Connect with us

Oh! Media

Larangan Mandi Pada Waktu Malam?

Umum

Larangan Mandi Pada Waktu Malam?

Soalan:
Adakah terdapat dalil daripada al-Quran, hadith atau athar tentang larangan mandi pada waktu malam?

ADVERTISEMENT

Jawapan:
Islam merupakan satu agama yang amat menitikberatkan akan kebersihan dan Allah SWT amat suka akan hamba-hamba-Nya yang bersih. Mandi juga merupakan salah satu daripada cara-cara untuk membersihkan diri. Tambahan pula, Allah SWT juga memerintahkan kita untuk mandi sebagaimana terdapat di dalam al-Quran:

Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَقْرَبُوا الصَّلَاةَ وَأَنتُمْ سُكَارَىٰ حَتَّىٰ تَعْلَمُوا مَا تَقُولُونَ وَلَا جُنُبًا إِلَّا عَابِرِي سَبِيلٍ حَتَّىٰ تَغْتَسِلُوا
“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu hampiri (mengerjakannya) solat sedang kamu dalam keadaan mabuk, hingga kamu sedar dan mengetahui akan apa yang kamu katakan. Dan janganlah pula (hampiri masjid) sedang kamu dalam keadaan berjunub (berhadas besar) – kecuali kamu hendak melintas sahaja – hingga kamu mandi (bersuci).” [al-Nisa’:43]

Berdasarkan soalan di atas, kami tidak mendapati ayat al-Quran, hadith dan juga athar daripada para sahabat berkaitan larangan mandi pada waktu malam. Untuk itu, kita dibolehkan untuk mandi pada bila-bila sahaja yang kita kehendaki kerana tidak ada dalil berkaitan larangan mandi pada waktu malam. Walaupun begitu, terdapat beberapa pendapat daripada kalangan ahli ilmu tentang kemakruhan mandi ketika matahari hampir terbenam dan di antara dua isyak (antara maghrib dan isyak). Hal ini ada dinyatakan di dalam kitab Mughni al-Muhtaj:

وَيُكْرَهُ دُخُولُهُ قُبَيْلَ الْغُرُوبِ وَبَيْنَ الْعِشَاءَيْنِ لِأَنَّهُ وَقْتُ انْتِشَارِ الشَّيَاطِينِ
“Dan adalah makruh memasukinya (tandas) ketika matahari hampir terbenam dan di antara dua isyak (antara maghrib dan isyak) kerana pada waktu itu syaitan berkeliaran”.
[Lihat: Mughni al-Muhtaj, 224/1]

Melihat kepada nukilan di atas, sebaik-baiknya kita cuba untuk menjauhi dan tidak memasuki tandas pada dua waktu tersebut melainkan ketika berhajat kepadanya. Tambahan pula, tandas atau mandi telah menjadi satu keperluan bagi setiap manusia contohnya apabila hendak membuang air dan melakukan mandi wajib.

Hikmah Pensyariatan Mandi

Di sini kami sertakan beberapa hikmah pensyariatan mandi berdasarkan kitab fiqh al-Manhaji. Mandi mempunyai hikmah dan faedah yang banyak, antaranya ialah:

1. Mendapat pahala

Mandi mengikut pengertian syara’ adalah ibadat. Hal ini kerana melaksanakan perintah syara’ dan beramal dengan hukumnya. Ia diberikan pahala yang besar. Sebab itulah Rasulullah SAW bersabda:

الطُّهُورُ شَطْرُ الإِيمَانِ 
“Bersuci adalah sebahagian daripada iman”. [Riwayat Muslim (222)]

Bersuci ini pula termasuk wudhu’ dan mandi.

2. Menghasilkan kebersihan

Apabila seseorang muslim itu mandi, dia dapat membersihkan kotoran yang melekat pada badan atau peluh yang keluar daripada tubuh. Tubuh badan yang bersih ini boleh menghindarinya daripada kuman-kuman yang menyebabkan penyakit. Bau tubuh badannya pula menimbulkan kemesraan dan kasih sayang sesama manusia.

Ini berdasarkan hadith, daripada Aisyah RA, katanya:

كَانَ النَّاسُ أَهْلَ عَمَلٍ وَلَمْ يَكُنْ لَهُمْ كُفَاةٌ فَكَانُوا يَكُونُ لَهُمْ تَفَلٌ فَقِيلَ لَهُمْ لَوِ اغْتَسَلْتُمْ يَوْمَ الْجُمُعَةِ. وَفِي رِوَايَةٍ لَهُمَا: فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: لَوْ أَنَّكُمْ تَطَهَّرْتُمْ لِيَوْمِكُمْ هَذَا 
“Orang ramai yang sibuk bekerja dan tidak mempunyai pembantu, badan mereka berbau busuk, lalu dikatakan kepada mereka, elok kamu mandi pada hari Jumaat”. Dalam riwayat yang lain bagi al-Bukhari dan Muslim bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Eloklah kamu bersuci pada hari ini (Jumaat).” [Riwayat al-Bukhari (861) dan Muslim (847)]

3. Menghasilkan Kecergasan

Mandi boleh menjadikan tubuh badan cergas dan aktif, hilang rasa lesu dan malas terutamanya selepas berlaku sebab-sebab yang mewajibkannya mandi seperti jima’.

Penutup

Kesimpulannya, kami nyatakan sekali lagi bahawa tiada dalil daripada al-Quran dan Sunnah berkaitan larangan mandi pada waktu malam. Akhirnya, semoga Allah SWT menjadikan kita dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang sentiasa menjaga kebersihan. Amin.

Wallahua’lam.

+ Mufti Wilayah Persekutuan

Comments

Lagi dalam kategori Umum

Ke Atas