Connect with us

Oh! Media

Membina Kubur Bertingkat

Umum

Membina Kubur Bertingkat

Soalan:
Apa hukum membina kubur bertingkat?

ADVERTISEMENT

Jawapan:
Firman Allah SWT:

ثُمَّ أَمَاتَهُ فَأَقْبَرَهُ
“Kemudian dimatikannya, lalu diperintahkan supaya ia dikuburkan;” (Surah ‘Abasa: 21)

Al-Imam al-Qurtubi dalam menafsirkan ayat ini berkata: “Allah menjadikan untuk manusia itu kubur yang menutupi mayatnya sebagai satu kemuliaan baginya, kalau mayat itu dibiar maka ia akan menjelekkan dan dimakan oleh haiwan, ayat ini juga memberi maksud bahawa Allah mengarahkan supaya mayat manusia itu ditanam dan tidak dibakar selepas kematiannya.
(Lihat AI-Jami’ Li Ahkam al-Quran, 19/219)

Difahami dari ayat ini bahawa menanam mayat manusia itu adalah sunnah Allah pada makhluknya, oleh itu mayat manusia tidak boleh dibuang sewenangnya di atas muka bumi seperti binatang atau dibakar sebagaimana yang berlaku. Ini adalah kemuliaan Allah SWT terhadap manusia.

Berkenaan dengan isu kubur bertingkat, kami mulakan perbahasan seperti berikut:

Bentuk kubur bertingkat

Fatwa yang kedua dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor yang diwartakan pada 7 Oktober 2004. Antara maklumat fatwa tersebut menyebut: “Tanah perkuburan yang sudah penuh dan tiada kawasan lapang sebagai menambah keluasan tanah perkuburan, maka adalah disarankan bahawa menggunakan semula tanah perkuburan Iama dengan cara/kaedah: Menimbun tanah di atas kubur lama di kawasan tanah perkuburan setinggi 4 kaki. Kaedah ini amat sesuai di tanah perkuburan yang rendah.”

Kami dapati di sebahagian tempat meletakkan mayat dalam bentuk disorong ke dalam tanah. Ini juga ada yang melakukannya. Walaupun begitu, kami bersetuju dengan fatwa Negeri Selangor ini.

Negara yang melaksanakan pembinaan kubur bertingkat

Antara negara yang melaksanakan pembinaan kubur bertingkat ialah Mesir, Singapura dan mungkin beberapa negara lain.

Fatwa Ulama

Antara badan fatwa dan tokoh yang mengemukakan pandangannya ialah:

Pertama: Lajnah Fatwa Dar al-Ifta’ al-Misriyyah menyebut: “Dalam ketetapan agama, setiap mayat wajib dikuburkan dalam lubang tersendiri, baik lahad ataupun syaq, tidak digabung dengan mayat lain, kecuali jika tanah perkuburan telah menjadi sempit. Dalam riwayat yang sahih, telah disebutkan bahawa Nabi SAW pernah mengumpulkan dua atau tiga orang syuhada’ perang Uhud dalam satu lubang, dan harus (wajib) dipisahkan antara lubang kubur untuk mayat lelaki dan lubang kubur untuk mayat perempuan. Dengan demikian, berdasarkan pernyataan di atas, jika keadaan darurat menuntut dikebumikan lebih dan satu mayat dalam satu lubang kubur, maka dibolehkan membuat tingkat-tingkat dalam satu lubang. Sehinggalah hal itu dapat membantu menampung jumlah mayat yang terus bertambah.”

Kedua: Sheikh Prof Dr. Hamid Abu Talib, Dekan Kuliyyah Syariah Universiti Al-Azhar ketika disoal berkaitan isu ini telah menjawab, dalam keadaan darurat contohnya kepadatan penduduk dan tanah yang terhad, secara dasarnya pembinaan kubur secara bertingkat adalah harus.

Muzakarah Fatwa Kebangsaan

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali ke-92 yang bersidang pada 15-17 Disember 2010 telah membincangkan isu ini dan memutuskan seperti berikut:

Setelah mendengar taklimat, pandangan dan hujah yang dikemukakan oleh pihak Jabatan Perancangan Bandar dan Desa, muzakarah berpandangan bahawa ia diharuskan dan tidak bertentangan dengan syarak, namun dengan syarat berada dalam keadaan darurat seperti:

  • Kepadatan penduduk.
  • Lokasi tanah perkuburan yang terhad.

Sehubungan itu, muzakarah bersetuju dan memutuskan bahawa berdasarkan prinsip hukum Islam, pembinaan kubur secara bertingkat harus dilaksanakan sekiranya keperluan amat mendesak bagi mengatasi kekurangan tanah perkuburan orang Islam pada hari ini.

Walaubagaimanapun, kajian terhadap modul-modul pelaksanaannya perlu diteliti secara menyeluruh dengan mengambil contoh di beberapa buah negara luar yang telah melaksanakannya di samping mengambil kira aspek penjimatan kos dan seumpamanya.

Pendapat Kami

Setelah melihat situasi yang berlaku di Malaysia, kami bahagikan kepada dua keadaan:

Pertama: Di kampung dan desa serta pedalaman. Keadaan tanah yang luas dan banyak wakafan untuk kubur, maka keperluan untuk membina kubur bertingkat adalah masih lagi tidak menepatinya. Cumanya kami berpendapat, walaupun tanah kubur begitu luas, tetapi amat wajar pengurusan kubur mula menyusun atur dan menjimatkan semaksimum mungkin tanah perkuburan kerana keadaan mutaakhir ini amat berbeza dengan suasana pada masa dahulu. Begitu juga keperluan untuk mengurus perkuburan dengan sebaik mugkin adalah amat perlu agar semaksimum mungkin orang yang mati boleh dikebumikan di perkuburan tersebut.

Pembersihan kubur dan penyusunan yang rapi amat penting agar memberi kemudahan kepada penziarah kubur serta rasa selesa untuk mengambil iktibar di samping mengambil pengajaran dan berdoa untuk si mati.

Kedua: Di bandar-bandar utama seperti Kuala Lumpur di mana dek kerana pembangunan yang amat pesat serta cepat menyebabkan tanah perkuburan terhad sedangkan jumlah kematian dari semasa ke semasa meningkat yang memerlukan tanah kubur. Ini dapat diperhatikan di banyak tanah perkuburan di sekitar Kuala Lumpur.

Justeru, kami berpendapat hukum pembinaan kubur bertingkat adalah harus dan dibolehkan. Kami juga berpendapat yang sudah sampai masanya pihak Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (JAWI) dan juga Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) bekerjasama untuk melaksanakan perkuburan bertingkat bagi memaksimumkan penggunaan tanah kubur agar isu mengebumikan jenazah bukanlah suatu hal yang sukar dan tiada tempat untuknya. Ini merupakan fardu kifayah dalam mengebumikan jenazah mengikut hukum Syariat yang sebenar.

Semoga isu ketidakcukupan tanah kubur di bandar-bandar utama dapat diselesaikan dengan cara pembinaan kubur bertingkat.

Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri
+ Mufti Wilayah Persekutuan

Comments

Lagi dalam kategori Umum

Ke Atas