Connect with us

Oh! Media

Manusia Pertama Dibangkitkan Dari Kubur

Umum

Manusia Pertama Dibangkitkan Dari Kubur

ADVERTISEMENT
Soalan:
Benarkah Nabi SAW orang pertama yang dibangkitkan di akhirat?
Jawapan :
Telah menjadi satu kewajipan atau salah satu rukun di dalam rukun-rukun iman adalah beriman kepada hari Akhirat dan  rukun ini juga menjadi salah satu asas utama atau tunjang di dalam aqidah Islam. Ini kerana. Terdapat golongan-golongan atau aliran-aliran yang menolak hari Akhirat ini. Selain itu juga, antara nama lain bagi  hari Akhirat ini adalah hari Kebangkitan sebagaimana yang difirman oleh Allah SWT di dalam kitab-Nya:
ثُمَّ إِنَّكُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ تُبْعَثُونَ
“Kemudian sesungguhnya kamu akan dibangkitkan hidup semula pada hari kiamat.” (Al-Mu’minun:16)
Berdasarkan persoalan di atas, terdapat sebuah hadith yang menyatakan berkaitan hal sedemikian, antaranya:
Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
أَنَا سَيِّدُ وَلَدِ آدَمَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ، وَأَوَّلُ مَنْ يَنْشَقُّ عَنْهُ الْقَبْرُ، وَأَوَّلُ شَافِعٍ وَأَوَّلُ مُشَفَّعٍ
“Aku adalah pemimpin anak Adam pada hari Kiamat. Aku adalah orang yang pertama akan dibangkitkan daripada kubur. Aku adalah orang pertama yang akan memberi syafaat dan dibenarkan memberi syafaat.” [Riwayat Muslim (2278)]
Imam al-Nawawi mengatakan hadith ini menunjukkan bahawa kelebihan atau kemuliaan Nabi SAW berbanding makhluk-makhluk yang lain. Ini kerana, mengikut mazhab ahli sunnah anak-anak Adam lebih mulia daripada malaikat dan Nabi SAW adalah yang paling mulia di antara anak-anak Adam yang lain dan juga selain daripada anak Adam. [Lihat: al-Minhaj: 38/15]
Penutup
Kesimpulannya, Nabi SAW merupakan insan yang paling mulia di antara semua makhluk dan kerana itulah Nabi SAW diberikan keistimewaan untuk memberi syafaat kepada umatnya di Akhirat kelak. Akhirnya, semoga Allah SWT menjadikan kita orang yang cintakan ilmu serta memberi kita kefahaman di dalam agama ini dan mengurniakan kita syafaat Nabi SAW di Akhirat kelak. Amin.
Wallahua’lam.

+ Mufti Wilayah Persekutuan

Comments

Lagi dalam kategori Umum

Ke Atas