Connect with us

Oh! Media

Memadaikah Garisan Saf Sebagai Sutrah?

Umum

Memadaikah Garisan Saf Sebagai Sutrah?

SOALAN:
Adakah memadai hujung sejadah atau garisan saf dijadikan sutrah bagi mencegah orang lain melintas di hadapan orang yang sedang solat?

ADVERTISEMENT

JAWAPAN:
Sutrah dari segi bahasa bahawa bermaksud apa sahaja yang dapat menghalangi. (Lihat al-Qamus al-Muhith).

Dalam istilah ilmu fiqh, sutrah bermaksud segala sesuatu yang tertegak di hadapan orang yang sedang solat. Ia sama ada dalam bentuk tongkat, tanah yang disusun, atau yang sepertinya bagi mencegah orang melintas di hadapannya. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 3/176-177)

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Sa’id al-Khudri R.A, Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا صَلَّى أَحَدُكُمْ فَلْيُصَلِّ إِلَى سُتْرَةٍ ، وَلْيَدْنُ مِنْهَا ، وَلَا يَدَعْ أَحَدًا يَمُرُّ بَيْنَ يَدَيْهِ ، فَإِنْ جَاءَ أَحَدٌ يَمُرُّ ، فَلْيُقَاتِلْهُ ، فَإِنَّهُ شَيْطَانٌ
“Apabila salah seorang daripada kamu mendirikan solat. Hendaklah dia solat ke arah sutrah, dan mendekatkan dirinya kepada sutrah tersebut. Janganlah dia biarkan seorang pun melintasi di hadapannya. Seandainya ada datang seseorang melintasi di hadapannya, hendaklah dia memerangi orang tersebut. Sesungguhnya dia adalah syaitan.” [Riwayat Ibn Majah (1007)]

Disebut di dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji (1/392-393): “Antara sunat-sunat sebelum bersolat adalah menjadikan sesuatu sebagai sekatan (سترَةٌ) di hadapannya. Ia adalah sebagai tanda pemisah di antara orang yang bersolat dengan orang yang lalu-lalang di hadapannya, seperti dinding, tiang, tongkat atau menghamparkan sejadah dan sebagainya. Jika tidak didapati apa-apa pun buatlah tanda garisan sahaja.”

Hal ini berdasarkan hadith daripada Ibn Umar RA, katanya:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ إِذَا خَرَجَ يَوْمَ الْعِيدِ أَمَرَ بِالْحَرْبَةِ فَتُوضَعُ بَيْنَ يَدَيْهِ، فَيُصَلِّى إِلَيْهَا وَالنَّاسُ وَرَاءَهُ، وَكَانَ يَفْعَلُ ذَلِكَ فِى السَّفَرِ
“Rasulullah SAW apabila pergi menunaikan solat hari raya, Baginda meminta sebatang tombak pendek (حَربَةٌ) diletakkan di hadapannya, lalu Baginda menghadapnya manakala orang ramai pula di belakang Baginda ketika bermusafir.” [Riwayat al-Bukhari (472) dan Muslim (501)]

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا صَلَّى أَحَدُكُمْ فَلْيَجْعَلْ تِلْقَاءَ وَجْهِهِ شَيْئًا فَإِنْ لَمْ يَجِدْ فَلْيَنْصِبْ عَصًا فَإِنْ لَمْ يَكُنْ مَعَهُ عَصًا فَلْيَخْطُطْ خَطًّا ثُمَّ لاَ يَضُرُّهُ مَا مَرَّ أَمَامَهُ
“Apabila salah seorang dari kamu mendirikan solat, hendaklah dia menghadap ke arah sesuatu. Jika tiada, hendaklah dia memacakkan tongkat, jika tidak ada tongkat, hendaklah dia melukis garis. Maka tidak memudharatkannya apa-apa yang lalu di hadapan tongkat tersebut.” [Riwayat Abu Daud (689). Imam al-Nawawi menyatakan bahawa al-Baghawi dan lain-lain ulama hadis menyatakan hadis ini lemah]

Di dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah dinyatakan: “Para ulama’ dari kalangan Hanafiyah dan Syafi’iyah mengqiyaskan garisan dengan tempat solat seperti hamparan sejadah. Al-Tahtawi menyebut: Ini qiyas yang lebih utama kerana al-mushalla (tempat pijak semasa solat; hamparan sejadah) lebih dapat mencegah orang melintas berbanding sekadar garis.

Oleh itu, para ulama’ Syafi’iyyah lebih mengutamakan hamparan sejadah daripada sekadar garis. Mereka menyebut: (Hamparan sejadah) lebih didahulukan daripada garis kerana ia lebih menepati maksud (sutrah).” (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 24/180; Lihat juga Hasyiyah al-Tahtawi ‘ala Maraqi al-Falah, hlm. 101 dan Mughni al-Muhtaj, 1/200)

Imam Nawawi menyebut: “Menurut majoriti ashabnya (al-Syafi’i), sutrah adalah sunat. Dan hadis tentang setinggi pelana kuda itu tidak menunjukkan kesalahan dengan membuat garisan.”

Beliau turut menyatakan: “Sunat bagi orang yang solat untuk membuat sutrah di hadapannya berupa dinding atau tiang dan mendekatinya, dengan keadaan antara keduanya tidak melebihi tiga hasta. Jika solat di gurun hendaknya memacakkan tongkat dan yang seumpamanya, atau dengan mengumpulkan sesuatu dari tunggangannya atau perhiasannya, hingga menjadi seukuran pelana kuda.

Jika tidak menemui sesuatu barang untuk sutrah, maka buatlah garis di hadapannya, atau hamparan tempat solat. Berkata Imam al-Haramain dan al-Ghazali, tidak ada ‘ibrah dengan membuat garis (maksudnya tidak boleh). Namun yang benar adalah, apa yang ditetapkan oleh jumhur, bahawa sudah mencukupi dengan garis sebagaimana jika dia berada di hadapan satu barang.” (Lihat Raudhah al-Thalibin, 1/108)

Kesimpulan

Berdasarkan kepada nas-nas di atas, maka jelaslah kepada kita bahawa boleh dibuat garisan sebagai batas sempadan sutrah untuk solat. Kenyataan Rasulullah SAW “فَإِنْ لَمْ يَكُنْ مَعَهُ عَصًا فَلْيَخْطُطْ خَطًّا ثُمَّ لاَ يَضُرُّهُ مَا مَرَّ أَمَامَهُ” jelas menunjukkan, pertama hendaklah digunakan tongkat atau apa-apa yang boleh ditegakkan di hadapan. Tetapi apabila tiada, maka hendaklah dia membuat garisan. Ini menjadi jawapan kepada persoalan yang ditanyakan di atas.

Semoga Allah memberikan kefahaman kepada kita semua dan menjadikan daripada golongan yang mendirikan solat.

Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca Di Facebook Oh! Media


Oh! Youtube


Comments

Lagi dalam kategori Umum

Ke Atas