Connect with us

Oh! Media

Lafaz Doa Kepada Kedua Ibu Bapa

Umum

Lafaz Doa Kepada Kedua Ibu Bapa

SOALAN:
Apakah lafaz yang tepat untuk doa kepada kedua ibubapa?

ADVERTISEMENT

JAWAPAN:
Kita amat dituntut untuk sentiasa berdoa kepada kedua ibubapa kerana mereka telah banyak berjasa kepada kita dan doa seorang anak kepada kedua ibubapanya merupakan di antara amalan yang tidak akan putus walaupun kedua ibubapanya telah meninggal dunia.

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

إِذَا مَاتَ الْإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلَّا مِنْ ثَلَاثَةٍ: إِلَّا مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ، أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ، أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ
“Apabila matinya seorang insan akan terputus amalannya melainkan tiga perkara: Sedekah jariyah, ilmu yang bermanfaat buat dirinya dan anak soleh yang sentiasa mendoakannya.” [Riwayat Muslim (1631)]

Berdasarkan kepada soalan di atas, sebahagian doa tersebut ada disebutkan di dalam beberapa ayat di dalam al-Quran berkaitan kepada kedua ibubapa, antaranya:

رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ
“Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan.” (Ibrahim: 41)

رَّبِّ اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِمَن دَخَلَ بَيْتِيَ مُؤْمِنًا وَلِلْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ وَلَا تَزِدِ الظَّالِمِينَ إِلَّا تَبَارًا
“Wahai Tuhanku! Ampunkanlah bagiku dan bagi kedua ibu bapaku, serta bagi sesiapa yang masuk ke rumahku dalam keadaan beriman dan (ampunkanlah) bagi sekalian orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan (pada setiap zaman) dan janganlah Engkau tambahi orang-orang yang zalim melainkan kebinasaan.” (Nuh: 28)

وَقُل رَّبِّ ارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِي صَغِيرًا
“Katakanlah: Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya dengan memelihara dan mendidikku semasa kecil.” (Al-Isra’: 24)

Ini adalah di antara ayat-ayat al-Quran yang menceritakan berkaitan lafaz doa kepada kedua ibubapa. Akan tetapi, ia disebutkan di dalam bentuk mufrad (tunggal iaitu untuk seorang).

Antara lafaz doa yang boleh dibaca adalah berbeza mengikut siapa yang ingin didoakan. Sekiranya seseorang itu hanya ingin mendoakan kepada dirinya dan kedua ibubapanya sahaja boleh membaca dengan lafaz ini:

اَللَّهُمَّ اغْفِرْلِيْ ذُنُوْبِيْ وَلِوَالِدِيَّ وَارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِيْ صِغِيْرًا
“Ya Allah! ampunilah dosaku dan dosa kedua orang tuaku dan kasihilah mereka sebagaimana mereka mengasihiku sejak kecil.”

Adapun, sekiranya seseorang itu ingin mendoakan kepada ramai dan kedua ibubapa mereka boleh berdoa dengan lafaz ini:

اَللَّهُمَّ اغْفِرْلَنَا ذُنُوْبَنَا وَلِوَالِدَيْنَا وَارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانَا صِغَارًا
“Ya Allah! ampunilah dosa kami dan dosa kedua orang tua kami dan kasihilah mereka sebagaimana mereka mengasihi kami sejak kecil.”

Selain itu, lafaz yang ketiga ini sama seperti lafaz yang kedua iaitu mendoakan untuk ramai. Tetapi bezanya adalah pada lafaz “وَلِوَالِدِيْنَا” dibaca dengan baris bawah dan bukannya dengan baris atas “وَلِوَالِدَيْنَا” sepertimana di dalam lafaz yang kedua. Tambahan pula, lafaz yang ketiga ini (dibaca dengan baris bawah) bukan hanya terhad kepada ibubapa, bahkan ia termasuk datuk, nenek dan ke atas. Lafaz tersebut adalah:

اَللَّهُمَّ اغْفِرْلَنَا ذُنُوْبَنَا وَلِوَالِدِيْنَا وَارْحَمْهُمْ كَمَا رَبَّوْنَا صِغَارًا
“Ya Allah! ampunilah dosa kami dan dosa kedua orang tua kami dan kasihilah mereka sebagaimana mereka mengasihi kami sejak kecil.”

Justeru, seseorang yang ingin berdoa perlu melihat atau memilih lafaz yang sesuai sama di dalam berdoa. Begitu juga kepada para imam, perlu berdoa untuk semua jemaah yang hadir dan bukan itu dirinya sahaja.

Penutup

Kesimpulannya, doa kepada kedua ibubapa sama ada masih hidup atau telah meninggal dunia merupakan satu perkara yang dituntut. Ini kerana, Allah SWT mengajar kita sebagai hamba-Nya agar sentiasa mendoakan kepada kedua ibubapa sepertimana yang terdapat di dalam al-Quran. Untuk itu, janganlah sesekali kita lupa untuk sentiasa mendoakan kepada kedua ibubapa kita dalam apa jua keadaan sekali pun kerana wujudnya kita di dunia ini adalah disebabkan mereka. Akhirnya, semoga Allah SWT menjadikan kita anak-anak soleh dan solehah yang sentiasa berbakti serta mendoakan kesejahteraan kepada keduanya. Amin.

Wallahua’lam.

Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca Di Facebook Oh! Media


Oh! Makan


Comments

Lagi dalam kategori Umum

Ke Atas