Connect with us

Oh! Media

Maksud Al-Ruwaibidhah Dalam Hadith

Umum

Maksud Al-Ruwaibidhah Dalam Hadith

Soalan:
Apakah maksud Ruwaibidhah di dalam hadis Nabi SAW?

ADVERTISEMENT

Jawapan:
Kami mulakan dengan hadith Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

سَيأتي على الناسِ سَنَوَاتٌ خَدَّاعَاتُ ، يُصَدَّقُ فيها الكَاذِبُ ، و يُكَذَّبُ فيها الصَّادِقُ ، و يُؤْتَمَنُ فيها الخَائِنُ ، وَيُخَوَّنُ فيها الأَمِينُ ، ويَنْطِقُ فيها الرُّوَيْبِضَةُ . قيل : وما الرُّوَيْبِضَةُ ؟ قال : الرجلُ التَّافَهُ ، يتكلَّمُ في أَمْرِ العَامَّةِ
“Akan datang kepada manusia tahun-tahun yang penuh dengan penipuan dan tipu daya, kata-kata pendusta dibenarkan (dipercayai) dan didustakan percakapan orang yang benar, diberi amanah kepada pengkhianat dan dikhianati orang-orang yang amanah. Kemudian akan berkata-katalah golongan al-Ruwaibidhah.” Baginda SAW ditanya: “Siapakah golongan al-Ruwaibidhah?” Maka baginda SAW menjawab: “Orang yang bodoh lagi fasik berbicara (mengurus) berkaitan perkara umum yang besar.”


[Riwayat Ibn Majah, kitab al-Fitan, bab zaman yang dahsyat, no. 4026. Imam Ahmad, Sahabat yang banyak meriwayatkan hadith, musnad Abu Hurairah, no. 7571. Al-Hakim, Mustadrak ‘ala al-Sahihayn, (5:659)]

Makna al-Ruwaibidah berdasarkan tafsiran ulama’

Para ulama’ telah menafsirkan beberapa makna bagi al-Ruwaibhidah, antaranya ialah:

  • Al-Ruwaibidhah adalah sighah tasghir bagi Rabidhah (رابضة) dan ta’ marbuthah di akhirnya bagi menunjukkan mubalaghah. Al-Rabidhah ialah seseorang yang lemah dan tenggelam di dalam hal-hal keduniaan dan sentiasa menginginkannya. [Lihat: Hasyiah al-Sindi ‘ala Ibn Majah, 2:494]
  • Riwayat di dalam Musnad Ahmad mengatakan: Orang yang bodoh bercakap perkara umum. [Musnad Ahmad, no. 7912]
  • Riwayat di dalam Syarh Musyhkil al-Athar: Orang yang fasiq bercakap perkara umum. [Syarh Musyhkil al-Athar, no. 13299]
  • Imam al-Syatibi di dalam al-‘Itisham: Orang yang bodoh dan keji bercakap berkaitan perkara umum sedangkan dia bukan ahli dalam perkara tersebut tetapi masih ingin bercakap. [Al-‘Itisham, 3:100]

Fiqh al-Hadith

Antara yang dapat diambil kesimpulannya daripada hadith ini ialah:

  • Baginda Nabi SAW memberi amaran kepada umatnya agar berhati-hati ketika menghadapi hari-hari yang penuh dengan tipu daya dan pada waktu itu, kebenaran dan amanah akan terletak pada orang-orang yang bodoh dan keji lagi fasik. Mereka ini digelar sebagai al-Ruwaibidhah.
  • Nabi SAW menyifatkan al-Ruwaibidhah dengan dua sifat iaitu sebagai orang yang keji atau kurang ilmunya dan dalam masa yang sama bercakap berkaitan perkara-perkara umum yang besar sedangkan dia tidak mempunyai ilmu padanya.

Akhirnya, semoga Allah SWT jadikan kita dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang berilmu, soleh serta sentiasa beramal dengan ilmunya.

Wallahu a’lam.

+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan

Comments

Lagi dalam kategori Umum

Ke Atas