Connect with us

Oh! Media

Manusia Diseru Pada Hari Kiamat Dengan Nama Ayah Atau Ibunya

Umum

Manusia Diseru Pada Hari Kiamat Dengan Nama Ayah Atau Ibunya

SOALAN:
Adakah pada hari Kiamat nanti Allah SWT akan memanggil nama kita dengan nama ibu seperti dalam bacaan talqin yang dilakukan di perkuburan atau di seru dengan nama ayah kita. Mohon pencerahan. Terima kasih.

ADVERTISEMENT

JAWAPAN:
Hari Kiamat merupakan hari yang dihimpunkan segala makhluk untuk dihitung segala amalan yang dikerjakan di dunia. Pada hari itu juga akan diberi segala balasan dan ganjaran oleh Allah SWT Tuhan semesta alam. Firman Allah SWT:

يَوْمَ يَجْمَعُكُمْ لِيَوْمِ الْجَمْعِ ۖ ذَٰلِكَ يَوْمُ التَّغَابُنِ ۗ وَمَن يُؤْمِن بِاللَّـهِ وَيَعْمَلْ صَالِحًا يُكَفِّرْ عَنْهُ سَيِّئَاتِهِ وَيُدْخِلْهُ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا أَبَدًا ۚ ذَٰلِكَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ
“(Ingatkanlah) masa Allah menghimpunkan kamu pada hari perhimpunan (untuk menerima balasan), -itulah hari masing-masing nampak kerugiannya. Dan (ingatlah), sesiapa yang beriman kepada Allah serta mengerjakan amal soleh, nescaya Allah mengampunkan dosa-dosanya dan memasukkannya ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; yang demikian itulah kemenangan yang besar.” (Surah Al-Taghabun: 9)

Di Hari Kiamat Nanti Akan Diseru Dengan Nama Ibu atau Ayahnya

Timbul persoalan disini, apakah pada hari yang dihimpunkan nanti akan dipanggil namanya berserta dengan nama ibu atau ayah? Oleh itu, bagi menjelaskan lebih lanjut di dalam hal ini kami datangkan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Ibnu Umar R.A, sabda Nabi SAW:

إِنَّ الْغَادِرَ يُنْصَبُ لَهُ لِوَاءٌ يَوْمَ الْقِيَامَةِ، فَيُقَالُ هَذِهِ غَدْرَةُ فُلاَنِ بْنِ فُلاَنٍ
Sesungguhnya pengkhianat itu akan dipancang baginya bendera (sebagai balasan di hadapan orang ramai) pada hari Kiamat. Lalu, diseru ke atasnya: “Ini adalah pengkhianatan Fulan bin Fulan.” [Riwayat al-Bukhari (6178)]

Imam Bukhari meletak hadith di atas di bawah tajuk “Adakah manusia diseru pada hari Kiamat dengan nama ayahnya”. Di dalam mensyarahkan hadith ini, Ibnu Battal menyebut di dalam syarahnya, ayat (هَذِهِ غَدْرَةُ فُلاَنِ بْنِ فُلاَنٍ) menyangkal dakwaan bagi mereka yang menyatakan pada hari Kiamat itu diseru manusia dengan nama ibunya. Begitu juga Imam al-Qurtubi menyatakan di dalam kitabnya, bahawa hadith di atas merupakan dalil manusia dipanggil pada hari akhirat dengan namanya serta nama bapanya. (Lihat: Syarah Sahih al-Bukhari li Ibnu Battal, 9/335; al-Tazkirah bi Ahwal al-Mauta wa Umur al-Akhirah, hlm 699)

Imam Badruddin al-A’ini menyebut (هَذِه غدرة فلَان) iaitu dikhususkan dengan namanya dan nama ayahnya. Dinukilkan pandangan Ibnu Battal sesungguhnya apabila diseru dengan nama ayahnya maka ia lebih jelas dan lebih sempurna seruannya. (Lihat: Umdah al-Qari, 22/201)

Selain itu, di dalam hadith yang lain yang diriwayatkan oleh Abu al-Darda’ R.A, Sabda Nabi SAW:

إِنَّكُمْ تُدْعَوْنَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِأَسْمَائِكُمْ وَأَسْمَاءِ آبَائِكُمْ فَأَحْسِنُوا أَسْمَاءَكُمْ
“Sesungguhnya kamu semua akan diseru pada hari Kiamat kelak dengan nama kamu dan nama bapa-bapa kamu. Maka perelokkanlah nama kamu.” [Riwayat Abu Daud (4948)]

Maka dengan ini, ia menggambarkan dalil umum daripada hadith yang dinyatakan di atas bahawa pada hari Kiamat nanti akan diseru nama seseorang itu dengan nama ayahnya.

Selain itu terdapat pandangan yang menyatakan diseru dengan panggilan nama ibunya ketika hari Kiamat, hal ini disandarkan dengan hadith talqin yang disunatkan menyebut nama si mati berserta nama ibunya. Dan sekiranya tidak mengetahui nama ibunya maka ia boleh dinisbahkan kepada Sayyidatina Hawa A.S. (Lihat: Kasyaf al-Qina’, 2/135)

Ini seperti hadith yang diriwayatkan oleh Abu Umamah menyatakan: “Sekiranya aku mati, maka lakukan seperti yang diperintahkan oleh Rasulullah SAW:

إذا مات أحدٌ من إخوانِكم فسوَّيتم التُّرابَ على قبرِه، فليقُمْ أحدُكم على رأسِ قبرِه، ثمَّ ليقُلْ: يا فلانُ بنُ فلانةَ،
Apabila telah mati salah seorang daripada saudara kamu, maka ratakanlah tanah di atas kuburnya. Maka hendaklah salah seorang daripada kamu berdiri di sisi kepala kuburnya, kemudian ucaplah “Wahai Fulan bin Fulanah.” [Riwayat al-Thabrani (7979)]

Imam Ibnu hajar al-Asqalani menyatakan bahawa sanad hadith ini baik dan terdapat syawahid. (Lihat: al- Talkhis al-Habir, 2/311)

Syeikh abu Bakr Usman al-Dimyati menyebut di dalam kitabnya disunatkan melakukan talqin selepas mengkafankan mayat dan perkara ini masyhur, dan panggillah dengan nama ibunya jika mengetahuinya dan apabila tidak mengetahui ibunya, maka panggil dengan nama Sayyidatina Hawa AS. Selain itu, panggilan dengan nama ibu tidak bermakna menafikan panggilan dengan nama bapanya pada hari Kiamat, ini kerana perkara tersebut adalah perkara tauqifi (diwahyukan). (Lihat: I’anah al-Talibin, 2/161)

Kesimpulan

Berdasarkan kepada soalan dan dalil yang diberikan, dapat kami simpulkan bahawa dengan keumuman hadith dan athar yang sahih menyebut bahawa seruan nama seseorang itu pada hari Kiamat adalah dengan nama bapanya bukan nama ibunya. Selain itu, seseorang itu disebut namanya serta ibunya apabila ketika membaca talqin selepas dikebumikannya.

Semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman yang sahih dalam memahami syariat-Nya serta taufiq dan hidayah untuk melaksanakan ibadah ikhlas semata-mata kerana-Nya. Amin.

Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media

Comments

Lagi dalam kategori Umum

Ke Atas