Connect with us

Maksud Luka’ Ibn Luka’ Dalam Hadith

Umum

Maksud Luka’ Ibn Luka’ Dalam Hadith

Soalan:
Apakah yang dimaksudkan dengan perkataan Luka’ Ibn Luka’ di dalam hadith?
Jawapan:
Dalam menjawab persoalan ini, kami datangkan riwayat hadith daripada Huzaifah bin al-Yaman RA, bahawa Nabi SAW bersabda :
لا تقومُ الساعةُ حتى يكونَ أسْعَدَ الناسِ بالدُنيا ، لُكَعُ ابْنُ لُكَعَ  
“Tidak akan berlaku Kiamat sehingga orang yang paling bahagia di dunia ini adalah Luka’ ibn Luka’..”
                                                            
Takhrij al-Hadith :
Riwayat Imam al-Tirmizi di dalam kitab al-Fitan, bab berkaitan tanda-tanda kiamat. No. Hadith : 2130 dan Imam Ahmad di dalam musnad al-Ansar, musnad Huzaifah bin al-Yaman. No. Hadith : 22214. [Hadith ini dinilai hasan oleh Imam al-Tirmizi di dalam jami’nya]
Fiqh al-Hadith :
• Dari sudut bahasa, al-Luka’ membawa dua maksud, yang pertama ialah hina dan yang kedua adalah budak kecil. [Al-Mu’jam al-Wasith, 889]
• Luka’ menurut bangsa Arab ialah budak atau hamba, kemudian perkataan ini digunakan untuk menunjukkan kebodohan dan kehinaan, iaitu orang yang hina dan tercela. Kadang-kadang perkataan Luka’ ini juga digunakan untuk anak kecil. Jika perkataan Luka’ ini digunakan untuk orang dewasa maka yang dimaksud adalah orang yang sedikit ilmunya dan kecil akalnya. [Al-Nihayah Fi Gharib al-Hadith, 4 : 268]
• Berdasarkan hadith ini, Nabi SAW menceritakan kepada kita akan perihal keadaan dunia di akhir zaman yang akan diperintah oleh orang-orang yang keji dan segala urusan dunia akan diserahkan kepada orang-orang yang bodoh. Mereka ini Allah SWT kurniakan kemewahan, kehidupan yang baik dan kuasa sehingga mereka merasakan bahawa mereka adalah orang paling gembira di dunia ini. [Tuhfah al-Ahwazi, 6 : 375]
Akhirnya, semoga Allah SWT jadikan kita golongan yang berilmu, beramal dengan ilmunya dan juga beriman. Dengan itu, kita sentiasa diypayungi dengan taufiq dan hidayah daripada-Nya.
Wallahua’lam.

+ Mufti Wilayah Persekutuan

Penulis sepenuh masa di Oh! Media. Mencipta Oh! Media sejak dari dalam perut mak lagi. Hi Awak!

Comments

Lagi dalam kategori Umum

To Top