Connect with us

Oh! Media

Memahami Pahala Dan Dosa

Umum

Memahami Pahala Dan Dosa

Sebagai seorang Muslim, kita dituntut untuk yakin dan beriman dengan hari akhirat yang padanya ada pengadilan dan pembalasan. Kita perlu yakin dan percaya bahawa setiap amal perbuatan di dunia ini ada perkiraan pahala dan dosa yang akan menerima balasan seadil-adilnya. Ini adalah untuk menguji siapakah yang terbaik amalannya. Inilah tujuan kehidupan manusia di dunia, lalu dimatikan oleh Allah SWT dan kemudiannya dihidupkan semula dengan kehidupan yang kekal abadi di akhirat kelak. Hakikat ini dijelaskan oleh Allah SWT dalam surah Al-Mulk ayat 2:

ADVERTISEMENT

“Dia lah Yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu; siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat).”

Sesungguhnya amalan seseorang itu adalah sebagai gambaran yang dapat memperlihatkan tahap sebenar kehambaan manusia di sisi Tuhannya sama ada seseoang itu melakukan kebaikan lalu mendapat pahala, atau seseorang itu melakukan kejahatan dan mendapat dosa.

Untuk memahami berkaitan pahala dan dosa, marilah kita meneliti hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: “Sesiapa yang berniat untuk melakukan sesuatu kebaikan namun dia tidak sempat melakukannya, ditulis juga untuknya satu kebaikan. Sesiapa yang berniat melakukan kebaikan lalu dia melakukannya, dituliskan untuknya sepuluh kebaikan sehingga tujuh ratus gandaan. Sebaliknya sesiapa yang berniat melakukan kejahatan namun dia tidak melakukannya, tidak akan ditulis sebarang kejahatan untuknya, jika dia melakukannya barulah ditulis (satu kejahatan untuknya).” (Riwayat Muslim)

Lihatlah, betapa luasnya rahmat Allah SWT kepada umat Nabi Muhammad SAW. Berniat melakukan kebaikan pun sudah diberi pahala sepenuhnya. Sekiranya berjaya melakukannya akan diberi ganjaran sepuluh kali ganda dan boleh mencapai tujuh ratus kali gandaan pahala. Sebaliknya, kejahatan yang baru diniatkan, tidak dicatatkan sebagai dosa, tetapi apabila benar-benar ia melakukan kejahatan barulah dicatat sebagai satu dosa. Bahawa sesungguhnya Allah SWT Maha Pengasih terhadap hamba-hamba-Nya kerana perkiraan pahala bermula dengan niat, berbeza dengan dosa yang bermula dengan perbuatan.

Persoalannya, mengapa masih ramai yang gagal menghargai semua rahmat dan kurniaan Allah ini? Sudah tentu ianya adalah berpunca daripada kekurangan iman dan gagal memahami apakah hakikat sebenar pahala dan dosa di dalam kehidupan mereka di dunia. Perlu diingat dan diberi perhatian bahawa iman yang sempurna hendaklah di sertai dengan amalan dan bukan sekadar niat dan angan-angan sahaja, tetapi juga memerlukan niat dan amalan.

Al-Quran jelas menyatakan bahawa umat Islam hendaklah melakukan sebanyak mungkin kebaikan kerana ia boleh menghapus dosa-dosa kecil yang kita lakukan. Ini bererti amal kebaikan akan menyelamatkan seseorang daripada azab dan seksaan Allah SWT.

Firman Allah SWT dalam surah Hud ayat 114:

“Sesungguhnya amal-amal kebajikan (terutama solat) itu menghapuskan kejahatan. Perintah-perintah Allah yang demikian adalah menjadi peringatan bagi orang-orang yang mahu beringat.”

Adapun perlakuan dosa pula adalah sesuatu yang akan mengundang malapetaka dan kemurkaan Allah SWT seperti dalam firman Allah SWT dalam surah Al-Ankabut ayat 40 mengingatkan kita tentang ancaman ini:

“Maka masing-masing Kami binasakan dengan sebab dosanya, iaitu di antaranya ada yang Kami hantarkan angin ribut menghujaninya dengan batu; dan ada yang dibinasakan dengan letusan suara yang menggempakan bumi; dan ada yang Kami timbuskan dia di bumi; dan ada pula yang Kami tenggelamkan di laut. Dan (ingatlah) Allah tidak sekali-kali menganiaya mereka, akan tetapi merekalah yang menganiayai diri mereka sendiri.”

Justeru, bencana yang menimpa umat manusia sejak dahulu lagi adalah peringatan daripada Allah yang berpunca daripada dosa-dosa dan keingkaran manusia terhadap Allah SWT. Dosa juga akan mengganggu ketenangan jiwa kita kerana jiwa akan resah dan gelisah dengan bebanan dosa.

Hadis daripada Nawwas bin Sim’aan Al-Ansari R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: “Kebajikan adalah akhlak yang mulia dan adapun dosa iaitu apa yang engkau gelisahkan dihatimu dan engkau tidak suka kalau ada orang yang mengetahuinya.” (Riwayat Muslim)

Firman Allah SWT:

“Jika kamu menjauhkan dosa-dosa besar Yang dilarang kamu melakukannya, Kami akan ampunkan kesalahan-kesalahan (dosa kecil) kamu, dan Kami akan masukkan kamu ke tempat Yang mulia (syurga).” (An-Nisa’: 31)

Oleh: Jabatan Agama Islam Selangor
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media

Oh! Makan


Comments

Lagi dalam kategori Umum

Ke Atas