Connect with us

Oh! Media

Makan Rumput dan Kucing Untuk Terus Hidup

Umum

Makan Rumput dan Kucing Untuk Terus Hidup

 
Madaya (Syria): Daun dan rumput kini menjadi makanan harian penduduk Syria di bandar ini bersempadan dengan Lubnan manakala beras kini dijual dalam gram berikutan harganya hampir RM1,000 sekilogram, malah ada penduduk yang memakan haiwan peliharaan untuk meneruskan kehidupan.

ADVERTISEMENT

Pekerja sosial dari Madaya, Louay melalui temuramah telefon dengan Guardian berkata: “Orang ramai sedang mati perlahan-lahan.”

Dalam suara lemah akibat kelaparan sejak beberapa bulan lalu, Luoay berkata: “Di rumah kami ada pokok bunga dalam pasu dan semalam, kami memetik putiknya untuk dimakan. Rasanya pahit.”

Lelaki itu mengirimkan gambar mayat beberapa lelaki tua yang mati akibat kelaparan.

Aktivis lain di bandar itu juga mengirimkan gambar kanak-kanak yang kelaparan, termasuk seorang ditolak dalam kereta sorong kerana terlalu lemah untuk berjalan.

Menurut aktivis, kanak-kanak mengutip apa saja tumbuhan di kawasan dipenuhi periuk api dan ada yang kehilangan anggota badan.

Dianggarkan sehingga 30,000 orang terperangkap di Madaya sejak Julai, akibat serangan tentera pro-kerajaan yang mengepung wilayah berkenaan dan Zabadani yang pernah menjadi kubu kuat pemberontak sejak enam bulan lalu.

Setakat ini, perjanjian damai hanya membolehkan mereka yang cedera dikeluarkan dari wilayah itu namun bekalan makanan dan perubatan gagal dibawa masuk.

“Saya bersumpah dengan nama Tuhan saya cuba membeli makanan hari ini tetapi harga sekilogram beras ialah 100,000 [Syrian] paun,” kata Louay.

Menurutnya, harga beras di pasaran gelap hampir RM1,000.

“Saya melihat sendiri penduduk menyembelih kucing untuk dimakan dan pokok tidak berdaun kerana dipetik mereka,” kata Louay. – Dawn/The Guardian

Comments

Lagi dalam kategori Umum

Ke Atas