atas, kami nyatakan bahawa memang terdapat hadith yang menyatakan bahawa ganjaran orang yang keluar ke masjid dengan tujuan untuk mencari atau mempelajari sesuatu kebaikan maka Allah SWT akan memberikan ganjaran seperti menunaikan haji dengan sempurna. Hadith yang dimaksudkan adalah seperti di bawah:

Daripada Abi Umamah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ غَدَا إِلَى الْمَسْجِدِ لَا يُرِيدُ إِلَّا أَنْ يَتَعَلَّمَ خَيْرًا أَوْ يَعْلَمَهُ، كَانَ لَهُ كَأَجْرِ حَاجٍّ تَامًّا حِجَّتُهُ
“Barangsiapa yang pergi ke masjid dengan tujuan untuk mempelajari sesuatu kebaikan atau mengajarkannya, maka baginya pahala seperti orang yang menunaikan haji dengan sempurna.” [Riwayat al-Thabarani di dalam al-Mu’jam al-Kabir (7473)]

Hukum Hadith

Di antara ulama yang menilai status hadith ini ialah:

  • Imam al-Munziri (656 H) mengatakan bahawa Imam al-Thabarani meriwayatkan hadith ini dengan sanad yang tidak mengapa (sanad yang baik). [Lihat: al-Targhib wa al-Tarhib, 59/1]
  • Imam al-Dhimyathi (705 H) juga menyatakan sanad hadith ini tidak mengapa. [Lihat: al-Muttajir al-Rabih, 22]
  • Imam al-Iraqi (806 H) menilai sanad hadith ini adalah baik. [Lihat: al-Mughni, 1740/1]
  • Imam al-Haithami (807 H) mengatakan bahawa perawi-perawi hadith ini adalah dipercayai. [Lihat: Majma’ al-Zawaid, 245/2]

Melihat kepada beberapa penilaian para ulama di atas, kami nyatakan bahawa hadith ini adalah sahih. Tambahan pula, Imam al-Hakim (405 H) turut meriwayatkan hadith ini dengan sanadnya berbeza di dalam kitabnya dan ia boleh menjadi sokongan kepada hadith di atas:

مَنْ غَدَا إِلَى الْمَسْجِدِ لَا يُرِيدُ إِلَّا لِيَتَعَلَّمَ خَيْرًا أَوْ يَعْلَمَهُ كَانَ لَهُ أَجْرُ مُعْتَمِرٍ تَامِّ الْعُمْرَةِ، فَمَنْ رَاحَ إِلَى الْمَسْجِدِ لَا يُرِيدُ إِلَّا لِيَتَعَلَّمَ خَيْرًا أَوْ يُعَلِّمَهُ فَلَهُ أَجْرُ حَاجٍّ تَامِّ الْحِجَّةِ
“Barangsiapa yang pergi ke masjid dengan tujuan untuk mempelajari sesuatu kebaikan atau mengajarkannya, maka baginya pahala seperti orang yang menunaikan umrah dengan sempurna dan barangsiapa yang pulang ke masjid dengan tujuan untuk mempelajari sesuatu kebaikan atau mengajarkannya, maka baginya pahala seperti orang yang menunaikan haji dengan sempurna.” [Riwayat al-Hakim (311), Imam al-Zahabi menyatakan hadith ini menepati syarat Imam al-Bukhari]

Penutup

Kesimpulannya, memang terdapat hadith yang sahih menyatakan berkaitan kelebihan atau ganjaran haji bagi orang yang keluar mencari dan menuntut ilmu. Sifat inilah yang sepatutnya dicontohi oleh setiap insan iaitu cintakan ilmu. Selain itu juga, di antara perkara yang penting dalam menuntut ilmu ini adalah sentiasa membetulkan niat supaya tujuannya bukanlah untuk dikenali atau dikatakan bahawa dia adalah yang paling alim berbanding orang-orang lain. Sekali lagi, suka bagi kami untuk menegaskan bahawa hadith berkaitan menuntut ilmu ini adalah sahih. Namun, ia perlu difahami bahawa ganjaran pahalanya adalah seperti menunaikan haji dan ia sama sekali tidak menggugurkan kefardhuan haji ke atas seseorang itu. Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita ilmu-ilmu yang bermanfaat dan memberi kita kefahaman dalam agama ini agar kita dapat sampaikannya kepada orang lain. Amin.

Wallahua’lam.

+ Mufti Wilayah Persekutuan

Penulis sepenuh masa di Oh! Media. Mencipta Oh! Media sejak dari dalam perut mak lagi. Hi Awak!

Comments

Lagi dalam kategori Umum

To Top