Connect with us

Oh! Media

Memuliakan Para Sahabat Rasulullah SAW

Umum

Memuliakan Para Sahabat Rasulullah SAW

Marilah kita bersama-sama menghayati akhlak mulia para sahabat Rasulullah SAW dari sudut ketaatan dan kepatuhan untuk menegakkan syiar Islam. Sesungguhnya para sahabat telah melakukan segala pengorbanan dan perbuatan yang terbaik ketika membantu Rasulullah SAW menegakkan agama Allah SWT.

ADVERTISEMENT

Sesungguhnya yang dikatakan sahabat Rasulullah SAW ialah mereka yang hidup sezaman, dapat bertemu atau bersemuka, mendengar suara, mengenali Baginda Rasulullah SAW, beriman dan menjadi rakan seperjuangan Rasulullah SAW walaupun seketika. Para sahabat Rasulullah SAW adalah generasi paling utama dan terbaik kerana mereka berkesempatan mengambil ilmu secara langsung, berdakwah dan berjihad bersama Rasulullah SAW.

Para sahabat Rasulullah SAW telah membuktikan betapa mereka sangat mengasihi, menyayangi dan sentiasa memberikan keutamaan kepada setiap arahan atau permintaan yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW untuk kepentingan Islam. Justeru, para sahabat sentiasa siap sedia untuk melakukan apa sahaja tindakan yang akan diminta oleh Rasulullah SAW untuk menjaga kepentingan Islam. Sifat-sifat mulia ini telah mendapat pujian daripada Allah SWT hinggakan mereka dijamin sebagai ahli syurga.

Firman Allah SWT dalam surah at-Taubah ayat ke-100:

“Dan orang-orang yang terdahulu -yang mula-mula (berhijrah dan memberi bantuan) dari orang-orang “Muhajirin” dan “Ansar”, dan orang-orang yang menurut (jejak langkah) mereka dengan kebaikan (iman dan taat), Allah redha akan mereka dan mereka pula redha akan Dia, serta ia menyediakan untuk mereka syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; itulah kemenangan yang besar.”

Empat sahabat Rasulullah SAW yang boleh dicontohi oleh umat Islam adalah seperti berikut:

  1. Sayyidina Abu Bakar al-Siddiq Radhiallahu Anhu berkata: “Sekiranya aku di jalan yang betul, berilah bantuan, sekiranya aku menyimpang, tegurlah aku!”
  2. Sayyidina Umar al-Khattab Radhiallahu Anhu berkata: “Kitab suci al-Quran adalah panduanku dan aku akan mengikuti jejak langkah yang dilalui oleh Rasulullah SAW dan Abu Bakar Radhiallahu Anhu.”
  3. Sayyidina Uthman bin Affan Radhiallahu Anhu menyatakan: “Di akhirat, seksaan pedih bagi mereka yang mengingkari Allah dan keampunan serta keredaan dari Allah bagi mereka yang mentaati perintah Allah.”
  4. Sayyidina Ali Karramallahu Wajhah menyatakan: “Seseorang Islam yang sejati seharusnyalah merupakan seorang Islam yang menggunakan lidah dan anggotanya untuk menegakkan kebenaran.”

Oleh itu, kita sebagai umat Islam perlulah mencontohi perjuangan, pengorbanan, dakwah dan jihad yang telah dipelopori oleh para sahabat dalam menegakkan syiar Islam.

Sesungguhnya, kita juga dididik supaya tidak mencela atau mencerca para sahabat Rasulullah SAW kerana mereka amat mulia dan jujur dalam melakukan setiap amalan. Oleh yang demikian, janganlah sekali-kali kita menghina para sahabat Rasulullah SAW dengan apa cara sekalipun.

Hadis daripada Abi Said al-Khudri Radhiallahu Anhu beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Janganlah kamu mencaci para sahabatku! Kalaulah seseorang dari kamu mendermakan emas sebesar gunung Uhud sekalipun, nescaya tidak akan dapat menyamai secupak mahupun setengah (separuh) yang didermakan oleh para sahabat.” (Riwayat al-Bukhari)

Mencintai sahabat Rasulullah SAW adalah tanda keimanan kepada Allah SWT. Sebaliknya perbuatan menghina, mencaci malah mengkafirkan para sahabat Rasulullah SAW adalah dilarang sama sekali kerana ia boleh menafikan keimanan seseorang bahkan yang berlawanan dengan hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh al-Barra’ bin Azib yang bermaksud:

“Tidaklah mencintai kaum Ansar kecuali orang yang beriman. Dan tidaklah membenci mereka kecuali orang munafik. Barangsiapa mencintai mereka nescaya Allah mencintainya. Barangsiapa membencinya, nescaya Allah membencinya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Firman Allah SWT:

“Dan orang-orang (Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka, dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang telah diberi kepada orang-orang yang berhijrah itu; dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan amat berhajat. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya.” (Al-Hasyr: 9)

Oleh: Jabatan Agama Islam Selangor
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media

Oh! Makan


Comments

Lagi dalam kategori Umum

Ke Atas