Umum
Maksud Dua Solat Yang Sejuk Dalam Hadith
Oleh
SOALAN:
Apakah yang dimaksudkan dengan dua solat sejuk di dalam hadith?
JAWAPAN:
Berdasarkan soalan di atas, hadith yang dimaksudkan itu ada diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari di dalam kitab sahihnya pada bab kelebihan solat Fajar dan juga ia turut diriwayatkan oleh Imam Muslim di dalam sahihnya pada bab kelebihan dua solat iaitu Subuh dan Asar serta kepentingan menjaga keduanya:
Daripada Abu Musa al-Asy’ari R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ صَلَّى البَرْدَيْنِ دَخَلَ الجَنَّةَ
“Barangsiapa yang menunaikan dua solat yang sejuk akan masuk syurga.” [Riwayat al-Bukhari (574) dan Muslim (635)]
Imam Ibn Hajar al-Asqalani (852H) berkata ketika mensyarahkan hadith ini, solat yang dimaksudkan adalah solat Fajar dan Asar. Hal ini dibuktikan degan hadith Jarir R.A:
صَلاَةٍ قَبْلَ طُلُوعِ الشَّمْسِ وَقَبْلَ غُرُوبِهَا
“Solat sebelum terbit dan sebelum terbenamnya matahari.” [Riwayat al-Bukhari (554)]
Tambahan pula, terdapat penambahan di dalam riwayat Imam Muslim bahawa solat yang dimaksudkan adalah Asar dan Subuh. [Lihat: Fath al-Bari, 2/53]
Di samping itu juga, Imam Badr al-Din al-‘Aini (855H) juga menyatakan makna dua solat yang sejuk adalah solat Fajar dan Asar. Beliau turut menukilkan pandangan al-Qurthubi bahawa kebanyakan para ulama’ berkata maksud dua solat sejuk tersebut adalah Fajar dan Asar. Ia dinamakan sedemikian adalah disebabkan ia dilakukan di dalam waktu yang sejuk (tidak panas). Imam al-Khattabi berkata dinamakan dengan dua solat yang sejuk disebabkan ia dilakukan dalam waktu siang yang sejuk. [Lihat: ‘Umdah al-Qari, 5/71]
Selain itu juga, di sana ada dinyatakan ganjaran bagi orang yang memelihara dua solat ini dengan baik iaitu akan diberikan syurga. Imam al-Qurthubi (656H) berkata orang yang menjaga dua solat ini dengan baik sesekali tidak akan dimasukkan ke dalam neraka disebabkan keberkatan yang akan diperolehi apabila mereka berterusan melakukan serta memeliharanya. [Lihat: al-Mufhim, 2/262]
Penutup
Kesimpulannya, hadith berkaitan dua solat yang sejuk adalah hadith muttafaqun ‘alaih iaitu yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim. Adapun maksud dua solat yang sejuk adalah solat Fajar atau Subuh dan Asar. Semoga dengan sedikit pencerahan yang ringkas ini dapat memberi manfaat serta kefahaman kepada kita dalam memahami ilmu hadith. Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita kefahaman di dalam agama seterusnya dapat kita beramal dengannya. Amin.
Wallahua’lam.
Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media
Penjinak sepenuh masa di Oh! Media. Telah mencipta jenama ini sejak dari dalam perut mak lagi | Instagram